Pernahkah anda dengar mengenai urutan payudara untuk kesihatan? Apabila bercakap tentang urutan payudara, pasti ramai yang akan terfikir mengenai pemeriksaan payudara kendiri. Namun, apakah cara mengurut payudara yang selamat dan tidak memudaratkan?
Untuk pengetahuan anda, mengurut payudara mempunyai banyak kelebihan dari segi kesihatan.
Dari segi hubungan suami isteri, urutan payudara dapat menghangatkan lagi seks dan menambah kepuasan kaum Hawa di ranjang.
Malah, ada juga wanita yang melakukan urutan ini sebagai satu bentuk self-love!
Jangan terkejut jika ada antara kita yang sering mengurut payudara untuk mengurangkan stres, melancarkan peredaran darah dan mengurangkan kesakitan ketika haid.
Mungkin sukar untuk mencari tempat yang boleh melakukan urutan ini secara profesional. Berita baiknya, anda boleh mengurut payudara sendiri! Tidak perlu pun minta pertolongan orang lain.
Nak tahu apakah cara mengurut payudara yang betul? Jom ketahui lebih lanjut mengenai urutan payudara untuk kesihatan dan bagaimana anda boleh lakukannya sendiri di rumah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Cara mengurut payudara yang betul
Urutan payudara bukan sahaja bermanfaat sebagai salah satu cara mengesan kanser, ia juga dapat membantu memudahkan penyusuan.
Tak perlu lama, cukup 15 minit masa urutan untuk memberi manfaat terbesar kepada kaum Hawa.
Malah, anda juga boleh lakukan urutan ini sendiri! Risiko urutan ini juga sangatlah rendah. Jadi, anda boleh lakukannya sekerap mungkin.
Ada beberapa perkara yang anda perlu sediakan sebelum melakukan urutan payudara.
Sebagai permulaan, sediakan minyak yang anda suka. Anda boleh gunakan minyak zaitun, minyak kelapa atau apa sahaja yang ada di rumah.
Ada beberapa langkah mudah yang boleh diambil jika anda ingin melakukan urutan payudara untuk kesihatan. Caranya ialah:
- Gunakan 4 jari untuk menekan payudara. Perlahan-lahan, urut dengan gerakan membulat. Anda perlulah mula dari kawasan puting dan bergerak ke bahagian luar payudara. Ulang gerakan ini sehingga anda habis mengurut setiap bahagian payudara.
- Letakkan jari di kawasan ketiak. Kemudian, tolak payudara ke sisi dengan tapak tangan anda.
- Anda juga boleh mengurut di sekitar kawasan leher dan tulang selangka menggunakan gerakan membulat.
- Jangan lupa urut bahagian bawah payudara. Letakkan beberapa jari dan urut kawasan tersebut secara perlahan-lahan.
Urutan payudara seharusnya menjadi satu pengalaman yang menenangkan dan bukannya menyakitkan untuk wanita.
Jika anda alami sebarang kesakitan semasa melakukan urutan, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut. Sama jugalah jika anda mengesan ketulan yang abnormal.
Baca juga:
- Ada 5 Jenis Puting Payudara Wanita, Bukan Semuanya Sama Ya!
- Lelaki Lebih Puas Di Ranjang Jika Buah Dada Isteri Besar! Fakta Atau Auta?
Mengapa perlu lakukan urutan payudara untuk kesihatan
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, urutan payudara untuk kesihatan mempunyai banyak manfaat terhadap wanita.
Antara kelebihannya ialah:
1. Urutan payudara dapat membantu pengaliran darah
Urutan payudara amat bermanfaat dalam membantu pengaliran darah. Payudara wanita merupakan sebahagian daripada sistem limfatik badan.
Oleh sebab itu, urutan ini mungkin dapat membantu badan menyingkirkan sebarang toksin yang telah menghalang saluran limfa badan. Secara tidak langsung, wanita akan rasa lebih bertenaga dan bersemangat usai urutan.
2. Dapat membantu ibu yang menyusukan anak
Wanita yang sedang menyusukan anak juga mungkin dapat menghilangkan stres dan mengurangkan kelesuan selepas melakukan urutan payudara.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Korean Academy of Nursing, ibu yang melakukan urutan payudara semasa menyusukan anak didapati kurang mengalami kesakitan. Selalunya, mereka akan lakukan urutan selama 30 minit, 2 kali sehari.
3. Mengurangkan tekanan perasaan
Seperti semua jenis urutan, urutan payudara untuk kesihatan juga boleh menenangkan perasaan dan menghilangkan stres. Malah, ia boleh membuatkan mood wanita menjadi bertambah baik.
Jadi, tunggu apa lagi. Mulakan urutan payudara hari ini dan lihat kesannya terhadap mood serta emosi anda.
4. Urutan payudara boleh mengurangkan kesan regangan
Kesan regangan, terutamanya pada kawasan payudara boleh membuatkan kaum Hawa rasa rendah diri dan hilang keyakinan.
Untuk mengurangkan stretch mark, urutan secara berkala mungkin dapat membantu. Walau bagaimanapun, masih belum ada sebarang kajian yang dapat menyokong kenyataan ini.
5. Dapat mengurangkan masalah sakit badan
Jika anda kerap bersenam, pasti bahagian payudara akan kerap rasa sakit. Otot pectoralis major yang terletak di bawah buah dada boleh mengeras disebabkan senaman, postur badan yang tidak betul atau stres.
Untuk mengurangkan kesakitan, cuba lakukan urutan payudara untuk kesihatan diri sekerap mungkin. Ia boleh membuatkan badan anda lebih relaks, terutamanya selepas senaman atau setelah seharian bekerja.
6. Mungkin dapat membantu mengesan kanser
Urutan payudara dapat membantu wanita mengesan sebarang ketulan pada kawasan buah dada. Kanser payudara merupakan satu penyakit yang sangat berbahaya. Namun, kemungkinan untuk sembuh amat tinggi jika ia berjaya dikesan awal.
Wanita yang kerap mengurut payudara masing-masing lebih familiar dengan anggota badan mereka. Jadi, mereka lebih peka jika berlakunya sebarang perubahan dari segi bentuk dan rupa paras buah dada mereka.
Ketulan pada payudara boleh bersifat benign dan kanser. Jika anda mengesan sebarang abnormaliti pada buah dada, jumpa doktor secepat mungkin untuk pemeriksaan lanjut.
[embed-health-tool-ovulation]