Mereka bukanlah golongan sampingan di dalam masyarakat dan tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa. Malah, ramai dalam kalangan mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan orang yang dikatakan normal.
Allahyarham Profesor Datuk Dr Ismail adalah contoh golongan masalah penglihatan yang telah berjaya dengan cemerlang mengalahkan orang biasa. Beliau yang pernah menjadi Presiden Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) merupakan pakar ekonomi graduan Doktor Falsafah (PhD) dari sebuah universiti di Amerika Syarikat. Selain itu, beliau juga adalah senator pertama yang pernah dilantik dalam kalangan OKU.
Ramai lagi individu yang berjaya seperti Sukur Ibrahim, Tuah Atan, Zhariff Affandi dan Ruzimi Mohamed.
Peluang dan kemudahan harus diberikan
Golongan ini harus mendapat layanan yang selayakkan sebagai anggota masyarakat. Kesedaran yang ada dalam kalangan masyarakat pada hari ini mungkin lebih baik berbanding 10 atau 20 tahun lalu. Kemudahan seperti tempat letak kenderaan, tandas dan laluan khusus semakin banyak ditemui.
Apa yang lebih penting, peluang pendidikan dan kemahiran sangat diperlukan agar mereka mampu menggilap potensi dan bakat yang ada untuk dimanfaatkan di dalam masyarakat. Sekiranya peluang tersebut tersedia, pastinya golongan ini mampu terkehadapan.
Masyarakat perlu belajar daripada mereka
Kekurangan yang ada pada diri ternyata bukanlah penghalang untuk berjaya. Hakikatnya, setiap orang mempunyai kekurangan masing-masing. Kadangkala, ia mungkin tidak terzahir. Kekurangan tersebut perlu dilihat sebagai cabaran dan peluang.