Mungkin ramai yang belum tahu bahawa Jun adalah Bulan Kesedaran Penyakit Otak & Alzheimer. Bersempena dengan itu, wajarlah untuk kita semua memberi lebih perhatian terhadap kesihatan mental sejagat.
Apa itu penyakit Alzheimer? Seperti mana yang kita tahu, ia adalah sejenis penyakit mental yang sering kali terjadi kepada warga emas dan boleh menjejaskan kehidupan penderitanya.
Antara komplikasi yang selalu berlaku adalah nyanyuk (demensia). Paling membimbangkan, ada juga penderita yang nyanyuk sampai terlepas waktu makan dan minum akibat terlupa.
Ini telah menyebabkan penjaga pesakit Alzheimer berdepan kesulitan yang agak teruk. Jadi, mari kita sama-sama ikuti artikel ini untuk tahu apa yang boleh dilakukan untuk menghadapinya!
Apa itu penyakit Alzheimer?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, wajarlah untuk kita belajar serba sedikit tentang penyakit ini.
Ia akan menjejaskan fungsi dan sistem otak yang seterusnya mengakibatkan individu mengalami masalah dalam aspek perlakuan, pemikiran serta ingatan.
Dalam bahasa yang lebih mudah, penyakit ini akan menyebabkan penderita itu nyanyuk. Kondisi ini dikenali sebagai demensia dalam bahasa perubatan.
Mungkin ramai yang sangka ia adalah normal akibat penuaan. Tidak, penyakit ini perlu dirawat dengan segera dan betul agar simptom demensia tidak semakin meneruk.
Alzheimer adalah punca demensia?
Menurut kajian yang dijalankan oleh Alzheimer Association, kira-kira 60% ke 80% kes demensia adalah disebabkan oleh penyakit Alzheimer.
Ia kemudiannya akan mengakibatkan penderita nyanyuk dan mudah lupa setiap perkara asas yang perlu dilakukan dalam kehidupan seharian.
Antara perkara yang sering penderita lupa adalah nama dan wajah penjaga mereka. Begitu juga dengan perkara terpenting seperti identiti, lokasi, waktu, mandi, tidur, makan dan minum.
Kesemua ini akan mengakibatkan kesukaran kepada penjaga serta berisiko buat penderita terutamanya yang menghidapi penyakit kronik lain seperti kencing manis, darah tinggi atau penyakit jantung.
Adalah lebih membimbangkan sekiranya mereka lupa untuk makan dan minum bagi kelangsungan hidup!
Persoalannya, apakah yang boleh penjaga pesakit Alzheimer lakukan untuk menghadapinya?
Apa yang boleh penjaga pesakit Alzheimer lakukan?
Pertama sekali, kalian perlu tahu dan faham bahawa pesakit Alzheimer bukan sahaja akan lupa malahan hilang minat terhadap makanan dan minuman.
Inilah yang akan jadi cabaran utama kerana mereka ini masih memerlukan vitamin, mineral dan nutrisi yang sihat untuk kehidupan yang lebih terjamin.
Berikut apa yang anda perlu buat:
#1. Makan bersama pesakit Alzheimer
Ini bukan sahaja akan membantu penderita lebih selesa dan tenang ketika makan dan minum malah membantu kalian sendiri agar tidak mengabaikan waktu makan mereka.
Jadi, setiap kali anda mengambil sarapan, makan tengah hari, minum petang atau makan malam, pastikan mereka juga ada di meja makan dan bersantapan bersama anda.
#2. Kurangkan gangguan di sekeliling
Mungkin benar mereka memerlukan perhatian yang secukupnya dari anda. Namun kalian juga perlu memberikan mereka ruang untuk berasa lebih senang ketika makan dan minum.
Oleh itu, tempatkan meja makan anda di tempat yang jauh dari gangguan seperti televisyen atau radio yang boleh membuat mereka terleka lantas terlupa untuk makan.
#3. Hidangkan satu atau dua juadah sahaja
Terlalu banyak hidangan boleh membuat mereka celaru dan serabut. Jadi, hidangkan sedikit sahaja di atas meja makan untuk membuat mereka lebih fokus.
Sebagai contoh, kalian mungkin boleh hidangkan semangkuk nasi putih bersama ayam rebus dan sayur salad di atas satu pinggan sahaja untuk memudahkan mereka.
#4. Lebih fleksibel dalam hal masakan
Individu dengan demensia sangat mudah berubah cita rasa. Mungkin hari ini mereka gemar makan ikan namun esok tidak suka pula dan mahu makan ayam.
Jangan terkejut dan mengeluh dengan permintaan mereka ini. Jadi, cuba lebih fleskibel dalam memasak dan mempelbagaikan menu setiap hari.
#5. Beri pesakit Alzheimer masa untuk makan dan minum
Jangan sesekali memberi tekanan kepada mereka ya?
Sebaliknya, ingatkan dengan baik bahawa mereka perlu kunyah dan telan makanan dengan perlahan. Jika mereka perlu masa yang sangat lama sekalipun, bersabarlah.
Dalam pada itu, sentiasa periksa suhu, rasa dan tekstur makanan yang disajikan agar ia sentiasa berada pada paras yang baik dan menarik.
Menjaga pesakit Alzheimer memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Jika berdepan kesulitan, sila rujuk pakar untuk mendapatkan konsultasi.
[embed-health-tool-bmi]