backup og meta

Kos Sebenar Di Sebalik Penjagaan Seorang Bayi Di Malaysia, Jangan Terkejut!


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/01/2023

    Kos Sebenar Di Sebalik Penjagaan Seorang Bayi Di Malaysia, Jangan Terkejut!

    Pengalaman membesarkan anak atau bayi itu sememangnya adalah satu cabaran yang bukan mudah. Apatah lagi pada zaman di mana peningkatan kos sara hidup tidak begitu selari dengan pendapatan bulanan yang diperoleh.

    Kos membesarkan seorang bayi sahaja sudah mencapai ribuan ringgit dalam tempoh sebulan.

    Bagi mengetahui berapakah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk seorang bayi, kami di Hello Doktor telah cuba mencari anggaran kos minimum yang perlu ibu bapa sediakan untuk sekurang-kurangnya seorang bayi mereka.

    Anda boleh merujuk kepada infografik ringkas yang telah kami sediakan seperti di bawah ini.

    bayi

    Untuk memudahkan pengiraan anggaran, kami telah membahagikan perbelanjaan yang diperlukan kepada dua bahagian iaitu kos yang berulang dan kos tidak berulang.

    Perbelanjaan bagi kos berulang (bulanan)

    Lampin pakai buang

    Bagi lampin pakai buang, anda mungkin boleh mendapatkan harga yang lebih murah bergantung kepada jenama lampin yang anda pilih dan juga kuantiti bagi setiap satu bungkusan lampin.

    Anda perlu kerap menukarkan lampin bayi anda untuk mengelakkan masalah ruam yang mungkin berlaku. Oleh sebab itu, apabila anda menyusukan atau memberi makan kepada bayi anda, tukarlah kepada lampin baharu jika mereka telah membuang air.

    Kelengkapan mandian

    Bagi kelengkapan mandian, lihat pada label produk dan pilihlah produk dengan bahan yang tidak mengandungi paraben, formaldehyde atau pewangi. Ini kerana, kewujudan bahan-bahan ini hanya akan membuatkan kulit bayi mengalami kerengsaan atau iritasi.

    Untuk cecair mandian badan, pilihlah cecair yang tidak mengandungi sabun. Untuk syampu pula, gunakan produk yang tidak memedihkan mata bayi anda. 

    Penggunaan tisu basah

    Untuk tisu basah, anda tidak disarankan untuk menggunakannya dengan kerap dan hanya gunakannya apabila membersihkan punggung bayi anda yang mengandungi najis sahaja.

    Cuba dapatkan jenis tisu basah yang tidak mengandungi kandungan alkohol atau jika boleh, hanya gunakan kain biasa sahaja bersama-sama air.

    Ini kerana tisu basah yang mengandungi alkohol dan juga pewangi boleh merengsakan kulit bayi. 

    Perbelanjaan bagi kos yang tidak berulang (tahunan)

    Mungkin anda boleh berjimat sedikit untuk pembelian barangan dalam kategori ini kerana ia tidak dibeli selalu.

    Untuk set baju dan seluar, anda mungkin akan membeli sebanyak 14 helai pakaian kerana kami menganggarkan penggunaan minimum dua set pakaian setiap hari selama seminggu. Begitu juga dengan pembelian stoking dan sarung tangan bayi.

    Pemilihan jenis fabrik

    Fabrik kapas adalah jenis pilihan fabrik atau material yang paling sesuai untuk bayi atau kanak-kanak. Ini kerana kain berasaskan kapas ini memiliki sifat yang lembut serta tinggi kadar penyerapannya.

    Kain kapas organik adalah pilihan yang paling sesuai untuk bayi memandangkan penanamannya tidak melibatkan penggunaan bahan kimia berbahaya dan baja.

    Sesetengah bayi atau kanak-kanak kadangkala memiliki reaksi alahan atau keadaan kulit tertentu yang akan bertambah buruk jika menggunakan fabrik sintetik atau yang bersifat kasar.

    Oleh itu, penggunaan fabrik kapas organik adalah cara yang paling selamat agar bayi anda kekal selesa dan tidak berisiko mengalami keadaan kulit yang semakin memburuk. 

    Penggunaan pam susu

    Mengapa pam susu merupakan salah satu barangan yang perlu ada di rumah anda? Pam susu bertujuan untuk memastikan bekalan susu ibu yang berterusan dapat dinikmati oleh bayi anda.

    Lebih-lebih lagi bagi ibu-ibu berkerjaya yang boleh menyediakan bekalan susu ibu untuk bayi masing-masing walaupun ditinggalkan di rumah pengasuh.

    Selain itu, ia memudahkan ibu atau pengasuh yang terlibat untuk melakukan tugas-tugas lain tanpa perlu risau dengan keinginan bayi yang kelaparan tanpa mengira masa.

    Kos pembelian satu pam susu ini agak mahal, walau bagaimanapun ia amat berbaloi kerana ia boleh digunakan untuk satu jangka masa yang lama.

    Pemilihan botol susu bayi

    Jangan sesekali memilih botol susu dengan hanya melihat kepada grafik animasi atau rekaan botol yang comel semata-mata. Perkara yang paling penting semasa memilih botol susu adalah memastikan bahawa ia adalah bebas BPA.

    Apa pula yang dimaksudkan dengan BPA ini? Ia adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam kebanyakan penghasilan produk-produk komersial seperti botol plastik dan bekas makanan, dan tidak terkecuali juga botol susu bayi.

    Kandungan BPA dalam botol susu berpotensi bercampur dengan kandungan susu, dan seterusnya boleh memasuki tubuh bayi. Kesannya, ia boleh menjejaskan otak, kelenjar prostat janin, bayi dan juga kanak-kanak.

    Selain itu, BPA juga boleh memberi kesan terhadap tingkah laku kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia masih dikategorikan selamat jika berada dalam sesetengah makanan dengan tahap yang paling rendah.

    Pembelian baby car seat

    Bermula Januari 2020, Kerajaan Malaysia telah mewajibkan penggunaan baby car seat dalam kereta persendirian untuk memastikan keselamatan bayi dan juga kanak-kanak jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini di atas jalan raya.

    Tetapi bagi keluarga yang mempunyai bayi atau anak yang ramai, anda akan diberikan sedikit kelonggaran dalam penguatkuasaan ini.

    Oleh itu, anda tidak mempunyai pilihan selain daripada membeli kerusi bayi dengan ciri keselamatan terbaik untuk si manja anda. Ia bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan.

    Cadangan untuk ibu bapa

    Bagi mengurangkan sedikit kos pembelian produk atau barangan seperti yang dinyatakan di atas, anda boleh mencuba beberapa tip yang kami sediakan ini:

    • Bandingkan harga barangan di kedai dan juga online store. Biasanya barangan yang dijual di online store adalah lebih murah
    • Bandingkan harga antara pasar raya. Anda boleh pergi ke pasar raya besar yang terkenal dengan harga yang lebih rendah seperti Mydin, Tesco dan Giant
    • Bagi pembelian barangan yang berharga mahal seperti kerusi bayi, cuba dapatkan kerusi bayi second hand kerana harga yang ditawarkan akan lebih murah. Pastikan ia berada dalam keadaan yang elok dan bersih sebelum membelinya
    • Beli barangan secara pukal pada waktu promosi seperti promosi perayaan, promosi hujung minggu dan promosi hujung tahun. Ia nyata lebih jimat

    Melalui cadangan berikut, ia pasti sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos yang perlu dibelanjakan. Mungkin terdapat cadangan-cadangan lain yang boleh anda kongsikan dengan pembaca-pembaca lain agar kita sama-sama dapat berjimat dan dalam masa yang sama, dapat membesarkan bayi dalam keadaan yang selesa dan sejahtera. Anda boleh kongsikan cadangan anda kepada kami melalui akaun Facebook rasmi kami: Hello Doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan