
Seorang bayi berusia satu bulan di Vanuatu, sebuah negara kecil di lautan Pasifik Selatan, telah menjadi bayi pertama di dunia menerima vaksin yang dihantar menggunakan alat drone. Ia memberikan harapan kepada kaedah baru untuk menghantar vaksin serta menyelamatkan lebih banyak nyawa di kawasan terpencil.
Drone tersebut terbang membawa vaksin selama 25 minit sepanjang 40 km (24 batu) melalui kawasan berbukit untuk tiba di pulau Erromango. Jika vaksin tersebut dihantar melalui bot atau berjalan kaki, ia akan mengambil masa selama berjam-jam.
Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Vanuatu ialah kerajaan pertama di dunia yang menjalankan kontrak dengan syarikat komersial drone untuk menghantar vaksin. Ia disifatkan oleh UNICEF sebagai satu lonjakan yang besar dalam kesihatan global.
Vaksin yang dibawa oleh drone tersebut diambil oleh jururawat untuk diberikan kepada kanak-kanak dan wanita hamil. Setiap drone boleh membawa sejumlah vaksin termasuk polio dan tuberkulosis yang cukup diberikan kepada 13 kanak-kanak dan 5 wanita hamil.
Ini merupakan satu langkah yang sangat inovatif. Jika ia dapat dikembangkan lagi ke negara-negara lain, lebih ramai kanak-kanak, khususnya dalam kalangan 5 tahun pertama akan dapat peluang sebaiknya untuk meneruskan hidup.
Teknologi drone bukan satu perkara yang baru dan telah digunakan dalam banyak sektor seperti pembinaan, pertanian, pengangkutan. keselamatan, media dan hiburan, insuran, telekomunikasi, dan perlombongan. Namun, ia secara relatifnya masih baru dalam bidang kesihatan.
Negara Vanuatu yang terdiri dari 80 kepualauan dengan populasi seramai 280,000 merupakan antara negara paling miskin di dunia. Hanya sekitar 1 per 3 dari pulau yang didiami mempunyai lapangan terbang dan jalan raya.
28 dari 1,000 bayi yang lahir di negara ini meninggal dunia sebelum mencapai umur 5 tahun dan hanya 1 dari 5 kanak-kanak mendapat liputan penuh vaksin.
Pengangkutan vaksin adalah susah kerana ia perlu disimpan dalam suhu tertentu. Semasa dibawa oleh drone, ia disimpan di dalam kotak mengandungi ais dan pengesan suhu.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.