
Kerajaan harus meletakkan lebih banyak usaha bagi membiayai dan memberi capaian rawatan kanser kepada mereka yang memerlukan, kata wakil daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Penolong Ketua Pengarah bagi Bahagian Keluarga, Wanita, Kanak-kanak dan Orang Dewasa di WHO, Dr. Princess Nothemba (Nono) Simelela, berkata negara-negara berkeupayaan mengambil masa terlalu lama untuk membantu negara-negara miskin.
“Kita boleh menghantar manusia ke bulan, tapi kita gagal mencapai sasaran ‘Sustainable Development Goals,” katanya dalam nada sinis ketika ucaptama di upacara pembukaan Kongres Kanser Dunia.
Dr. Nothemba juga berkata kerajaan harus lebih mengembleng tenaga bagi merapatkan jurang agar masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan terutamanya dalam aspek kesihatan awam.
Dalam satu temuramah, beliau menyeru agar para pemimpin untuk mendesak syarikat pengeluar ubat untuk menghasilkan ubat rawatan kanser dengan harga yang lebih berpatutan kerana kini harga ubat tersebut sangat mahal.
Beliau juga berkata rundingan telah dibuat di peringkat PBB berkaitan ‘Perjanjian mengenai Aspek Hak Harta Intelek dalam Aspek Perdagangan (sebuah perjanjian di antara kesemua negara ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia) yang akan dimeterai oleh semua pihak di pelbagai peringkat.
“Polisi perdagangan dunia harus membenarkn negara-negara yang tidak mempunyai capaian kepada ubat dengan harga berpatutan untuk menghasilkan versi generik ubat tersebut,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Presiden Kesatuan Kawalan Kanser Antarabangsa, Prof Sanchia Aranda menyeru agar semua negara dapat memberi tumpuan kepada capaian rawatan kanser dan menghentikan jurang yang terdapat di antara mereka yang mempunyai dan tidak mempunyai capaian kepada rawatan kanser yang lebih berkesan.
Ketua Bahagian Pemerhatian Kanser bagi Agensi Kajian Kanser Antarabangsa, Dr. Freddie Bray berkata kes kanser baru dan angka kematian akibat kanser dijangka akan terus meningkat saban tahun.
Beliau berkata kes kanser diunjurkan akan meningkat kepada 18.1 juta tahun ini hingga 29.4 juta menjelang 2040.
Data terbaru daripada Agensi Kajian Kanser Antarabangsa yang dikeluarkan pada bulan lepas mendedahkan terdapat 18.1 juta kes baru kanser dan 9.6 juta kematian akibat kanser menjelang hujung tahun ini.
Lebih kurang 1 dalam 5 orang lelaki dan 1 dalam 6 wanita akan mendapat kanser sepanjang umur hidup mereka manakala 1 dalam 8 lelaki dan 1 dalam 11 wanita mati akibat kanser.
Di seluruh dunia, terdapat 43.8 juta penghidap kanser hidup dalam lima tahun pertama setelah didiagnosis.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.