Strok bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan wanita umur 35 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, kajian terbaharu mendapati kaum Hawa bawah 35 tahun berhadapan risiko strok yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 2 kali ganda lebih tinggi daripada kaum lelaki!
Menurut sebuah analisis yang diterbitkan di dalam jurnal Stroke, pakar mendapati wanita di usia 35 tahun ke bawah mempunyai risiko sebanyak 44% untuk mengalami strok iskemik yang disebabkan saluran darah yang tersumbat pada otak berbanding lelaki dalam kumpulan umur yang sama.
Bukan itu sahaja, wanita muda yang terselamat daripada serangan strok juga didapati mengalami kesan yang lebih serius. Malah, kerosakan dari segi fungsi organ juga 2 hingga 3 kali lebih tinggi berbanding kaum lelaki.
Mungkin ramai wanita yang berusia 35 tahun ke bawah merasai mereka masih lagi muda dan bebas penyakit.
Walau bagaimanapun, kajian terbaharu ini menunjukkan sebaliknya. Wanita umur 35 tahun dan lebih muda juga boleh alami serangan strok.
Oleh sebab itu, dengan peningkatan risiko ini, kaum Hawa perlulah lebih berhati-hati dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Mari ketahui apa itu strok iskemik dan apa yang boleh kaum Hawa lakukan untuk mengurangkan risikonya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Apakah maksud strok iskemik dan mengapa wanita umur 35 tahun lebih berisiko?
Strok iskemik berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke otak tersumbat.
Apabila darah tidak sampai ke otak, sel otak akan mulai mati dalam masa beberapa minit. Strok jenis ini merangkumi hampir 87% daripada semua jenis strok.
Ada dua jenis strok iaitu strok iskemik dan strok hemorhaj.
Berbeza dengan strok iskemik, strok jenis ini berlaku disebabkan salur darah yang lemah lalu pecah. Darah akan berkumpul dan mengakibatkan tekanan pada sekeliling tisu otak.
Serangan strok merupakan satu kecemasan. Pesakit juga perlukan rawatan secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih serius.
Menurut pakar, wanita umur 35 tahun ke bawah mempunyai risiko strok yang lebih tinggi disebabkan penggunaan pil kontraseptif oral.
Pil kontraseptif oral mempunyai risikonya yang tersendiri. Salah satunya ialah pembentukan darah beku di dalam salur darah. Darah beku ini boleh menyebabkan salur darah tersumbat lalu menyebabkan serangan strok.
Selain itu, faktor lain yang menyebabkan wanita lebih berisiko untuk mengalami strok ialah kehamilan. Menurut pakar, praeklampsia yang boleh menyebabkan hipertensi yang serius ketika kehamilan boleh menyebabkan strok.
Walau bagaimanapun, kebanyakan punca strok iskemik adalah tidak diketahui.
Wanita umur 35 tahun, ketahui tanda strok sebagai langkah berjaga-jaga!
Salah satu punca mengapa wanita mempunyai kesan sampingan strok yang lebih serius berbanding lelaki ialah kelewatan dalam mendapatkan rawatan.
Strok merupakan penyakit yang umumnya dikaitkan dengan kaum Adam. Oleh sebab itu, kaum Hawa mungkin tidak tahu mengenai tanda-tanda strok, terutamanya wanita berumur 35 tahun ke bawah.
Sebagai panduan, perhatikan tanda-tanda strok di bawah, terutamanya ketika simptom bermula. Rawatan strok paling efektif jika ia dimulakan secepat mungkin.
Antara simptom strok ialah:
- Masalah bercakap dan sukar memahami percakapan orang lain. Individu yang diserang strok akan rasa keliru dan sukar untuk bercakap. Mereka juga tidak dapat memahami percakapan orang lain.
- Lumpuh pada kawasan muka, lengan atau kaki. Pesakit strok akan mulai rasa kejang pada kawasan muka, lengan atau kaki. Strok juga akan menyebabkan pesakit lumpuh pada sebelah badan sahaja. Cuba angkat kedua-dua belah tangan. Jika sebelah tangan sukar untuk diangkat, anda mungkin sedang mengalami serangan strok.
- Kesukaran melihat pada sebelah mata. Anda mungkin sukar melihat pada sebelah mata, menjadi buta atau penglihatan menjadi bertindih.
- Pening kepala yang teruk. Pesakit juga akan rasa loya, muntah-muntah dan pengsan.
- Sukar berjalan. Pesakit strok juga mungkin akan hilang imbangan dan hilang koordinasi.
Baca juga:
- Simptom Sama, Tapi Lain Penyakit! Ini Cara Nak Bezakan Strok dan Sklerosis Berbilang!
- Lebih 25x Ganda Risiko Hidap Penyakit Jantung, Ini BAHAYA Sebenar Serangan Strok!
Kesimpulan
Bagi wanita umur 35 tahun ke bawah, inilah masa yang terbaik untuk menjaga kesihatan anda.
Ramai yang anggap diri sendiri ‘masih muda’ dan bertenaga pada usia ini. Namun, itu tidak bermaksud anda bebas daripada sebarang penyakit.
Wanita yang mengambil pil perancang dan pernah hamil mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami strok. Sama jugalah dengan wanita yang merokok.
Secara keseluruhannya, masih ada banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk mencari punca sebenar peningkatan strok dalam kalangan wanita umur 35 tahun ke bawah kerana kajian sedia ada masih belum cukup untuk memastikannya.
Walau bagaimanapun, strok masih lagi merupakan sesuatu yang jarang berlaku kepada orang muda. Namun, jika anda mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, tidak mustahil risikonya akan meningkat.
Untuk mengurangkan kebarangkalian strok, kaum Hawa perlulah bersenam dengan lebih kerap dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Jika anda merokok, tinggalkan amalan tersebut secepat mungkin.
[embed-health-tool-ovulation]