
1 Oktober 2018, Kuala Lumpur, Malaysia – Para pemimpin kesihatan dunia dari agensi-agensi di bawah PBB, badan bukan kerajaan, sektor swasta serta akademik senada mendesak negara-negara di dunia untuk meningkatkan capaian kepada perkhidmatan kanser, meningkatkan pelaburan dalam kanser demi menambahbaik program saringan kanser awal, rawatan dan penjagaan serta data mengenai kesihatan awam.
Keperluan untuk pelan tindakan kebangsaan dalam menangani kanser amat diperlukan ketika ini. Data terbaru daripada Agensi Kajian Kanser Antarabangsa (IARC) mengunjurkan terdapat 18.1 juta kes kanser baru dilaporkan dan 9.6 juta kematian akibat kanser pada tahun 2018. Ini bermakna negara-negara di dunia akan terlepas sasaran bagi mengurangkan kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCDs) seperti kanser pada kadar 25 peratus menjelang tahun 2025 sepertimana yang dipersetujui WHO pada tahun 2013.
Memberi komen mengenai senario kanser ketika ini, Prof. Sanchia Aranda, Presiden UICC berkata, “Kanser bukan sahaja masalah utama kesihatan, malah satu ancaman kepada pembangunan. Beban yang semakin berat ini bukan sahaja mempunyai implikasi ke atas pesakit, keluarga mereka dan sistem kesihatan, malah ke atas pertumbuhan ekonomi sesebuah negara secara keseluruhannya.”
Menyoroti perkembagan kupasan global di Perjumpaan Peringkat Tertinggi di PBB mengenai Penyakit tidak berjangkit (NCDs) pada minggu lepas, Sidang Kemuncak Pemimpin Kanser Dunia tahun ini diharap dapat mempamerkan tahap kepimpinan dengan memberi sokongan kepada Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) menerusi kempen ‘Treatment For All’ sebagai satu output berkesan untuk menangani kanser.
Yang Amat Mulia Puteri Dina Mired dari Jordan, bakal Presiden UICC berkata, “Sesungguhnya peperangan menentang kanser ialah usaha yang amat penting. Kita menghadapi 18.1 juta kes kanser baharu dan lebih 9.6 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun dan lebih kurang separuh daripadanya berlaku di Asia. Angka ini diunjurkan meningkat dengan pantas dalam tempoh sepuluh tahun akan datang dan akan membawa implikasi serius kepada negara-negara dengan sumber yang terhad.”
Sidang Kemuncak Pemimpin Kanser Dunia merupakan perjumpaan utama global di peringkat pembuatan dasar/polisi tertinggi yang memberi tumpuan terhadap kawalan kanser.
Ketua-ketua Negara, Menteri-menteri Kesihatan Global, pemimpin NGO, perwakilan tertinggi WHO, Bank Dunia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Antarabangsa untuk Kajian Kanser (IARC) dan Program Kerjasama PBB mengenai HIV dan AIDS (UNAIDS) serta para pemimpin daripada sektor awam dan swasta antara yang menghadiri sidang kemuncak kali ini.
Acara penting dalam kalendar kesihatan dunia ini membawa 3000 pakar kesihatan dan kawalan kanser dari 150 buah negara untuk berkongsi ilmu dan amalan terbaik bagi membendung kanser di peringkat global.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.