Ada Apa dengan Sakit Kepala?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sakit kepala sering mengganggu aktiviti harian. Ia adalah antara aduan paling biasa di klinik dan hospital. Namun, isitilah sakit kepala itu terlalu umum sedangkan terdapat banyak jenis dan puncanya. Ada yang ringan dan ada yang berat sehingga menjejaskan kualiti hidup.

Ada 3 jenis utama sakit kepala. Mari lihat apakah jenis tersebut.

Sakit kepala tegang (tension headache)

Selepas balik daripada kerja, kepala terasa seperti berdenyut-denyut. Seolah-olah kepala anda diikat dan dijerut dengan tali. Ini adalah simptom yang biasa berlaku. Ini juga merupakan jenis paling kerap antara jenis-jenis yang lain.

Sakit yang dialami adalah disebabkan oleh otot di kepala dan leher menjadi tegang. Kedudukan dan postur yang salah boleh menjadi puncanya. Biasanya, sakit berlaku selama beberapa minit sahaja tetapi boleh sehingga beberapa hari dan kerap berulang.

Sakit kepala kluster (cluster headcahe)

Sakit kepala kluster mungkin yang paling sakit berbanding jenis lain. Semasa serangan, ia menyebabkan rasa sangat sakit seperti terbakar di satu bahagian kepala, atau di belakang mata. Biasanya, mata dan hidung akan berair.

Ia berlaku dalam satu tempoh tertentu, contohnya sebulan. Kemudian, akan berlalu tanpa serangan. Sakit mungkin datang semula selepas itu. Sebabnya adalah tidak jelas dan kerap berlaku dalam kalangan lelaki walaupun secara amnya, sakit kepala kluster adalah jarang. Alkohol adalah antara perangsangnya.

Migrain (migraine headache)

Ini adalah jenis yang kompleks. Ia berlaku disebabkan oleh perubahan fisiologi yang berlaku di dalam kepala. Cahaya dan bunyi adalah sangat sensitif bagi penghidap migrain. Simptomnya termasuk sakit kepala di satu sisi kepala, sakit mata, sensitif terhadap cahaya dan bunyi serta mual dan muntah. Serangan biasanya berlaku antara beberapa minit hingga satu jam.

Awasi simptom bahaya

Kebanyakan sakit kepala adalah tidak berbahaya. Namun, ia mungkin tanda atau simptom kepala penyakit yang lebih serius. Justeru, jika anda mengalami mana-mana simptom berikut, dapatkan pemeriksaan doktor:

  • Muntah.
  • Muka kebas.
  • Percakapan tidak jelas.
  • Tangan atau kaki menjadi lemah.
  • Sawan.
  • Keliru.

Pemeriksaan dan sejarah perubatan yang lengkap diperlukan untuk membuat diagnosis akhir. Bagi sakit kepala biasa, rawatan kebiasaannya dalam berbentuk konvensional tanpa ubat, atau menggunakan ubat di kaunter seperti panadol, aspirin atau ibuprofen. Dalam kes yang lebih serius, rawatan lain mungkin diperlukan termasuk rawatan psikologi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut