Ramai Guna Media Sosial Untuk Diagnosis Masalah Alat Sulit, Kajian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Bagi penulis, masalah alat sulit adalah sesuatu yang sangat peribadi. Jadi, jika penulis ada sebarang kebimbangan mengenainya, penulis akan terus berjumpa dan berbincang dengan doktor. Tetapi, ada juga individu yang menggunakan media sosial untuk berkongsi masalah alat sulit mereka sesama pengguna yang lain! Biar betul?

Trend yang merisaukan

Kini, sedang tular satu trend di mana individu yang ada masalah pada alat sulit akibat sexually transmitted diseases (STD) menggunakan sebuah forum di media sosial Reddit untuk mendapatkan ‘diagnosis’. Apa yang merisaukan pakar adalah mereka yang mengepalai atau mengendali forum r/STD ini tidak mempunyai kelayakan kedoktoran.

Selain itu, media sosial Reddit ini juga telah digunakan untuk berkongsi gambar alat sulit, kononnya untuk bertanya dan berkongsi masalah yang dialami. Ia adalah satu trend yang tidak sihat dan tidak senonoh. Sehingga kini, sudah lebih 10,000 orang menyertai forum r/STD ini. Jumlah ini dijangka akan meningkat lagi dan sesuatu perlu dilakukan untuk membanterasnya.

Kajian dari Amerika

Menurut kajian yang dijalankan University of California, San Diego, sebanyak 16,979 kiriman pada forum r/STD di Reddit antara awal tahun 2010 sehingga Februari 2019 direkodkan. Forum ini dikatakan telah menjadi lebih popular sejak 8 tahun kebelakangan ini, dengan jumlah kiriman bulanan berkenaan masalah alat sulit meningkat sehingga 500 kiriman.

Saintis mendapati bahawa 58 peratus daripada kiriman ini adalah untuk meminta ‘crowd-diagnosis’ atau pandangan pengguna media sosial Reddit yang lain. 31 peratus daripada kiriman akan mengandungi gambar alat sulit mereka. 79 peratus daripada kiriman pula akan mendapat jawapan dalam masa satu hari ia dikirim.

alat sulit

Apa kata pakar?

Dr John Ayers, salah seorang daripada saintis tersebut menyatakan bahawa ‘crowd-diagnosis’ mungkin bagus untuk mendapatkan pendapat dari pelbagai sudut pandangan. Tetapi, ia mungkin akan mengundang kepada diagnosis yang tidak tepat atau salah.

Terrence Higgins, pakar kesihatan seksual juga menyokong dakwaan ini dengan menjelaskan bahawa nasihat kesihatan secara atas talian mungkin boleh membantu. Tetapi, anda masih perlu berkunjung ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan doktor pakar.

Begitu juga pandangan daripada Liz Porter yang menyatakan bahawa internet sangat membantu dalam menyebarkan informasi kesihatan, tetapi ia tidak boleh memberi diagnosis. Tidak kira di Reddit atau mana-mana media sosial yang lain, anda masih perlu berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat dan selamat.

Konklusi

Kesimpulannya, masalah alat sulit tidak boleh diselesaikan dengan media sosial! Ya, anda mungkin boleh mendapatkan pendapat dari pelbagai sudut pandangan. Namun, ia bukan diagnosis yang anda perlu percaya seratus peratus. Sebaiknya, berkunjung ke klinik atau hospital untuk membicarakan mengenai masalah alat sulit anda dengan doktor pakar yang berkelayakan, ya?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut