Masih KURANG! Hanya 1% Rakyat Malaysia Mendaftar Sebagai Penderma Organ

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 11/05/2020

Topik pemindahan organ (dan derma organ) tidak sering dibincangkan dalam kehidupan seharian. 

Ia merupakan salah satu daripada banyak masalah yang cuba diselesaikan oleh komuniti sains. Secara khususnya, ia berkait dengan masalah kekurangan organ.

Di Amerika Syarikat (US), pakar bedah di seluruh negara telah melakukan lebih daripada 39,000 prosedur pemindahan organ pada tahun 2019.

Jumlah tersebut mungkin kelihatan banyak, namun pada Mac 2020, jumlah mereka yang direkodkan sedang menunggu organ adalah lebih daripada 112,000 individu. 

Secara puratanya, di US, dianggarkan 95 prosedur pemindahan organ dijalankan setiap hari.

Walau bagaimanapun, ia masih tidak cukup untuk menampung keperluan organ.

Setiap 9 minit, 1 nama akan ditambah dalam senarai menunggu.

Dilema yang berlaku berkaitan dengan permintaan organ yang tinggi bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah.

Artikel ini akan menerangkan perihal perkara yang anda perlu tahu berkenaan dengan prosedur pemindahan organ.

Harapan bagi mereka yang menunggu bekalan organ 

derma organ

Walaupun prosedur pemindahan organ boleh dianggap sebagai satu harapan baharu buat pesakit yang mengalami kerosakan organ, ia tidaklah semudah itu.

Dengan jumlah bekalan organ yang sangat rendah, kebanyakan pesakit berisiko untuk mati tanpa sempat menerima organ yang ditunggu.

Di US, kira-kira 20 pesakit yang menunggu organ mati setiap hari. Kebanyakan pesakit yang disenaraikan sebagai penerima organ kebiasaannya berada dalam keadaan serius.

Namun, mereka yang bukan didaftarkan untuk menerima organ berada dalam keadaan kritikal. 

Terdapat juga individu yang mahu meningkatkan tahap kualiti hidup mereka. 

Sebagai contoh, mereka yang menjalani dialisis boleh memilih untuk menjalani pemindahan organ buah pinggang untuk berhenti bergantung kepada mesin bagi membersihkan darah.

Artikel berkaitan:

Tanda Anda Mungkin Menghadapi Masalah Buah Pinggang

Kemajuan teknologi membolehkan kita untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang pada suatu ketika dahulunya mustahil untuk diselamatkan.

Memang tipulah jika tiada pesakit yang berharap mereka akan menerima berita baik berkaitan dengan stok organ.

Di Malaysia, jumlah mereka yang memerlukan pemindahan organ buah pinggang pada tahun 2018 adalah seramai 25,000.

Walau bagaimanapun, Malaysia hanya berkeupayaan untuk menjalankan 30 hingga 40 pemindahan buah pinggang setahun.

Jumlah pesakit yang memerlukan buah pinggang meningkat seramai 1,000 setiap tahun. 

Mereka yang mendaftar sebagai penderma organ setakat Ogos tahun 2018 boleh dikira rendah iaitu 424,143 individu, lebih sedikit daripada 1% berbanding jumlah penduduk di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, bukan semua akan menderma organ setelah mereka meninggal dunia. 

Ini berikutan kebenaran masih diperlukan daripada ahli keluarga waris. 

Oleh sebab itulah, penting untuk kita tidak merahsiakan niat menjadi penderma daripada pengetahuan keluarga.

Isu agama berkaitan dengan subjek pemindahan organ

pemindahan organ

Oleh sebab topik ini bukanlah satu subjek yang gemar dibincangkan oleh populasi umum, salah faham berkaitan dengannya mudah tercetus.

Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa dan agama. Kebanyakan isu yang diperbincangkan mengenai subjek pemindahan organ berkait dengan isu agama.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menderma organ boleh jatuh kepada harus atau haram bergantung kepada keadaan.

Sebagai contoh, mereka yang sudah mati dan ingin menderma organ untuk kegunaan mereka yang memerlukan adalah harus jika ia menepati 4 syarat:

  1. Penderma merupakan seorang yang waras, baligh, tidak dipaksa dan telah mendapat izin penjaga/walinya, Anggota yang boleh diambil hanyalah anggota yang dipersetujui.
  2. Secara umumnya, prosedur pemindahan organ tersebut tidak boleh bersifat hipotetikal. Ini bermakna, telah terbukti oleh kajian pemindahan organ tersebut berkesan untuk menyelamatkan nyawa.
  3. Matlamat prosedur mestilah untuk tujuan perubatan.
  4. Tiada unsur-unsur kontrak jual beli.

Oleh yang sedemikian, mereka yang keliru dengan hukum hakam berkenaan dengan pemindahan organ perlu tahu bahawa keadaan berikut adalah dibenarkan mengikut ajaran Islam:

  1. Mengambil organ daripada mereka yang telah mati untuk tujuan perubatan. Si mati perlu bersetuju semasa mereka masih hidup.
  2. Menggunakan organ binatang yang halal dimakan dan telah disembelih. Haiwan lain hanya boleh digunakan sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan darurat.
  3. Memindahkan satu organ kepada bahagian lain pada diri sendiri mengikut keperluan perubatan. Sebagai contoh mangsa kebakaran yang mengalami kecacatan pada rupa di bahagian muka.
  4. Menggunakan sebarang teknologi untuk berubat sebagai contoh memasang tulang besi dan sebagainya.

Penulis tidak mempunyai pengetahuan yang cukup berkenaan dengan peraturan agama lain.

Namun, menurut Perkhidmatan Kesihatan Nasional, United Kingdom, agama Kristian menggalakkan umatnya untuk mendermakan organ.

Kebaikan dan risiko yang berkait dengan prosedur pemindahan organ

pemindahan organ

Bukan mudah untuk anda mendermakan organ kepada individu yang tidak kenali. 

Dalam prosedur pencarian organ, terdapat dua cara yang boleh dilakukan oleh mereka yang memerlukan.

  1. Penerima organ boleh menunggu dan perlu mengikut giliran berdasarkan kepada senarai pemindahan.
  2. Cari sendiri dalam kalangan ahli keluarga yang sudi menderma organ untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Bergantung kepada integriti sesebuah negara, terdapat dalam kalangan mereka yang membenarkan pendermaan organ berbayar, seperti di Iran.

Mungkin kedengaran seperti tidak beretika. 

Namun begitu, kajian yang dibuat pada tahun 2013 di Kanada telah menunjukkan dapatan yang menyokong tindakan tersebut.

Bayaran 10,000 USD kepada penderma bagi organ buah pinggang boleh meningkatkan kekerapan prosedur pemindahan organ dan menyelamatkan banyak nyawa.

Sukar untuk kita letakkan pandangan moral berkenaan dengan pembelian organ terutamanya jika penerima berada dalam keadaan tenat.

Bagi mereka yang menerima, berikut merupakan kebaikan yang dapat dinikmati seusai pemindahan organ:

  1. Jangka hayat lebih lama.
  2. Tidak perlu bergantung kepada mesin dialisis.
  3. Kualiti hidup meningkat dan lebih produktif.
  4. Boleh meluangkan lebih banyak masa di luar hospital.

Walau bagaimanapun, setiap prosedur, terutamanya pemindahan organ berkait dengan risiko tertentu. Sebagai contoh:

  1. Jangkitan kuman selepas pembedahan.
  2. Kegagalan organ untuk berfungsi.
  3. Penolakan organ oleh sistem imun badan.
  4. Pendarahan boleh berlaku semasa pembedahan.
  5. Komplikasi berkaitan dengan ubat bius seperti masalah pernafasan dan sebagainya.

Konklusi

jantung

Pemindahan organ sememangnya berada dalam keadaan kritikal.

Jumlah mereka yang memerlukan organ meningkat saban tahun namun stok organ amat terhad.

Bagi pemindahan organ tertentu, penerima perlu makan ubat cegah penolakan organ bagi mengelakkan komplikasi seumur hidup.

Cabaran yang dialami oleh mereka tidak terhenti selepas pemindahan organ berjaya. Oleh itu, bagi mereka yang masih sihat, jaga diri anda dengan sebaiknya.

Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy"
Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut