Setiap individu pernah mengalami simptom sakit kepala sepanjang hayat mereka. Namun begitu, adakah terdapat cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan dan mudah untuk anda lakukan?
Pada kebanyakan masa, anda hanya perlu berehat dan masalah tersebut akan hilang secara beransur-ansur.
Walau bagaimanapun, bukan semua keadaan begitu. Ada yang masih merasai sakit kepala walaupun telah mendapatkan rehat yang cukup.
Jadi apa yang anda seharusnya lakukan? Adakah simptom sakit kepala berbeza bagi setiap individu, dan bagaimana cara menghilangkan sakit kepala?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Otak dan Saraf, anda boleh klik di sini.
Cara menghilangkan sakit kepala, ketahui jenisnya dahulu
Sakit kepala boleh dibahagikan kepada dua jenis; primer dan sekunder.
Selain daripada jenis pengelasan yang telah dinyatakan, simptom sakit kepala tersebut juga boleh dibahagikan kepada punca dan lokasi kesakitan yang dialami.
Pada kebanyakan masa, sakit kepala yang tidak hilang selepas rehat atau mempunyai tahap kesakitan yang teruk adalah simptom yang perlu diberikan perhatian dan rujukan kepada doktor.
Primer
Sakit kepala jenis ini berlaku akibat daripada aktiviti otak yang berlebihan atau masalah berkaitan dengan otot, saraf atau salur darah di leher.
Dalam sesetengah kes, masalah sakit kepala primer turut boleh diwariskan oleh ibu bapa kepada anak. Ia tidak mempunyai punca yang begitu jelas.
Walau bagaimanapun jenis sakit kepala ini kebiasaannya bukan disebabkan oleh masalah kesihatan yang dialami oleh pesakit.
Berikut merupakan jenis sakit kepala primer yang boleh dialami oleh pesakit:
- Sakit kepala kluster
- Migrain
- Sakit kepala tekanan
Bagi sakit kepala primer yang menjadi petanda kepada simptom masalah kesihatan lain pula:
- Sakit kepala semasa batuk
- Sakit kepala semasa bersenam
- Sakit kepala semasa seks
- Sakit kepala kronik yang berlaku setiap hari
Sekunder
Sakit kepala sekunder berlaku akibat masalah kesihatan yang dialami pesakit.
Penyakit yang boleh menyebabkan sakit kepala sekunder biasanya mempengaruhi integriti saraf di dalam kepala.
Antara masalah kesihatan yang boleh menyebabkan sakit kepala adalah:
- Resdung (jangkitan sinus)
- Kekoyakan salur darah arteri
- Darah beku
- Aneurisme otak
- Ketumbuhan otak
- Keracunan karbon monoksida
- Sakit gigi
- Dehidrasi
- Meningitis (jangkitan selaput otak)
- Jangkitan telinga
- Strok
- Serangan panik
- Glaukoma
Sakit kepala sekunder boleh berbeza mengikut tahap keterukan dan durasi bergantung kepada puncanya.
Kenapa selalu rasa sakit kepala?
Jawapan ringkas bagi persoalan tersebut adalah bagi sakit kepala primer, kita tidak tahu punca spesifik ia berlaku.
Walau bagaimanapun, doktor boleh mengecualikan masalah berkaitan dengan tisu otak dan tengkorak memandangkan ia tidak mempunyai saraf yang boleh menyebabkan kesakitan.
Ini bermakna, struktur badan yang sering menjadi punca kepada masalah sakit kepala adalah saraf, salur darah atau otot di kepala dan leher.
Punca bagi sakit kepala sekunder pula bergantung kepada jenis penyakit yang dialami oleh penghidap.
Oleh sebab itulah usaha untuk mengenal pasti punca sakit kepala tidaklah semudah seperti yang disangka.
Jenis sakit kepala yang bagaimana perlu diberi perhatian?
Bagi kebanyakan individu, sakit kepala bukanlah satu simptom yang serius. Ia kebiasaannya hilang dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun, segelintir individu boleh mengalami masalah sakit kepala yang memerlukan perhatian dan rawatan dengan kadar segera.
Berikut merupakan jenis sakit kepala yang boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan serius:
- Sakit kepala kronik yang berlaku selepas usia 50 tahun.
- Sakit kepala yang menjadi teruk apabila anda bergerak atau batuk.
- Anda terbangun daripada tidur akibat sakit kepala.
- Sakit kepala yang boleh merencatkan keupayaan anda untuk menjalankan aktiviti harian.
- Anda mengalami simptom sakit kepala selepas terhantuk.
- Sakit kepala yang semakin teruk, hari demi hari.
- Sakit kepala teruk yang tidak pernah dialami sebelum ini.
- Perubahan pada personaliti atau mood akibat sakit kepala.
- Sakit kepala yang disertakan dengan simptom seperti demam, ketegangan leher, lemah badan, kelesuan, kebas-kebas dan kesukaran untuk bercakap.
- Sakit kepala pada bahagian tempel (kawasan sisi kepala atas).
- Mengalami masalah mata merah yang disertakan dengan pening kepala.
Tip
Perubahan gaya hidup dan rawatan di rumah
Meskipun punca sakit kepala sukar untuk dikenal pasti, terdapat perubahan gaya hidup dan cara menghilangkan sakit kepala di rumah yang berkesan untuk mengurangkan intensiti kesakitan dan risiko anda mengalami masalah tersebut.
Bagaimana cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan?
Berikut merupakan cara menghilangkan sakit kepala yang boleh dilakukan:
- Ambil masa untuk berehat. Jika anda bekerja tanpa henti, ia boleh menyebabkan masalah sakit kepala.
- Pastikan anda tidur sekurang-kurangnya 8 jam setiap malam.
- Jika anda sering berasa stres, ambil masa untuk berehat. Stres boleh menyebabkan badan anda berasa terbeban dan ia boleh meningkatkan risiko untuk mengalami masalah sakit kepala.
- Ambil makanan berzat yang kaya dengan vitamin dan mineral. Amalan pemakanan seimbang adalah rahsia kepada kesihatan tubuh badan. Ia boleh menghindarkan pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh menjurus kepada masalah sakit kepala seperti tekanan darah tinggi.
- Bersenam dengan kerap juga merupakan salah satu cara menghilangkan sakit kepala yang berkesan. Jika ada masa, lakukan sesi senaman 30 minit sehari. Lakukan secara bersederhana dan kalau anda mengalami sakit kepala semasa bersenam, dapatkan nasihat pakar.
- Rujuk kepada doktor sekiranya anda mengalami simptom teruk.
- Jika anda bekerja di persekitaran berbahaya, pakai alat perlindungan peribadi seperti helmet dan sebagainya. Perkara yang sama perlu diamalkan oleh mereka yang bergiat dalam aktiviti sukan lasak.
- Pengambilan minuman teh boleh menjadi cara menghilangkan sakit kepala.
Kesimpulan
Setiap individu pasti pernah mengalami simptom sakit kepala, namun bagi yang tidak tahu puncanya akan rasa masalah ini membebankan mereka.
Jadi, amat penting untuk anda mengenal pasti simptom sakit kepala yang kronik. Sebaik-baiknya, dapatkan konsultasi doktor sekiranya petua hilangkan sakit kepala berdenyut ini tidak berkesan.
[embed-health-tool-bmi]