Bedak Talkum Tiada Kaitan Dengan Kanser Ovari

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Pernah tak dengar isu yang mengatakan pemakaian bedak talkum boleh menyebabkan masalah kanser ovari? Tetapi benarkah pemakaiannya boleh mengakibatkan seseorang individu itu mengalami masalah kanser ovari?

Isu yang terpalit

Perihal yang mengatakan bahawa bedak talkum menjadi punca kepada kanser ovari ini tular suatu ketika dahulu apabila sebuah syarikat pengeluar barangan bayi, Johnson & Johnson (J&J) disaman oleh sekumpulan wanita yang mendakwa bedak keluaran J&J menyebabkan masalah kanser ovari kepada mereka.

Pemakaian bedak pada bahagian sulit wanita merupakan satu amalan yang diamalkan sejak tahun 1970-an. Namun kontroversi melibatkan bedak J&J ini timbul apabila dikatakan mineral talkum dalam bedak talkum mereka telah didakwa tercemar dengan asbestos, yang secara umumnya diketahui sebagai salah satu punca penyebab kanser.

Bayaran pampasan

Pada 2018, syarikat terkenal Johnson & Johnson ini telah diperintah untuk membayar pampasan sebanyak $ 4.7 bilion (lebih kurang RM19,160,020,000.00) kepada 22 individu wanita. 

Pampasan tersebut adalah sebagai bayaran tuntutan undang-undang Amerika Syarikat, selepas 22 individu wanita tersebut mendakwa bedak bayi keluaran syarikat berkenaan mengakibatkan mereka mengalami kanser.

Malahan kesan daripada itu, syarikat J&J juga telah menarik balik sejumlah 33,000 botol bedak keluaran mereka di Amerika Syarikat pada Oktober 2019 apabila pengawal selia produk mendapati terdapat kandungan asbestos.

Walau bagaimanapun, menurut satu kajian yang dilakukan mendakwa, penggunaan serbuk talkum tidak akan meningkatkan risiko kanser ovari. Jadi yang mana satukah dakwaan yang betul dan boleh dipercayai?

Kajian semula bedak talkum

Dalam empat kajian semula melibatkan lebih daripada seperempat juta wanita telah dilakukan di Amerika Syarikat mengisytiharkan bahawa, tidak terdapat hubung kait yang signifikan antara bedak dan kanser. 

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA), mendapat pujian saintis yang memanggilnya sebagai satu penyelidikan yang teguh dan dilakukan dengan baik. Malahan hasil kajian ini memberikan jaminan kepada wanita yang mempunyai kebimbangan untuk menggunakan bedak.

Penyelidikan semula ini disertai pasukan dari Institut Sains Kesihatan Alam Sekitar Amerika Syarikat di Carolina Utara ini melibatkan seramai 252, 745 responden wanita yang berdaftar dari tahun 1976 dan 2009. Kajian ini menganalisis tahap kesihatan dan penggunaan bedak talkum untuk tempoh selama 11 tahun.

Lebih daripada satu pertiga daripada responden terlibat, sebanyak 38 peratus, mengatakan bahawa mereka menggunakan bedak ini pada alat kelamin. Umumnya, menurut saintis, amalan ini telah dilakukan selama beberapa dekad untuk menyerap kelembapan dan bau.

Hasil kajian mendapati, dalam kalangan individu wanita yang menggunakan bedak talkum ini, terdapat 61 kes kanser ovari per 100,000 wanita dalam tempoh 11 tahun. Manakala bagi responden wanita yang tidak pernah menggunakan bedak ini pula kadar jumlah kes adalah pada 55 bagi setiap 100,000 individu wanita.

Walaupun bilangan responden yang menggunakan bedak dan mendapat kanser adalah lebih tinggi, iaitu pada 0.061 peratus berbanding 0.055, tetapi jumlah itu adalah terlalu kecil untuk dianggap sebagai bukti yang kukuh. Risiko yang berlaku ini adalah dianggap secara kebetulan.

Sepanjang tempoh 11 tahun penyelidikan dilakukan, seramai 2,168 responden wanita daripada kedua-dua kumpulan, sama ada menggunakan bedak atau tidak, telah mengalami kanser.

Analisis kajian

Berdasarkan penulisan kertas penyelidikan yang diketuai oleh Dr Kate O’Brien, “Dalam analisis data terkumpul  kumpulan responden wanita di Amerika Syarikat, menunjukkan tiada perkaitan secara langsung dalam statistik antara penggunaan bedak pada bahagian kelamin akan mengakibatkan kanser ovari. 

Para saintis mengakui bahawa kajian yang dilaksanakan itu tidak cukup besar untuk mengesan perubahan kecil dalam risiko untuk mendapat kanser, tetapi ia merupakan satu kajian yang terbesar yang pernah dilakukan setakat ini. 

Apa kata pakar?

Bagi pakar kanser di Imperial College London, Profesor Justin Stebbing, yang tidak terlibat dengan kajian tersebut berkata, “Penyelidikan teliti yang dilakukan ini dengan mengumpul data analisis dalam empat kajian melibatkan lebih 250,000 wanita, membuktikan bahawa bedak talkum tidak akan menyebabkan kanser.

“Jumlah kes ovari yang dilaporkan dalam kumpulan pengguna bedak adalah tidak banyak. Berdasarkan tempoh kajian dan kekerapan penggunaan bedak yang dikaji, ia menunjukkan walaupun bedak talkum mengandungi karsinogen, tetapi penggunaannya tidak menyebabkan kanser ovari.

Menurut seorang pakar statistik di Open University, Profesor Kevin McConway, yang juga tidak terlibat dalam kajian ini, “Satu perkara yang dapat ditunjukkan dengan jelas dalam penyelidikan ini adalah ia membuktikan betapa sukarnya untuk mengaitkan sesuatu perkara seperti bedak talkum adalah salah satu faktor risiko kepada kanser. 

Ujar beliau lagi, walaupun kajian ini dilakukan dengan baik, cekap dan berhati-hati dengan melibatkan lebih daripada seperempat individu wanita, namun ia masih meninggalkan ruang untuk menimbulkan keraguan dengan perkaitan antara bedak dan kanser ovari. 

Walau bagaimanapun, hubung kait antara kanser ovari dan talkum adalah terlalu kecil untuk dipertimbangkan apabila penyelidikan yang lebih besar telah dilakukan. Oleh itu, penggunaannya tidak akan menyebabkan kanser ovari.

“Apa yang boleh saya katakan daripada penyelidikan ini adalah, jika menggunakan talkum atau sebarang bedak pada bahagian sulit wanita benar-benar meningkatkan risiko kanser ovari, ia hanyalah satu peningkatan risiko terlalu kecil dan tidak signifikan.” tambah Kevin.

Beliau turut menambah, sekiranya beliau adalah seorang individu wanita, penggunaan bedak talkum tidak menjadi antara kebimbangan yang perlu difikirkan.

Fakta mengenai talkum

Bedak talkum diperbuat daripada talkum tanah halus, yang merupakan mineral yang terhasil di bawah tanah sebagai batu seperti tanah liat. Talkum selalunya dilombong di tempat yang sama seperti asbestos, iaitu mineral yang secara umumnya menjadi antara punca penyebab penyakit paru-paru.

Apa yang membezakan antara talkum dan asbestos adalah, talkum digunakan pada kulit. Ini kerana ia mempunyai sifat kelembutan dan memainkan peranan dalam menyerap kelembapan. Manakala asbestos pula digunakan sebagai penebat. 

Asbestos merupakan satu sebatian yang terdiri daripada enam mineral yang terbentuk sebagai gentian kristal kecil. Mineral-mineral tersebut secara umumnya tidak menyebabkan bahaya jika ia adalah secara sendiri, namun kombinasi mineral ini menjadi antara penyebab kanser yang harus diberikan perhatian.

Kesimpulan 

Apa yang boleh disimpulkan adalah penggunaan bedak talkum secara umumnya bukanlah satu penyebab kepada peningkatan risiko kanser ovari. Namun ia adalah terpulang kepada pertimbangan anda, sama ada anda ingin menggunakannya atau jika masih berasa was-was, anda boleh mencari alternatif lain. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 13, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 20, 2020