backup og meta

Buah Dada Kecil Punca Wanita Malaysia TAK SUKA Bentuk Payudara Sendiri, Betul Ke?

Buah Dada Kecil Punca Wanita Malaysia TAK SUKA Bentuk Payudara Sendiri, Betul Ke?

Payudara merupakan satu aset istimewa bagi wanita. Namun, bukan semua berpuas hati dengan saiz dan bentuk payudara mereka, termasuklah wanita Malaysia. Tetapi mengapa?

Tidak menyukai bentuk payudara

Jika individu lelaki menganggap payudara seorang wanita adalah bahagian yang paling menarik, sebaliknya situasi itu berbeza bagi wanita. Dalam satu kajian global menunjukkan hanya satu pertiga wanita menyukai bentuk payudara mereka. 

Lebih daripada setengah individu wanita di dunia berasakan payudara mereka terlalu kecil. Manakala satu perempat wanita di dunia pula mengatakan bahawa saiz payudara mereka adalah terlalu besar. 

Wanita dari Jepun, Pakistan, Thailand dan Amerika Syarikat antara yang paling tidak berpuas hati dengan apa yang mereka miliki. Malahan wanita Malaysia juga tidak terkecuali. Bagaimana pula dengan anda, adakah anda tergolong dalam kelompok tersebut?

Kajian terbesar

Kajian melibatkan seramai 18,541 responden wanita, berusia antara 19 hingga 94 tahun adalah satu penyelidikan terbesar yang mengkaji imej badan.  Kajian melibatkan lebih 40 buah negara dilakukan untuk melihat perbezaan tahap kepuasan individu wanita terhadap bentuk payudara.

Ketika kajian dilakukan, para saintis bertanyakan soalan kepada wanita tentang kepuasan mereka dengan payudara dan bentuk badan secara umumnya. Soalan berkaitan usia juga ditanyakan kepada responden. 

Wanita yang terlibat dalam kajian ini juga ditanyakan mengenai kekerapan mereka memeriksa payudara bagi sebarang perubahan seperti benjolan dan ketulan. 

Secara keseluruhannya, penyelidik mendapati bahawa hanya 29% wanita dari 40 buah negara, dengan purata usia 34 tahun gembira akan bentuk payudara mereka. Manakala 48% wanita mahukan payudara lebih besar. 

Kajian dari Anglia Ruskin University menunjukkan daripada jumlah wanita yang terlibat dalam kajian ini, sejumlah 23% wanita menginginkan saiz dan bentuk payudara yang lebih kecil. Baki 29% responden wanita gembira dengan payudara mereka. 

bentuk payudara

Wanita Malaysia turut tersenarai

Berdasarkan analisis kajian, saintis mendapati di United Kingdom dan Amerika, tiga suku daripada wanita di sana tidak berpuas hati dengan bentuk payudara mereka. Ia sama ada mereka mahukan payudara yang lebih besar atau lebih kecil berbanding payudara sedia ada.

Di Britain, 75% wanita tidak berpuas hati dengan saiz payudara mereka, di mana 56% mahukan buah dada yang lebih besar dan 19% adalah sebaliknya. Di Amerika Syarikat pula, sebanyak 43% wanita mahukan payudara lebih besar dan 32% ingin payudara yang lebih kecil.

Paling mengejutkan apabila kebanyakan wanita di Jepun dengan peratusan sebanyak 90% wanita mempunyai keinginan untuk mengubah payudara mereka. 70% daripada jumlah tersebut mahukan buah dada yang lebih besar.

20% daripadanya ingin menukar bentuk buah dada kepada lebih kecil. Sekali gus ia bermakna, hanya 10% wanita di Jepun berpuas hati dengan saiz payudara mereka.

Mereka diikuti rapat dengan wanita dari China dan Mesir. Manakala bagi wanita Malaysia, sebanyak 78% tidak berpuas hati dengan saiz dan bentuk payudara yang dimiliki mereka sekarang.

Daripada angka tersebut menunjukkan hanya 22% wanita Malaysia menyukai apa yang dimiliki mereka sekarang. Jadi anda dalam kumpulan yang mana? Kelompok wanita Malaysia yang bersyukur dengan apa yang ada, atau mempunyai keinginan untuk mengubah payudara anda?

Paling berpuas hati

Berdasarkan penyelidikan ini, wanita daripada Colombia dikatakan antara wanita paling berpuas hati dengan payudara yang dimiliki mereka dengan catatan sebanyak 57%. Hanya satu pertiga wanita di negara itu mahu payudara dengan saiz yang lebih besar.

Kedudukan tersebut diikuti oleh wanita Paraguay sebanyak 51% dan Ghana pada jumlah 52% wanita yang berpuas hati dengan payudara milik mereka sekarang.

Turut tersenarai dalam kelompok yang berpuas hati adalah wanita dari Sepanyol (45%), Norway (44%), Belanda (40%), Serbia (36%), Costa Rica (36%) dan juga Filipina (34%).

Tidak periksa buah dada

Menurut penyelidik utama kajian, Profesor Viren Swami, ia merupakan satu kebimbangan kesihatan awam yang serius apabila majoriti wanita di seluruh dunia tidak berpuas hati dengan bentuk dan saiz payudara mereka.

Berdasarkan hasil kajian, wanita yang tidak berpuas hati dengan saiz dan bentuk payudara, mengakui cenderung untuk tidak peduli dan tidak memeriksa payudara sekiranya terdapat ketulan kanser.

Disebabkan itu, kajian menyatakan mereka mungkin tidak akan perasan sebarang perubahan luar biasa pada buah dada mereka. Ini kerana mereka memilih untuk tidak melihatnya di cermin atau memegangnya kerana rasa malu.

wanita malaysia tidak suka bentuk payudara

Kanser payudara

Dianggarkan 1 daripada 8 wanita berisiko mengembangkan penyakit kanser itu pada satu tahap kehidupan mereka. Keadaan ini sekali gus menjadikan kanser payudara sebagai antara kanser paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. 

Pakar kesihatan dari National Health Service (NHS) mengesyorkan setiap wanita memeriksa payudara dengan kerap untuk mengenal pasti sebarang perubahan luar biasa. Ia sudah tentu dapat membantu mengesan kanser payudara pada peringkat awal, jika ada, sekali gus meningkatkan peratusan keberkesanan rawatan kanser.  

NHS juga menggalakkan wanita mempelajari mengenai payudara, terutamanya berkaitan bentuk, rasa serta sebarang perubahan tidak normal yang boleh dikesan pada peringkat awal, selain daripada pemeriksaan oleh doktor.

“Kanser payudara adalah penyebab utama kematian berkaitan kanser dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Keupayaan untuk melawan penyakit kanser adalah rendah kerana kurang tahap kesedaran pada wanita. 

“Rasa tidak puas hati terhadap payudara boleh menyebabkan wujudnya tingkah laku berkaitan tahap kesedaran payudara yang rendah. Keadaan ini cenderung berlaku jika payudara yang dimiliki menyebabkan wujudnya emosi negatif dan rasa malu,” ujar Profesor Swami.

Kesimpulan 

Normal jika anda rasa tidak puas hati tentang bentuk badan anda. Malahan rasa itu akan lebih cenderung untuk wujud jika anda mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah. 

Hakikatnya, tidak kira apa pun saiz mahupun bentuk payudara anda, ia adalah satu ciptaan terindah daripada Tuhan buat anda. Bersyukurlah!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.dailymail.co.uk/health/article-7969685/British-women-insecure-breast-size-world.html / Accessed on Feb 10, 2020

 

Versi Terbaru

12/01/2021

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Susu Susah Keluar Sebab Puting Tersumbat? Ini 7 Cara Atasinya

9 Fakta & Auta Berkaitan Penyusuan Badan, Ada Yang Masih Percaya Sampai Sekarang!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/01/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan