
Salah satu daripada bank terbesar dunia, Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) memberikan amaran tentang keselamatan makanan pada masa akan datang. Menurut kajian yang dijalankan oleh HSBC, penggunaan antibiotik dalam penghasilan daging boleh menyebabkan kesan yang buruk kepada manusia.
Apabila pengusaha ladang memberikan haiwan ternakan mereka antibiotik, ia berpotensi menyebabkan kemunculan bakteria yang kebal kepada antibiotik atau biasa disebut sebagai rintangan antibiotik (antibiotic resistance). Dalam jangka masa panjang, bakteria ini menjadi sangat kebal dan jangkitan biasa seperti demam dan sakit tekak pun mungkin susah untuk dirawat.
Pakar menjangkakan bahawa rintangan antibiotik boleh mengakibatkan 10 juta kematian setiap tahun, mendahului kanser menjelang tahun 2050.
Sementara keadaan ini disebabkan oleh preskripsi antibiotik berlebihan oleh doktor, ia juga terkait dengan pemberian antibiotik kepada produk haiwan ternakan utama termasuk ayam, lembu, dan khinzir. Menurut laporan kajian tersebut, lebih separuh daripada antibiotik di peringkat global digunakan dalam industri pertanian dan penternakan berbanding perubatan.
Negara China merangkumi 60 peratus daripada penggunaan antibiotik dalam pertanian dan penternakan di peringkat global.
Kebanyakannya digunakan dalam penghasilan daging. Analisis yang dijalankan di Amerika Syarikat terhadap lebih 47,000 ujian makmal oleh kerajaan Amerika mendapati peningkatan jumlah daging khinzir dan lembu yang mengandungi bakteria rintangan antibiotik.
Menurut HSBC, beberapa syarikat besar sudah mengambil langkah dalam menangani keadaan ini. Pada tahun 2015, pengeluar daging Tyson Foods berikrar untuk berhenti menggunakan antibiotik dalam operasinya. Dua tahun selepas itu, McDonald pula mengikut langkah sama untuk menghentikan penggunaan antibiotik menjelang tahun 2027.
Walau bagaimanapun, tidak semua syarikat menyahut seruan ini. Malah, banyak pengeluar daging dan produk tenusu di Asia dan Amerika yang mempunyai insentif khas untuk meneruskan penggunaan antibiotik dalam penghasilan produk mereka. Dalam banyak keadaan, penggunaan tersebut membantu mereka menghasilkan produk dengan lebih cepat dan mengelakkan penyakit terutamanya dalam ladang yang padat dan kurang bersih.
HSBC turut mengingatkan bahawa keuntungan ekonomi yang diperoleh itu tidak setanding dengan ancaman yang diberikan ke atas kesihatan orang awam.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.