Individu yang menderita masalah migrain cenderung berhadapan dengan beberapa kesan migrain dalam kehidupan seharian mereka yang boleh menyebabkan bahaya.
Bahkan — tahukah anda, penghidap migrain 3x ganda lebih terdedah kepada gangguan kesihatan mental seperti kemurungan, khususnya jika serangan migrain kerap dialami?
Kesan migrain dalam kehidupan seharian seorang individu
Hakikatnya, masalah migrain bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental, tetapi turut menjejaskan aspek lain dalam kehidupan!
Tak percaya? Jom kita lihat antara 4 kesan migrain dalam kehidupan seharian yang boleh menjejaskan kualiti hidup individu tersebut jika tidak mendapatkan rawatan awal, seperti berikut:
#1 Menjejaskan hubungan kekeluargaan
Berdasarkan satu kajian pada tahun 2014, masalah migrain bukan sahaja menjejaskan individu yang mengalaminya, tetapi turut memberi impak kepada ahli keluarga!
Hampir 70% responden dalam kajian tersebut bersetuju jika mereka tidak mengalami migrain, mungkin mereka boleh menjadi pasangan yang lebih baik.
Manakala 60% responden juga mengatakan mereka boleh menjadi ibu bapa yang lebih baik, tanpa migrain.
Berdepan dengan masalah migrain dan perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa bukanlah satu perkara yang mudah. Peranan ibu atau bapa tetap harus dilaksanakan walaupun anda berada dalam kesakitan.
Contohnya — seorang ibu yang mengalami migrain tetap perlu menyediakan makanan dan menjaga anak-anak. Jika tidak, ia mungkin menimbulkan impak negatif pada anak-anak, sama ada untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Kesan migrain dalam kehidupan seharian apabila sudah bergelar ibu bapa mungkin akan membuatkan anda rasa seperti seorang yang gagal. Namun ingatlah, bergelar ibu bapa itu sendiri satu anugerah yang tidak ternilai.
Mendapatkan rawatan awal adalah pilihan terbaik bagi memastikan anda dapat menikmati hubungan kekeluargaan yang positif.
#2 Mengasingkan diri dari hubungan sosial
Mengalami masalah migrain seakan-akan seperti seorang bayi yang sentiasa memerlukan perhatian dan belaian ibu bapa.
Anda mungkin boleh mengawal atau menyembunyikan kesakitan migrain yang dialami, tetapi pasti ada segelintir individu yang tidak mengerti kesakitan tersebut.
Tidak semua orang dalam hidup anda boleh memahami sejauh mana masalah migrain yang anda alami itu boleh menjejaskan kesejahteraan diri, malah cenderung mewujudkan emosi negatif, kecuali jika mereka turut mengalaminya.
Rasa kecewa, terasing dan bersalah adalah antara emosi yang sering dialami oleh penderita migrain. Untuk mengatasi rasa ini, ia memerlukan kesefahaman dan tolak ansur daripada semua pihak.
Komunikasi adalah satu langkah penting untuk mewujudkan sikap saling memahami di antara satu sama lain.
#3 Menjejaskan kesihatan mental
Menurut kajian, masalah migrain, kemurungan dan gangguan kegelisahan memiliki satu kecenderungan yang sama dan saling berhubung kait.
Berdasarkan kajian berkaitan masalah kesihatan mental dan migrain yang dibuat pada tahun 2009 itu, 11% responden yang mengalami migrain turut didapati mengalami gangguan kesihatan mental!
Ia melibatkan gangguan seperti kemurungan, gangguan kegelisahan umum (GAD), dysthymia, gangguan bipolar, serangan panik, penyalahgunaan bahan terlarang, agoraphobia dan masalah fobia lain.
Bukan itu sahaja — malah, kajian juga menunjukkan kemurungan, gangguan kegelisahan dan gangguan bipolar lebih cenderung dialami oleh individu yang menderita masalah migrain, berbanding individu sihat lain.
Ini bermakna, kesan migrain dalam kehidupan seharian tidaklah boleh dipandang enteng!
Biasanya, individu yang mempunyai masalah kemurungan atau gangguan kegelisahan akan gelisah atau mengalami kemurungan yang teruk sebelum diserang masalah migrain.
Kajian turut mendapati individu yang mengalami migrain episodik atau kronik lebih cenderung mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) pada masa akan datang berbanding individu lain.
#4 Mengurangkan produktiviti dan kebebasan kewangan
Bolehkah kesan migrain dalam kehidupan seharian menjejaskan pekerjaan anda?Jawapannya sudah tentu.
Anda mungkin boleh mengambil cuti sakit atau meneruskan kerja seperti biasa walaupun diserang migrain. Namun, berdasarkan satu kajian baharu, serangan migrain yang dialami boleh menyebabkan kemerosotan dalam produktiviti.
Penyelidikan ini mendapati, walaupun ramai penghidap migrain masih ke tempat kerja seperti biasa, tetapi masa bekerja mereka adalah lebih kurang berbanding individu yang tidak mengalami migrain!
Bahkan, kajian juga mendedahkan, individu yang berdepan dengan masalah serangan migrain sebanyak 15 kali dalam masa sebulan akan kehilangan purata hampir 4.5 jam produktiviti dalam bekerja selama seminggu.
Dari sudut ekonomi, ia mendatangkan impak besar dalam isu kewangan apabila lebih banyak wang diperuntukkan untuk perbelanjaan perubatan dan masa produktiviti.
Jumlah ini mungkin lebih tinggi memandangkan tidak semua individu yang menderita migrain menerima sebarang didiagnosis.
Rawatan bantu atasi kesan migrain dalam kehidupan
Terdapat banyak cara yang dapat membantu anda mengendali masalah migrain dengan berkesan. Namun, pastinya untuk menangani impak migrain dalam kehidupan bukanlah satu perkara mudah dan boleh diatasi dalam sekelip mata.
Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mendapatkan bantuan yang diperlukan, khususnya berkaitan kesihatan mental. Percayalah, anda tidak keseorangan dalam melawan migrain.
Walau apa pun, akhirnya anda juga yang membuat pilihan dan keputusan, sama ada membiarkan migrain menguasai diri atau anda berhak mengawalnya. Terpulang.
[embed-health-tool-bmi]