backup og meta

Hati Yang Tersakiti, Bagaimana Untuk Memaafkan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/01/2020

    Hati Yang Tersakiti, Bagaimana Untuk Memaafkan?

    Ditipu, dipermainkan dan disakiti, adalah lumrah dalam kehidupan. Ia sama ada kita menjadi mangsa atau kita yang melakukannya, bukan? Tetapi bagaimana untuk memaafkan setelah hati disakiti?

    Memahami konsep memaafkan

    “Awak maafkanlah dia, dia bukan sengaja,” kedengaran sangat mudah. Tetapi untuk menzahirkannya tidak semudah melafazkan. Ia boleh dianggap sebagai satu cabaran: bolehkah anda memaafkan individu terbabit?

    Dengan memberi kemaafan, ia membawa pengertian bahawa anda melepaskan segala dendam, rasa ketidakpuasan hati dan sebarang penghakiman anda terhadap seseorang atau sekelompok individu dan memberikan diri anda peluang untuk sembuh. Nampak sangat mudah daripada aspek teori, namun untuk mempraktikkannya adakalanya ia terlalu mustahil.

    Untuk mengetahui bagaimana memberikan kemaafan, pertama sekali anda perlu memahami terlebih dahulu mengenai apa itu yang dikatakan memaafkan. Kebanyakan daripada kita selalunya tersalah anggap mengenainya.

    Berikut adalah beberapa perkara mengenai kemaafan yang perlu difahami:

    • Memberi maaf tidak bermakna anda membenarkan atau membebaskan tindakan atau perbuatan seseorang individu tersebut
    • Memberi maaf tidak bererti anda perlu memberitahu kepada individu tersebut bahawa anda telah memaafkannya
    • Memberi maaf bukan bermaksud bahawa anda tidak perlu mempunyai sebarang perasaan atau emosi mengenai keadaan yang berlaku
    • Kemaafan yang diberikan tidak bermakna tiada apa-apa yang perlu dilakukan bagi memperbaiki hubungan yang terjejas atau segalanya adalah baik-baik sahaja
    • Kemaafan yang diberikan tidak bermakna anda harus melupakan segala kejadian atau perkara yang pernah berlaku
    • Memberikan kemaafan tidak bererti individu terbabit perlu terus berada dalam kehidupan anda
    • Dan kemaafan itu bukanlah sesuatu yang dilakukan demi memuaskan hati individu lain

    Dengan memberikan kemaafan, ia bermakna anda menerima realiti mengenai apa yang telah berlaku dan mencari jalan penyelesaian untuk melaluinya dengan cara yang terbaik. Ia boleh menjadi satu proses yang dilakukan secara berperingkat atau beransur-ansur. Dan anda harus ingat, apabila seseorang itu dimaafkan anda, ia tidak bermakna mereka perlu untuk berada dalam proses tersebut.

    Perkara paling penting yang harus sentiasa ditanam di dalam fikiran anda adalah kemaafan tersebut perlu dilakukan untuk diri anda sendiri dan bukan diberikan kerana individu yang melakukan kesilapan terhadap anda. 

    Jadi secara ringkas, kemaafan adalah sesuatu yang dilakukan demi kebaikan diri bagi memperolehi ketenangan, tetapi mengapakah selalunya ia terlalu sukar untuk dilakukan?

    Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mengapa kemaafan terlalu sukar untuk diberikan, antaranya:

    • Pemikiran dan diri anda dipenuhi dengan keinginan untuk membalas dendam
    • Anda mempunyai ego
    • Anda tidak tahu bagaimana caranya untuk menyelesaikan masalah yang timbul
    • Anda menjadi ketagih atau terikut dengan emosi marah
    • Anda berasakan diri anda sebagai mangsa
    • Anda takut dengan memaafkan anda perlu untuk kembali berhubung dengan individu yang bersalah atau bimbang akan kehilangan perhubungan sedia ada dengan individu lain

    Bagaimana untuk memaafkan?

    Apabila anda sudah bersedia untuk memberikan kemaafan, berikut adalah antara langkah atau cara untuk melakukannya:

  • Komitmen dan keyakinan
  • Langkah pertama untuk memberikan kemaafan kepada individu lain adalah dengan membuat kata putus dalam melepaskan segala masalah yang menyebabkan tekanan serta beban fikiran dan hati anda. 

    Bagi mengelakkan daripada segala kesakitan yang dirasa pada masa lalu kembali menghantui diri anda, sebaiknya hindari daripada memikirkan kembali mengenainya dan elakkan daripada menceritakan masalah tersebut kepada individu lain.

  • Luahkan perasaan
  • Jika perlu, anda boleh melepaskan apa yang anda rasakan; kesakitan dan betapa terlukanya hati anda. Sebaiknya lakukan ia dalam keadaan anda mempunyai kesedaran yang tinggi. Anda boleh memilih untuk melepaskan atau meluahkan apa yang dirasai melalui pelbagai medium seperti berkongsi dengan sahabat atau ahli keluarga rapat, menulis di dalam diari atau meluahkan di atas sekeping kertas tanpa tujuan untuk mengirimkannya.

    Walau bagaimanapun, elakkan daripada meluahkannya di dalam sebarang media sosial, sama ada Facebook, Twitter atau apa sahaja walaupun mungkin individu tersebut tidak boleh membaca atau melihatnya. Ini kerana terdapat kemungkinan akan ada individu lain yang tidak berpuas hati akan menjadi penyampai dan akhirnya keadaan ini akan menjadi lebih serius.

    1. Fokus pada masa akan datang

    Sememangnya anda tidak akan berasa tenang jika fikiran anda sentiasa diselubungi atau dihantui oleh kesakitan yang tidak berkesudahan, bukan? Sampai bila anda sanggup untuk terus berdepan dengan keadaan seperti itu?

    Anda mungkin masih memikirkan tentang apa yang telah berlaku, tetapi adakah individu yang telah melukakan hati anda turut memikirkan mengenai apa yang anda rasai? Anda sendiri tidak pasti, bukan?

    Jadi berhenti membebankan diri tentang sesuatu yang hanya menyusahkan diri anda. Kebahagiaan anda adalah tanggungjawab anda sendiri dan usah mengharapkan individu lain untuk membuatkan anda bahagia. Perkara yang sudah berlaku, biarkan ia berlalu. Anda harus fokus tentang apa yang bakal berlaku dan rancanglah untuk menjadikan ia sebagai hari yang terbaik dalam hidup anda.

    1. Berhenti menyalahkan orang lain

    Apa yang anda dapat jika anda terus menyalahkan individu lain dan menganggap diri anda sebagai mangsa keadaan? Tiada apa! Percayalah, ada waktunya, kenangan masa silam harus terus dilupakan. 

    Tenangkan diri anda dan terima secara terbuka apa telah anda lalui. Dengan mengakui bahawa anda pernah melaluinya dan menerimanya dengan hati terbuka, ia adalah tanda bahawa anda selangkah untuk mampu memberikan kemaafan.

    1. Maafkan mereka dan maafkan diri sendiri

    Anda mungkin tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan, tetapi tiada seorang individu pun dapat lari daripada melakukan kesalahan. Malahan setiap individu yang pernah melakukan kesalahan, berhak untuk dimaafkan, begitu juga dengan diri anda. 

    Memberi kemaafan atau memaafkan kesilapan mahupun perbuatan individu yang menyakiti hati anda, tidak membawa maksud anda seorang individu yang lemah. Ia boleh dianggap sebagai petanda bahawa anda menerima kenyataan bahawa diri dan hati anda telah disakiti tetapi anda mahu meneruskan kehidupan tanpa menoleh ke belakang lagi. 

    Akhir kata

    Sememangnya, bukan mudah untuk memberikan kemaafan, apatah lagi jika perbuatan yang dilakukan oleh seseorang individu terhadap anda adalah satu perbuatan yang menyebabkan anda menerima kesan atau akibat yang memudaratkan kehidupan anda. 

    Walau bagaimana, menyimpan dendam dan amarah secara berterusan juga hanyalah akan menyebabkan diri dan jiwa anda tidak mengalami ketenangan. Jadi cubalah untuk memaafkan dengan seikhlasnya.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/01/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan