Komplikasi-komplikasi jangkitan influenza
Antara komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku termasuklah pneumonia bakteria, jangkitan telinga, jangkitan sinus, dan keadaan perubatan kronik yang semakin teruk seperti kegagalan jantung kongestif, asma dan diabetes.
Langkah penjagaan yang sepatutnya
Menurut Dr. Noor Hisham, sekiranya terdapat keperluan perubatan, dos paracetamol yang bersesuaian perlu diberikan selain kaedah menyejukkan badan dengan menggunakan kain basah pada kepala, kaki dan juga badan. Tambah beliau lagi, penggunaan ubat anti radang (NSAIDS) perlu dielakkan jika berlakunya demam kerana terdapat bukti yang menunjukkan bahawa penggunaannya mungkin meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti keradangan otak dalam kalangan kanak-kanak.
Untuk mereka yang sedang sakit, mereka dinasihatkan untuk meminum banyak air bagi mengekalkan hidrasi tubuh badan mereka. Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan nasihat perubatan secepat yang mungkin sekiranya demam tersebut berlanjutan atau terdapat sebarang simptom influenza yang lain seperti selesema, flu, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan juga keletihan. Mereka yang dijangkiti juga dinasihatkan untuk tidak kerap keluar rumah atau berada di tempat-tempat awam. Jika perlu untuk keluar rumah, mereka yang dijangkiti ini digalakkan untuk memakai topeng muka bagi mengelakkan penyebaran jangkitan melalui udara.
Untuk mengelakkan penyebaran jangkitan influenza kepada individu lain, orang awam terutamanya mereka yang dijangkiti diminta untuk menjaga tahap kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air bersih, menggunakan hand sanitizer, menjaga kelakuan apabila batuk dan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat. Selain itu, bagi mereka yang berada dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti, mereka juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin flu bermusim yang boleh diperoleh daripada fasiliti kesihatan swasta yang terdapat di seluruh negara. Mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko ini adalah seperti kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun, warga emas, wanita hamil, mereka yang mempunyai penyakit kronik, mereka yang obesiti dan juga mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen