
Migrain adalah salah satu daripada jenis sakit kepala. Meskipun istilah ini sering digunakan untuk menjelaskan sakit kepala yang teruk, migrain adalah sejenis sakit kepala yang spesifik melibatkan perubahan fisiologi yang berlaku di dalam kepala.
Jenis sakit kepala ini kadangkala disertai dengan sensitiviti terhadap cahaya, bunyi atau bau.
Simptom migrain termasuk:
- Sakit kepala di satu sisi kepala. Amat jarang ia melibatkan kedua-dua sisi.
- Sakit mata.
- Sensitif terhadap cahaya atau bunyi.
- Mual dan muntah.
Bagaimana ingin menangani migrain?
Selain daripada ubat-ubatan, migrain juga boleh dikawal melalui pemakanan dan gaya hidup yang betul.
1. Dapatkan persekitaran yang tenang
Antara perkara yang boleh merangsang serangan migrain adalah cahaya terang dan bunyi bising. Apabila serangan berlaku, keluar daripada tempat anda dan dapatkan susana yang lebih menenangkan.
Antara perkara yang anda boleh lakukan:
- Padamkan lampu.
- Tutup pintu untuk kurangkan bunyi daripada luar.
- Letakkan kain sejuk di atas dahi.
- Banyakkan minum air, terutamanya jika anda muntah.
- Minum air kopi dalam kuantiti yang sedikit. Ia mampu mengurangkan sakit kepala.
2. Dapatkan tidur yang cukup
Kurang tidur juga mungkin merangsang serangan migrain.
Perkara yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan tidur yang mencukupi:
- Tetapkan jadual tidur yang tetap. Bangun dan tidur pada waktu yang sama setiap hari.
- Buang semua yang mengganggu perhatian anda. Tutup semua gajet sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur. Cahaya daripada gajet memberikan signal kepada otak anda untuk terus bangun.
- Jangan paksa diri untuk tidur. Semakin anda memaksa diri, semakin susah untuk anda tidur. Buat aktiviti ringan sehingga anda mengantuk.
- Kurangkan minuman berkafein dan periksa ubat-ubatan yang mungkin membuatkan anda tidak boleh tidur.
3. Jaga pemakanan
Pemakanan memberikan kesan terhadap serangan migrain.
- Tulis diari pemakanan. Kenal pasti makanan yang merangsang migrain anda.
- Jangan melangkau hidangan anda.
- Disiplin dengan jadual. Makan pada waktu yang sama setiap hari.
4. Bersenam secara berkala
Bersenam membuatkan badan anda melepaskan bahan kimia yang boleh menghalang isyarat sakit di dalam otak. Ia juga mengurangkan kebimbangan serta kemurungan.
Berat berlebihan juga meningkatkan risiko sakit kepala. Oleh itu, senaman yang membantu mengekalkan berat badan sihat, dalam masa yang sama dapat mengurangkan migrain anda.
5. Kawal stres
Stres tentunya merangsang migrain. Jauhkan diri anda daripada pencetus stres.
- Mulakan hari dengan fikiran yang positif.
- Mudahkan urusan harian anda.
- Kelilingi diri dengan kawan-kawan yang positif.
- Nikmati setiap saat dalam kehidupan anda.
6. Diari migrain
Setiap kali anda mengalami serangan migrain, catatkan ia di dalam sebuah buku. Diari ini mungkin mampu membantu anda mengenal pasti pencetus kepada migrain anda.
Contohnya, jika selalu berlaku pada waktu petang, mungkin ia disebabkan stres daripada kerja. Jika pada waktu pagi, kemungkinan kurang tidur menjadi punca.
Mencegah adalah jalan terbaik untuk mengawal migrain. Untuk mencegah, pencetus dan perangsangnya harus dikenal pasti terlebih dahulu. Jika semua langkah di atas gagal mengurangkan migrain anda, sila dapatkan nasihat perubatan di hospital atau klinik.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.