Berapa Kali Boleh Cuba Ambil Darah Bayi?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 17/12/2019 . 4 mins read

Artikel ini tidak ditujukan secara spesifik kepada sesiapa. Ia cumalah kupasan kepada isu susah ambil darah bayi sehingga terpaksa dicucuk berkali-kali. Bukan mudah nak ambil darah, pelbagai jenis faktor yang boleh membuatkan ia menjadi lebih susah daripada biasa. Kadangkala ketika sedang tekun seorang doktor pelatih itu cuba untuk mengambil darah bayi, ibu atau bapanya kelihatan menjegilkan mata, memberi amaran secara tidak langsung. Adalah tu kesannya jika tersalah cucuk. Persoalannya di sini, bagi mereka yang terlibat secara profesional dalam kerjaya mengambil darah, berapa kali prosedur ini boleh dicuba sebelum kakitangan tersebut perlu memanggil mereka yang lebih berpengalaman? Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

Kenapa kena ambil darah?

Ingat suka-suka ke doktor nak ambil darah? Jika datangnya seorang doktor, memberi salam dan meminta izin ingin memulakan prosedur venepunktur (mengambil darah), pasti ada sebabnya. Sebagai seorang profesional, sebelum menyentuh pesakit, prosedur tersebut perlu diterangkan terlebih dahulu. Tujuan dan risiko perlu diperjelas bagi memastikan mereka (ibu, bapa atau pesakit) faham bahawa ia merupakan prosedur yang akan memberikan kebaikan buat pesakit. Bukan sekadar cucuk sebab ingin mengumpul cop di dalam buku log doktor pelatih semata-mata.

Prosedur mengambil darah pesakit bukanlah satu prosedur asing di hospital. Ramai individu yang sering mengaitkan doktor dengan picagari. Ini bermakna pesakit sendiri tahu bahawa prosedur pengambilan darah ini penting bagi seorang doktor untuk mengesahkan diagnosis yang mungkin dialami oleh pesakit. Jika terdapat jangkitan, tanpa ujian darah, langkah bagi merawat tidak boleh diambil. Individu yang diserang oleh penyakit seperti denggi, sukar untuk dirawat tanpa memasukkan jarum ke dalam akses vena bagi menyeimbangkan jumlah air di dalam badan.

Antara sebab mengapa doktor “suka” hendak mengambil darah atau memasukkan jarum adalah:

  • Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan penyakit pesakit
  • Untuk memasukkan air garam, ubat seperti antibiotik atau prosedur transfusi 
  • Memantau hemodinamik (pengaliran darah)
  • Memberi akses kepada sumber nutrien bagi pesakit yang memerlukannya

Perlu diingatkan bahawa walau sepenting mana pun prosedur tersebut, tanpa kebenaran daripada pesakit atau ibu bapa (bagi pesakit kanak-kanak), prosedur tersebut tidak boleh dijalankan. Oleh sebab itulah komunikasi merupakan kunci kepada pemahaman ibu bapa. Ia boleh meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk menyerahkan tugas mengambil darah kepada doktor tersebut. 

Namun, tidak semua doktor mempunyai kemewahan masa. Mereka perlu mengambil darah daripada beberapa pesakit sebelum meneruskan tugasan lain yang masih tertunggak. Hal ini menyebabkan komunikasi di antara penjaga, pesakit dan doktor itu sendiri tampak kelam kabut.

Berapa kali doktor dibenarkan untuk memasukkan jarum 

Soalan cepumas. Berapa kali kita patut benarkan doktor memasukkan jarum untuk cubaan mengambil darah? Selaku ibu bapa, anda pasti tidak sampai hati untuk melihat anak kesayangan anda dicucuk dengan jarum, kan? Teriakannya kedengaran namun anda tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Keresahan yang melanda kadangkala boleh menyebabkan tangan melayang, suara ditinggikan dan ugutan disembur sekiranya doktor pelatih salah memasukkan jarum. 

Jika dilihat pada sudut pandang doktor, mereka juga manusia yang melakukan kesilapan. Menurut laman Facebook Public Health Malaysia, secara amnya, doktor pelatih yang ingin mengambil darah perlu tahu bahawa mereka hanya mempunyai peluang sebanyak dua kali untuk mencuba. Jika gagal buat kali kedua, mereka bertanggungjawab untuk memanggil doktor yang lebih berpengalaman. Ia bagi mengelakkan penderitaan anak anda dek dicucuk berkali-kali sehingga menyebabkan lebam di kedua-dua belah tangan.

Berbanding dengan orang dewasa, darah anak kecil sukar untuk diambil keluar. Mereka mempunyai akses vena yang kecil berbanding dengan orang dewasa dan tanpa bantuan, teramatlah sukar untuk mendapatkan darah daripada anak yang meronta-ronta. Jika pada ketika itu, kebanyakan doktor sedang sibuk, jika dibenarkan oleh ibu dan bapa, pengambilan darah boleh dicuba sehingga 4 kali. Jika masih gagal, kaedah tersebut perlu diberhentikan dan perbincangan lanjut mengenai alternatif lain perlu dilakukan untuk memberi ruang kepada ibu bapa memilih apa yang terbaik buat anak mereka.

Apabila ia melibatkan kebenaran untuk meneruskan prosedur perubatan, ibu bapa memegang kuasa veto dalam membuat keputusan. Jika selepas cubaan pertama gagal dan ibu bapa pesakit mengarahkan doktor lain untuk mengambil alih tugasan tersebut, permintaan mereka perlu diikuti. 

Komplikasi prosedur venepunktur

“Doktor, kenapa tangan anak saya lebam ni?”

Tromboflebitis adalah komplikasi yang lazim berlaku kepada pesakit yang diambil darahnya melalui saluran vena. Ia terjadi apabila vena membengkak disebabkan oleh pengumpulan darah beku ataupun kesan daripada iritasi disebabkan oleh penggunaan peralatan perubatan yang melibatkan penyucukan jarum. Sebagai ibu bapa, sukar untuk kita terima penjelasan daripada doktor yang bertugas tatkala melihat tangan kecil si manja yang penuh dengan kesan cucukan jarum dan mungkin kebiru-biruan akibat lebam. 

Kebanyakan doktor menganggap lebam dan kebengkakan hasil daripada cucukan jarum itu sebagai komplikasi “ringan”. Namun, ia bukanlah perkataan yang suka didengari oleh ibu bapa kerana ia seumpama merendah-rendahkan tahap kebimbangan mereka terhadap isu terbabit. Setelah jarum dicabut keluar seusai tamat prosedur tersebut, tempat suntikan boleh ditekan untuk beberapa minit bagi mengelakkan kawasan yang dicucuk itu menjadi bengkak. Kawasan yang pernah dicucuk perlu dijaga dengan baik supaya tidak berlaku sebarang jangkitan.

Secara amnya, perkara tersebut (lebam dan kesan cucukan) akan hilang dalam masa beberapa hari. Namun jika anda berasa risau akan perkara tersebut, boleh dapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar atau pegawai perubatan atas panggilan. Jika anda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan yang diberikan, berundinglah dengan pihak hospital bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Tiada gunanya jika diviralkan isu ini walaupun kita tahu perkara ini sensitif buat ibu bapa. Jika anak anda menunjukkan simptom seperti sesak nafas, batuk berdarah, mengadu kesakitan atau menangis sukar dipujuk seusai mengambil darah, dapatkan nasihat doktor.

Konklusi

Prosedur mengambil darah kanak-kanak tidak mudah. Ibu bapa perlu memberikan kerjasama agar siasatan klinikal dapat dijalankan dengan lancar. Doktor juga perlu bertanggungjawab, melakukan kerja dengan penuh etika, terangkan prosedur kepada pesakit dan jangan mencuba untuk mengambil darah jika gagal dua kali. Minta bantuan daripada pegawai perubatan yang berpengalaman untuk tindakan selanjutnya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    kesan-penderaan-warga-tua

    Kenapa Warga Tua Semakin Sakit? Ambil Tahu, Mungkin Mereka Didera Secara Fizikal!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 11/06/2020 . 3 mins read

    Lebam

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 05/04/2019 . 7 mins read
    Tanda-tanda Penderaan Fizikal

    Tanda-tanda Penderaan Fizikal

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 20/02/2019 . 4 mins read
    Extra Deep Heat

    Extra Deep Heat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Tyasyurrun Nazirin
    Diterbitkan pada 23/05/2018 . 4 mins read