
Kes demam campak yang dilaporkan pada tahun 2017 mengalami lonjakan dan banyak negara menghadapi wabak campak yang serius serta berpanjangan, menurut laporan yang baru diterbitkan oleh organisasi kesihatan terkemuka.
Disebabkan jurang yang ada dalam liputan vaksin, wabak demam campak berlaku di semua rantau dengan kematian dianggarkan sebanyak 110,000 disebabkan penyakit tersebut.
Menggunakan data penyakit terkini, laporan tersebut menyediakan jangkaan paling menyeluruh mengenai trend demam campak dalam tempoh 17 tahun terakhir ini. Ia menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, lebih 21 juta nyawa berjaya diselamatkan melalui vaksin. Walau bagaimanapun, bilangan kes yang dilaporkan bertambah lebih 30% sejak tahun 2016.
Rantau Amerika, Mediteranean Timur, dan Eropah menghadapi lonjakan kes paling tinggi pada tahun 2017, manakala rantau Pasifik Barat (termasuk Malaysia) merupakan satu-satunya rantau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menunjukkan penurunan bilangan kes.
“Lonjakan semula kes demam campak ini merupakan satu kebimbangan yang serius dengan wabak yang berlaku di pelbagai rantau, terutamanya di negara-negara yang sudah atau hampir mencapai tahap eliminasi penyakit tersebut,” kata Dr Soumya Swaminathan, Naib Ketua Pengarah Program di WHO. “Tanpa langkah segera untuk meningkatkan liputan vaksin dan mengenal pasti populasi dengan kanak-kanak di bawah kadar yang boleh diterima atau langsung tidak divaksin, kita berisiko mengalami kerugian setelah usaha selama berdekad lamanya untuk melindungi kanak-kanak dan komuniti dari penyakit berbahaya yang boleh dicegah.”
Demam campak ialah penyakit yang serius dan sangat mudah berjangkit. Ia berpotensi menyebabkan komplikasi bahaya termasuk ensefalitis (jangkitan menyebabkan otak bengkak), cirit-birit yang teruk dan dehidrasi, pneumonia (jangkitan paru-paru), jangkitan telinga, dan kehilangan penglihatan kekal. Bayi dan kanak-kanak malnutrisi serta lemah sistem imun terutamanya lebih cenderung mengalami komplikasi dan kematian.
Penyakit ini boleh dicegah melalui 2 dos vaksin yang selamat dan efektif. Walau bagaimanapun, selama beberapa tahun belakangan ini, liputan global bagi dos pertama vaksin ini terhenti pada 85%. Angka ini kurang berbanding 95% yang diperlukan untuk mencegah wabak. Keadaan ini meletakkan masyarakat terdedah kepada jangkitan. Dos kedua pula hanya pada 67%.
“Peningkatan bilangan kes demam campak adalah sangat membimbangkan tetapi tidak mengejutkan,” kata Dr Seth Berkley, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gavi the Vaccine Alliance. “Rasa selesa terhadap penyakit ini dan penularan maklumat palsu mengenai vaksin di Eropah, kehancuran sistem kesihatan di Venezuela serta masalah kewangan dan liputan vaksin yang rendah di Afrika, semua ini menyumbang kepada lonjakan semula demam campak selepas mencapai perkembangan selama bertahun-tahun. Strategi yang ada perlu diubah. Lebih banyak usaha perlu diberikan terhadap meningkatkan liputan vaksin rutin dan menguatkan sistem kesihatan. Jika tidak, kita akan terus menghadapi wabak baru.”
Susulan dari itu, semua agensi kesihatan di seluruh dunia diseru untuk meningkatkan pelaburan dalam sistem imunisasi serta memperkasakan khidmat pemberian vaksin rutin. Usaha ini harus difokuskan terhadap mencapai golongan paling miskin dan paling dipinggirkan dalam komuniti termasuk individu yang terkesan dengan konflik dan kehilangan tempat tinggal.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.