backup og meta

Adakah Penyakit Kusta Benar-benar Sudah Pupus?

Adakah Penyakit Kusta Benar-benar Sudah Pupus?

Penyakit kusta merupakan penyakit purba yang telah meragut berjuta-juta nyawa individu di seluruh dunia. 

Pelbagai jenis mitos dan salah faham berlegar-legar dalam kepercayaan masyarakat mengatakan penyakit ini merupakan sumpahan atau hukuman buat mereka yang menghidapnya.

Walau bagaimanapun, saban tahun, kemajuan teknologi dan pengetahuan mendalam berkenaan dengan penyakit kusta membolehkan penderita kusta sembuh sepenuhnya dengan rawatan antibiotik.

Jarang sekali kita bertembung atau terdengar cerita berkenaan dengan penyakit kusta sekarang. Adakah ini bermakna penyakit kusta telah pupus? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Pengasingan sosial pesakit kusta

Di Malaysia, Pusat Pengasingan Pesakit Kusta (PPPK) telah dibuka seawal 1850 di Pulau Serimbun, Melaka. Pada waktu tersebut, belum ada lagi enakmen yang mewajibkan pengasingan pesakit kusta untuk tujuan rawatan dan menyekat penyebaran.

Walau bagaimanapun, pengasingan sosial merupakan satu alternatif berkesan bagi menghindarkan penularan wabak tersebut meskipun ia tidak seagresif jangkitan selesema. 

Pembinaan PPPK dilihat sebagai satu jalan yang dapat memberikan kebaikan kepada semua pihak. Di samping menghindarkan penularan wabak, ia juga merupakan pusat kajian dan rawatan bagi mengubati penyakit tersebut.

Pembinaan pusat-pusat pengasingan lain seperti di Pulau Jerejak, Setapak Camp, Pulau Pangkor, Tampoi, Sungai Buloh dan Kota Bahru menyusul selepas itu. 

Perkara ini bagi memenuhi keperluan semasa untuk mengasingkan jumlah pesakit kusta yang kian meningkat. 

Lembah Harapan, PPPK terbesar di Tanah Melayu

Lembah Harapan, PPPK yang terletak di Sungai Buloh merupakan satu kawasan penempatan yang dikhususkan untuk pesakit kusta. 

Ia merupakan PPPK terbesar di Tanah Melayu pada waktu itu dan kedua terbesar di dunia selepas perkampungan kusta di Pulau Cilion, Filipina.

Konsep pembinaannya bukanlah seperti hospital tetapi kawasan penempatan yang mempunyai pelbagai jenis infrastruktur kemudahan awam seperti pasar, balai polis dan ladang-ladang.

Ia dibina pada tahun 1926 selepas kerajaan British meluluskan Enakmen Kusta 1926 yang mewajibkan pesakit kusta untuk ditempatkan di Lembah Harapan. PPPK lain yang pernah dibina sebelum tahun tersebut kemudiannya ditutup dan pesakitnya dikumpulkan di PPPK Sungai Buloh.

Kawasan penempatan ini pernah mencatatkan bilangan pesakit seramai 2000 individu. Berbeza dengan waktu itu, sekarang ia menempatkan kurang daripada 200 pesakit kusta.

Kini, Lembah Harapan telah ditukar nama kepada Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dan diserapkan di bawah pengurusan Hospital Sungai Buloh.

Penyakit kusta sudah pupus?

Malaysia telah mencatatkan rekod pada tahun 1994 setelah berjaya mengurangkan kadar kejadian kes baharu penyakit kusta kepada 1 dalam kalangan 100,000 penduduk. Ia merupakan sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk kesemua negara endemik penyakit kusta menjelang tahun 2000.

Adakah penyakit ini sudah pupus sekarang? Jawapannya tidak. Pada tahun 1940, apabila antibiotik dapsone telah ditemui oleh pengkaji, ia mengubah protokol rawatan pesakit kusta daripada pengasingan sosial semata-mata kepada terapi antibiotik. 

Berbeza dengan apa yang menjadi kepercayaan masyarakat setempat, penyakit kusta bukanlah disebabkan oleh sihir mahupun hukuman kepada individu yang mengalaminya.

Penyakit kusta adalah jangkitan kulit kronik yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae. Ia boleh mempengaruhi fungsi saraf pada bahagian tangan dan kaki, lapisan hidung dan saluran pernafasan atas.

Bakteria ini boleh menyebabkan masalah ulser, kerosakan saraf dan lemah otot. Jika ia tidak dirawat, pesakit kusta boleh mengalami kecacatan kekal pada rupa dan kecacatan fungsi.

Seperti spesies mycobacterium yang lain, bakteria ini tersebar melalui titisan air ketika bersin dan batuk. Ia tidak mudah berjangkit namun jika seseorang itu selalu terdedah kepada mereka yang mempunyai bakteria itu, mereka boleh mendapat penyakit kusta.

Jangkitan kusta belum lagi pupus. Disebabkan oleh keberkesanan rawatan campuran pelbagai jenis antibiotik (MDT), individu yang mengalaminya boleh sembuh dengan hanya mengambil ubat tersebut untuk tempoh 6 hingga 12 bulan.

Walaupun WHO telah memberikan rawatan MDT secara percuma kepada semua negara endemik pada tahun 1995, rawatan MDT telah bermula seawal 1983 di Malaysia. 

Rawatan ini berjaya menurunkan insiden, kadar kecacatan dan kadar kematian pesakit kusta, membuatkan pesakit ini jarang untuk menunjukkan gejala yang sering dikaitkan dengan jangkitan kusta. 

Justeru, timbullah salah anggap yang mengatakan penyakit ini sudah pupus.

Peningkatan kes baharu dalam kalangan PATI

Pada tahun 2016, dianggarkan seramai 216,000 individu menghidap penyakit kusta di seluruh dunia. Lebih daripada 200 kes baharu telah didiagnosis di Malaysia dan kesemuanya dihidapi oleh golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perkara ini agak membimbangkan berikutan golongan PATI lebih cenderung untuk tidak mendapatkan rawatan memandangkan mereka tidak mempunyai dokumen kemasukan yang sah.

Tanpa mengambil terapi MDT yang menjadi protokol utama bagi mereka yang menghidap penyakit kusta, penyakit ini mudah tersebar kepada individu lain ketika mereka berada di tempat awam.

Sebaik sahaja penghidap menerima rawatan, mereka tidak lagi berupaya untuk menyebarkan penyakit tersebut kepada individu lain. 

Lelaki berdepan dengan risiko sebanyak dua kali ganda berbanding dengan wanita untuk mendapat jangkitan ini. Mereka yang mempunyai masalah sistem imun rendah juga berisiko untuk dijangkiti. Maka amat penting bagi individu yang dijangkiti untuk mendapatkan terapi MDT agak penyakit kusta tidak tertular.

Kesan sampingan rawatan termasuk demam, bengkak kaki dan tangan, sakit pada urat saraf dan lemah otot. Kompilasi simptom ini dikenali sebagai reaksi lepra. Individu yang mengalaminya akan diberikan ubat steroid bagi mengurangkan kesan sampingan tersebut.

Malaysia mempunyai kemudahan yang canggih bagi mengenal pasti status jangkitan penyakit kusta. Jika anda mendapat keputusan positif, doktor bertugas akan melaporkan kepada kementerian dan rawatan terapi MDT anda dimulakan secara serta merta.

Penyakit kusta belum pupus. Ia cumalah penyakit yang sering dilupakan berikutan insidennya yang rendah berbanding dengan jangkitan lain yang mudah tersebar.

Konklusi 

Bersempena dengan sambutan hari penyakit kusta sedunia, marilah bersama-sama kita beri peringatan kepada khalayak umum bahawa penyakit kusta belum pupus dan boleh sembuh dengan terapi antibiotik.

Tanpa rawatan, komplikasi yang boleh dialami oleh pesakit kusta boleh menjejaskan kualiti hidup individu. Jika anda pernah berhubung rapat dengan pesakit kusta, dapatkan khidmat nasihat dan rawatan susulan daripada doktor.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Kusta belum pupus. (https://www.hmetro.com.my/node/26289). Diakses pada 23 Januari 2020.
  2. Pengenalan dan sejarah PKKN. (https://hsgbuloh.moh.gov.my/index.php/pengurusan2/pusat-kawalan-kusta-negara-pkkn/pengenalan-dan-sejarah-pkkn). Diakses pada 23 Januari 2020.
  3. Leprosy. (https://www.healthline.com/health/leprosy). Diakses pada 23 Januari 2020.
  4. Lembah Harapan, Pusat Kawalan Kusta Kedua Terbesar Dunia Suatu Ketika Dahulu. (https://iluminasi.com/bm/lembah-harapan-pusat-kawalan-kusta-kedua-terbesar-dunia-suatu-ketika-dahulu.html). Diakses pada 23 Januari 2020.
  5. WHO Multidrug therapy. (https://www.who.int/lep/mdt/en/). Diakses pada 23 Januari 2020.
  6. Pendatang asing punca kusta merebak semula. (https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/02/529304/pendatang-asing-punca-kusta-merebak-semula). Diakses pada 23 Januari 2020.

 

Versi Terbaru

31/01/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Mohammad Nazri Zulkafli


Artikel Berkaitan

Moon Face, 7 Punca Ini Sebabkan Muka Jadi Bulat & Kelihatan Bengkak, Bahaya!

Kanak-Kanak Jadi Mangsa Dera, Bagaimana Laporkan Kepada Pihak Berkuasa?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 31/01/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan