backup og meta

Teruk Sangat Ke Migrain Sampai Kena Ambil MC?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/09/2022

    Teruk Sangat Ke Migrain Sampai Kena Ambil MC?

    Ramai yang tidak percaya kepada individu yang menggunakan alasan “migrain” untuk mengambil cuti sakit. “Saja je nak cuti!”. Sinis bunyinya. Namun, teruk sangat ke migrain sampai mereka yang merasainya terdorong untuk mengambil cuti sakit? Ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut. 

    Migrain dan sakit kepala. Sama ke?

    Sebelum kita buat kesimpulan berkaitan dengan penyakit ini, mari kita kenali terlebih dahulu apa itu migrain. Migrain adalah merupakan salah satu cabang daripada masalah sakit kepala primer. Sakit kepala boleh terbahagi kepada dua, primer dan sekunder. Primer tidak diketahui puncanya namun berkemungkinan disebabkan oleh struktur di dalam kepala kita yang sensitif kepada kesakitan manakala sekunder adalah disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, trauma pada bahagian kepala dan lain-lain.

    Sakit kepala primer boleh terbahagi kepada 3 jenis iaitu tegang, migrain dan berkelompok. Terdapat perbezaan daripada sudut karakter kesakitan itu sendiri dalam membezakan di antara 3 jenis sakit kepala primer tersebut. Secara purata, 1 daripada 7 individu mengalami masalah migrain. Walaupun masalah ini tidak merbahayakan nyawa namun ia boleh mengganggu rutin harian seseorang sehingga menyebabkan prestasi kerja terjejas. 

    Jangan pandang ringan hanya kerana anda mengalami simptom sakit kepala atau migrain! Walaupun ia tidak mengancam nyawa namun ia boleh menjadi simptom kepada sakit yang lebih teruk seperti trauma pada kepala, jangkitan pada selaput otak dan jangkitan pada otak itu sendiri.

    Perlu MC ke?

    Jadi, kalau migrain ni sakit kepala, kena bagi sijil cuti sakit (MC) ke? Bergantung kepada individu tersebut namun apabila migrain, kebiasaannya, mereka akan mengalami simptom-simptom lain yang akan menjadikan kemampuan anda untuk bekerja atau menjalani aktiviti harian terhad. Simptom lain tersebut termasuk:

    1. Muntah
    2. Sensitif kepada cahaya dan suara
    3. Kurang selera makan
    4. Kelesuan
    5. Pucat

    Bagi mereka yang bekerja, produktiviti akan menurun dan penyakit ini berkemungkinan akan menjadi bertambah teruk terutamanya jika penyebab kepadanya ada di kawasan kerja. Pemberian cuti sakit kepada mereka yang disahkan mengalami migrain secara klinikal bertujuan untuk memberikan ruang kepada individu tersebut untuk berehat di kawasan yang bebas stres dan bebas penyebab kepada wujudnya masalah tersebut seperti cahaya yang terang atau suara yang kuat. 

    Perkara yang sering menjadi masalah adalah penggunaan perkataan migrain dengan sewenang-wenangnya untuk mendapatkan cuti sakit. Kebanyakan individu menggunakan alasan tersebut untuk permasalahan sakit kepala kerana kurang pengetahuan berkenaan dengannya. Sakit kepala dan migrain boleh menjadi tanda kepada permasalahan yang lebih serius jadi jika anda mempunyai simptom lain seperti ketegangan leher, ruam, demam, batuk dan kekeliruan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan diagnosis melalui pemeriksaan fizikal.

    Konklusi

    Migrain adalah merupakan penyakit yang boleh mempengaruhi kesihatan dan prestasi kerja individu. Cuti sakit bagi mereka yang mempunyai migrain boleh diberikan namun ia bergantung kepada individu tersebut. Lagi mudah kalau kita ambil cuti sakit, berehat dan kembali bekerja apabila sudah sihat, kan?

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 08/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan