backup og meta

Apa Yang Terjadi Bila Doktor Cakap Masih Hidup Tapi Mati Otak? Ia Bukan Koma, Tahu!

Ditulis oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Disemak pada 08/06/2020

    Apa Yang Terjadi Bila Doktor Cakap Masih Hidup Tapi Mati Otak? Ia Bukan Koma, Tahu!

    Kematian sering dikaitkan dengan detik terhentinya nafas atau degupan jantung seseorang. Tak ramai yang faham dengan istilah “mati otak’. 

    Namun, kemajuan teknologi perubatan dan penambahbaikan kemahiran pakar, mampu untuk ‘menghidupkan’ semula individu walaupun jantung mereka telah berhenti berdegup untuk beberapa ketika.

    Oleh itu, definisi kematian yang dikenali masyarakat umum ini telah diperhalusi dan ditakrifkan sebagai kematian klinikal.

    Wujud pula satu jenis kematian yang tidak kurang pentingnya iaitu mati otak ataupun kematian otak (brain death)

    Apa itu mati otak ataupun kematian otak?

    Mati otak (brain death) merujuk kepada kematian batang otak (brainstem). Jom kenali dahulu struktur batang otak ini.

    kematian otak

    Batang otak adalah struktur penting yang menghubungkan tisu otak di dalam tengkorak dengan tisu-tisu saraf tunjang (spinal cord) di dalam kolum tulang belakang. 

    Batang otak ini terdiri daripada 3 bahagian iaitu; otak tengah (midbrain), pons dan medulla oblongata. 

    Struktur batang otak memainkan pelbagai peranan penting dalam tubuh badan. Antaranya untuk: 

    • Meregulasi fungsi pernafasan dan jantung
    • Kawalan motor dan deria untuk saraf-saraf di muka dan leher (melalui saraf-saraf kranial)
    • Regulasi sistem saraf tunjang badan
    • Regulasi kitaran tidur

    Disebabkan kedudukannya, batang otak bertindak sebagai penghubung kepada pelbagai laluan isyarat saraf di antara otak dan saraf tunjang.

    Ini termasuklah laluan saraf yang mengawal deria sakit, suhu, getaran, sentuhan halus dan kasar, dan yang paling penting sekali- refleks. Dalam erti kata lain, batang otak memainkan peranan yang sangat mustahak dalam mengawal tindak balas luar kawalan (involuntary) badan. 

    Kecederaan kepada struktur ini akan menyebabkan tindak balas luar kawalan seperti refleks anggota badan, pernafasan dan lain-lain terjejas. 

    Baca juga:

    • Otak Memproses Pemahaman Metafora. Bagaimanakah?

    • Kerap Bersenam Menyebabkan Fungsi Otak Terganggu?

    Apabila seseorang itu disahkan menghidap mati otak, mereka tidak mempunyai peluang untuk bertambah baik langsung.

    Tubuh badan mereka hanya akan dapat terus menerima bekalan darah dan oksigen dengan sokongan alat perubatan. 

    Tanpanya, badan mereka tidak mampu untuk menghasilkan refleks jantung dan pernafasan yang diperlukan untuk terus hidup. 

    Oleh itu, dari sudut perundangan, kematian batang otak dikira sebagai kematian yang sah (legal death).

    Kematian otak secara asasnya disebabkan oleh terputusnya bekalan oksigen kepada otak. Ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa keadaan. Antaranya: 

  • Serangan jantung
  • Strok
  • Pendarahan dalam otak
  • Kecederaan kepada kepala
  • Jangkitan otak 
  • Tumor otak
  • Artikel berkaitan:

    Bagaimana kematian otak ditentukan?

    Jangan terkeliru dengan kematian otak dan koma, kedua-duanya berbeza. 

    Satu-satunya persamaan antara koma dan kematian otak adalah kedua-duanya tidak sedarkan diri dan persekitaran mereka. 

    Pesakit koma mempunyai peluang untuk bertambah baik atau berisiko untuk menghidap kematian otak. 

    Untuk keadaan koma, seseorang itu boleh mengalami koma yang mendalam (deep coma) ataupun keadaan vegetatif. 

    koma

    Apapun, kedua-dua koma mendalam dan keadaan vegetatif masih mempunyai aktiviti otak pelbagai tahap dan kebolehan refleks tertentu untuk menyokong pernafasan dan fungsi jantung mereka. 

    Oleh itu, ia masih dikira sah bernyawa (legally alive). 

    Antara penilaian asas yang dilakukan untuk menentukan seseorang itu telah mati otak adalah:

    • Pesakit tidak mempunyai sebarang respons terhadap isyarat suara dan visual
    • Pesakit berada dalam kedai longlai (flaccid) dan tidak mempunyai kawalan mahupun refleks tangan dan kaki
    • Pupil mata mereka tidak bertindak balas dengan cahaya. Pupil kedua-dua belah mata akan kekal kembang dengan suluhan cahaya 
    • Ketiadaan refleks okulosefalik (apabila kepala dipusing ke kiri dan kanan, refleks untuk mengekalkan anak mata di tengah-tengah tidak berlaku)
    • Pesakit tidak mempunyai refleks kornea
    • Pesakit tidak menghasilkan sebarang respons kepada rangsangan tekanan di atas kening
    • Pesakit tidak mempunyai refleks okulovestibular
    • Pesakit tidak mempunyai refleks gag
    • Pesakit tidak mempunyai sebarang pernafasan spontan setelah dicabut daripada mesin pernafasan

    Ini merupakan pemeriksaan asas yang dilakukan untuk diagnosis kematian otak. 

    Ada beberapa ujian lanjutan yang dilakukan mengikut standard operasi setempat dan pusat perubatan tertentu bagi mengesahkan diagnosis kematian otak.

    Sempena Hari Tumor Otak Sedunia, bersamalah kita tingkatkan kefahaman tentang komplikasi tumor otak dan hapuskan stigma yang tidak tepat berkaitan keadaan ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Disemak pada 08/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan