
Kanak-kanak di negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi adalah sehingga 60 kali ganda lebih berisiko untuk mati dalam 5 tahun pertama berbanding di negara dengan kadar kematian terendah.
Dianggarkan sebanyak 6.3 juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun mati pada tahun 2017 menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Bahagian Populasi PBB, dan Kumpulan Bank Dunia. Dalam kata lain, setiap 5 saat, seorang individu akan mati dan kebanyakannya disebabkan oleh punca yang boleh dicegah.
Majoriti jumlah kematian ini (5.4 juta) berlaku dalam 5 tahun pertama dan bayi baru lahir merangkumi sekitar separuh daripada jumlah tersebut.
“Tanpa langkah segera, 56 juta lagi kanak-kanak bawah 5 tahun akan mati bermula saat ini sehingga tahun 2030, separuh daripadanya ialah bayi baru lahir,” kata Laurence Chandy, Pengarah Data, Kajian, dan Polisi UNICEF. Beliau menambah, “Kita telah melakukan peningkatan yang sangat baik dalam menyelamatkan mereka sejak tahun 1990 tetapi masih ramai yang mati hanya disebabkan oleh siapa diri mereka dan di mana mereka dilahirkan. Dengan penyelesaian mudah seperti ubat-ubatan, bekalan air bersih, tenaga elektrik, dan vaksin, kita mampu mengubah realiti yang ada bagi setiap kanak-kanak.”
Di peringkat global, separuh daripada kematian di bawah umur 5 tahun pada tahun 2017 berlaku di Afrika Sub-Sahara dan 30% di Asia Selatan. 1 daripada 13 mereka mati sebelum umur 5 tahun di Afrika Sub-Sahara, manakala di negara berpendapatan tinggi, angka tersebut ialah 1 daripada 185.
“Jutaan bayi dan kanak-kanak tidak seharusnya mati setiap tahun disebabkan kekurangan akses kepada air, sanitasi, pemakanan yang betul atau khidmat asas kesihatan. Kita hendaklah mengutamakan penyediaan akses kepada khidmat kesihatan berkualiti bagi setiap kanak-kanak khususnya ketika baru lahir dan dalam tahun-tahun awal demi memberikan mereka peluang terbaik untuk hidup dan membesar,” kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Keluarga, Wanita, dan Kanak-Kanak WHO, Dr Princess Nono Simelela.
Kebanyakan kanak-kanak bawah 5 tahun mati disebabkan punca yang boleh dicegah atau dirawat seperti komplikasi selepas lahir, pneumonia, cirit-birit, jangkitan kuman dalam darah, dan malaria. Sebagai perbandingan, kecederaan merupakan sebab kematian yang lebih utama dalam kalangan umur antara 5 dan 14 tahun terutamanya disebabkan lemas dan kemalangan jalan raya.
“Lebih 6 juta kanak-kanak mati sebelum berumur 15 tahun dan ini ialah fakta yang kita tidak boleh terima dengan mudah,” kata Timothy Evans, Ketua Pengarah Health, Nutrition and Population Global Practice di Kumpulan Bank Dunia. Beliau menambah, “Menamatkan kematian yang boleh dicegah dan melabur untuk kesihatan orang muda ialah asas kepada membina sumber manusia negara yang akan menggerakkan perkembangan dan kesejahteraan mereka pada masa hadapan.”
Bagi kanak-kanak di seluruh dunia, tempoh paling berisiko ialah sebulan pertama. Pada tahun 2017, 2.5 juta bayi baru lahir mati dalam bulan pertama. Bayi yang lahir di Afrika Sub-Sahara dan Asia Selatan ialah 9 kali lebih berisiko untuk mati dalam bulan pertama berbanding bayi yang lahir di negara berpendapatan tinggi.
Meskipun mempunyai banyak cabaran, bilangan kematian kanak-kanak di seluruh dunia berkurang setiap tahun. Angka kematian bawah umur 5 tahun berkurang secara mendadak daripada 12.6 juta (1990) kepada 5.4 juta (2017). Kematian antara umur 5 dan 14 tahun pula turun daripada 1.7 juta kepada kurang daripada 1 juta dalam tempoh yang sama.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Mewarna, Melukis: Asah Kreativiti Anak
- Anak Berdikari, Aspek Penting dalam Kehidupan
- Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.