Berkesinambungan daripada artikel Kenali Penyakit yang Divaksin di Malaysia (1), mari kita ikuti apakah penyakit seterusnya.
7. Poliomyelitis
Agen penyebab: virus poliovirus.
Virus masuk melalui mulut dan boleh tersebar dalam kalangan orang sekeliling. Apabila seseorang dijangkiti, virus tersebut akan menyerang sistem saraf dan menyebabkan lumpuh kekal. Tiada rawatan khusus bagi penyakit ini melainkan rawatan sokongan melalui terapi fizikal. Hanya vaksin yang mampu melawan poliomyelitis.
8. Measles (demam campak)
Agen penyebab: virus measles.
Penyakit berjangkit ini masih lagi mecatatkan angka yang tinggi di Malaysia, iaitu di tangga ke-10 kes demam campak tertinggi di dunia meskipun vaksin percuma diberikan. Kanak-kanak yang dijangkiti mengalami tanda-tanda demam biasa ditambah dengan ruam di muka dan seluruh badan. Nampak ringan tetapi ia sebenarnya berpotensi membawa maut terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kurang zat.
9. Mumps (beguk)
Agen penyebab: virus mumps.
Virus yang tersebar melalui air liur dan cecair mulut ini menyebabkan radang pada kelenjar air liur parotid yang terletak di pipi, di bawah dan hadapan telinga. Beguk mempunyai beberapa risiko komplikasi termasuk meningitis, pankreatitis, keguguran dan orchitis yang boleh menyebabkan mandul.
10. Rubella (campak Jerman)
Agen penyebab: virus rubella.
Seperti demam campak, virus ini menyebabkan tanda-tanda demam biasa dan ruam. Simptom kebiasaannya lebih ringan berbanding demam campak. Namun, antara perkara utama yang menjadi perhatian adalah jangkitan sebelum dan semasa mengandung bagi wanita. Jika berlaku, anak di dalam kandungan tersebut berisiko menghidap congenital rubella syndrome (CRS). Anak yang lahir mengalami masalah penglihatan (katarak), pendengaran (pekak) serta masalah jantung dan otak.
11. Kanser serviks
Agen penyebab: virus human papilloma virus (HPV).
Virus HPV berpotensi menyebabkan kanser serviks (pangkal rahim). Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua jenis HPV (16 dan 18) bertanggungjawab ke atas 70% kes pra-kanser dan kanser. Rahim mungkin terpaksa dibuang untuk merawat kanser ini.
12. Ensefalitis Jepun (JE)
Agen penyebab: virus Japanese encephalitis (JE).
Seseorang boleh dijangkiti apabila digigit nyamuk yang membawa virus JE. Ia hidup di dalam babi dan burung liar. Kebiasannya, kawasan yang membela binatang ini adalah berisiko. Pesakit mengalami radang otak (ensefalitis) menyebabkan demam, sakit kepala atau lumpuh dan koma.
Kesemua 12 penyakit yang disebutkan adalah yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Namun, terdapat juga vaksin pilihan bagi penyakit lain termasuk:
- Chickenpox (cacar air).
- Cholera (taun).
- Hepatitis A.
- Influenza (flu).
- Thypoid (demam kepiatu).
- Penumococcal.
- Meningococcal.
Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Bagaimana anda ingin menjawab persoalan anak-anak anda jika mereka mandul disebabkan beguk, mendapat anak buta dan pekak kerana rubella atau terpaksa dibuang rahim kerana kanser serviks?
Baca juga:
[embed-health-tool-bmi]