backup og meta

Mengapa Seseorang Itu Boleh Jadi Pelupa? Ini 5 Punca Anda Sering Tak Ingat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/05/2022

    Mengapa Seseorang Itu Boleh Jadi Pelupa? Ini 5 Punca Anda Sering Tak Ingat

    Selalukan kita dengar masyarakat mengatakan, jika makan semut boleh dapat penyakit lupa hinggakan kita takut akan air atau makanan yang dicemari semut.

    Namun sejauh manakah kebenarannya? Adakah ini fakta atau mitos? Atau individu itu sendiri yang mempunyai penyakit lupa, namun tidak mahu mengaku?

    Oleh itu, artikel ini akan membantu dalam menjawab persoalan-persoalan anda dan mengupas punca terjadinya penyakit lupa dan cara mengatasi lupa.

    Banyak makan semut sebab itu terkena penyakit lupa?

    Betul atau tidak penyataan di atas, tidaklah dapat kami tentukannya kerana tiada bukti saintifik yang mengaitkan punca lupa akibat termakan semut.

    Namun begitu, berikut kami sediakan antara punca sering berlakunya penyakit lupa dalam kalangan masyarakat:

    #1 Kurang tidur

    Tidak cukup tidur mungkin merupakan penyebab boleh terjadinya penyakit ini.

    Tidur yang sering tidak berkualiti dan mencukupi juga dapat menyebabkan perubahan mood dan kegelisahan kepada seseorang individu, yang seterusnya menyumbang kepada masalah dengan ingatan.

    #2 Pengambilan ubat-ubatan

    Ubat penenang, antidepresan, ubat tekanan darah, dan ubat-ubatan lain juga boleh mempengaruhi daya ingatan seseorang.

    Ia boleh menyukarkan minda anda untuk berfungsi secara normal dalam rutin harian.

    Rujuklah dengan doktor atau ahli farmasi jika anda mengesyaki bahawa ubatan tersebut menyebabkan perubahan pada daya ingatan anda.

    #3 Minum alkohol terlampau banyak

    penyakit lupa

    Meminum alkohol dalam kuantiti yang terlalu banyak boleh mengganggu ingatan jangka pendek anda, walaupun kesan alkohol tersebut akan hilang mengikut peredaran masa.

    Oleh itu, bagi individu bukan Islam, anda disarankan untuk tidak mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak sekali gus kerana khuatir ia mengganggu daya ingatan dan kesihatan anda.

    #4 Kemurungan

    Tanda-tanda kemurungan yang biasa terjadi adalah termasuk kesedihan yang melampau, kurang bersemangat, dan tidak lagi seronok dalam membuat aktiviti kegemaran.

    Penyakit lupa juga boleh terjadi akibat kemurungan dan sekiranya perkara ini mengganggu anda, ada baiknya berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui apakah yang menjadi punca kepada permasalahan ini.

    Mungkin sesuatu boleh diubah seperti cuba dapatkan tidur yang mencukupi, menukar ubat-ubatan kemurungan, atau menyertai program pengurangan tekanan.

    Cara ini mungkin dapat mengembalikan kesihatan anda ke landasan yang betul.

    #5 Adakah anda kerap bersenam?

    Senaman fizikal akan membuatkan jantung anda mengepam darah yang kaya oksigen dengan lebih baik bagi mengalir ke bahagian otak lalu membuat anda lebih cerdas dan membuatkan pemikiran lebih tajam.

    Kajian juga menemui bukti awal bahawa senaman yang berintensiti sederhana sudah mampu merangsang kawasan otak yang terlibat dengan fungsi daya ingatan.

    Cara mengatasi lupa

    Cuba tip yang kami sediakan di bawah untuk cara mengatasi penyakit lupa anda itu.

    1. Selitkan aktiviti fizikal dalam rutin harian anda

    Aktiviti fizikal meningkatkan aliran darah ke seluruh badan anda, termasuk otak. Ini akan dapat membantu menjaga memori anda.

    Bagi orang dewasa yang tiada masalah kesihatan dan sihat, pakar mengesyorkan sekurang-kurangnya melakukan 150 minit seminggu senaman seperti aktiviti aerobik, brisk walking, atau 75 minit seminggu aktiviti kardio yang lebih intensif, seperti jogging.

    Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk bersenam sepenuhnya atas beberapa faktor, lakukan aktiviti fizikal yang santai dengan hanya berjalan kaki selama 10 minit setiap hari sudah memadai.

    2. Kekal minda yang aktif

    Sama seperti aktiviti fizikal yang membantu menjaga kesihatan tubuh badan anda, dengan melakukan aktiviti yang merangsang sel-sel otak juga dapat menguatkan daya ingatan.

    Ini sekali gus membantu dalam mengurangkan kemungkinan untuk menghadapi penyakit lupa.

    Cara mengatasi lupa adalah dengan lakukan aktiviti seperti teka-teki silang kata, memilih laluan alternatif semasa memandu, belajar bermain alat muzik, melakukan aktiviti sukarelawan dan sebagainya.

    3. Tidur yang berkualiti

    Tidur memainkan peranan penting dalam membantu anda mempunyai daya ingatan yang kuat.

    Jadikan tidur yang cukup sebagai keutamaan dan bagi orang dewasa, mereka memerlukan 7 hingga 9 jam tidur sehari.

    4. Makan makanan yang sihat

    penyakit lupa

    Diet yang sihat memberikan manfaat pada kesihatan otak dan juga badan.

    Makan buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian penuh serta pilih sumber protein yang rendah lemak, seperti ikan.

    Apa yang anda minum juga penting. Terlalu banyak alkohol boleh menyebabkan kekeliruan dan kehilangan ingatan. Begitu juga dengan penggunaan dadah.

    Bila anda harus bertemu doktor jika alami penyakit lupa?

    Sekiranya anda bimbang tentang kesihatan otak anda, terutamanya jika anda mengalami kehilangan ingatan sehingga mempengaruhi kemampuan anda untuk berfungsi dalam aktiviti harian, berbincanglah dengan doktor anda.

    Doktor mungkin akan melakukan ujian fizikal, dan juga memeriksa ingatan bagi memberikan menyelesaikan terhadap masalah anda.

    Kadangkala, ujian lain juga mungkin diperlukan dan jenis rawatan akan bergantung kepada apa yang menyumbang terhadap penyakit sering tidak ingat ini.

    Rumusan

    Berdasarkan kupasan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa memakan semut menyebabkan penyakit lupa sudah terang lagi bersuluh merupakan mitos.

    Terdapat banyak bukti saintifik yang dapat dikaitkan terhadap punca terjadinya masalah lupa. Oleh itu, pastikan anda mengamalkan gaya hidup sihat agar masalah ini dapat dielakkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan