Ladies, Ini 10 Kondisi Punca Sakit Dada Belah Kanan, Termasuk Masalah Jantung!
Pelbagai faktor boleh menyebabkan sakit dada sebelah kanan atas payudara. Ia mungkin lebih menyakitkan semasa menarik nafas panjang. Teruskan membaca untuk mengetahui punca sakit dada sebelah kanan pada perempuan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Punca sakit dada sebelah kanan atas payudara
Penyebab paling biasa sakit dada sebelah kanan termasuklah:
1. Tekanan dan kebimbangan
Tekanan dan kebimbangan berlebihan adalah dua keadaan yang boleh menyebabkan serangan panik. Keadaan ini boleh mengembangkan simptom yang hampir sama dengan serangan jantung seperti sakit dada secara tiba-tiba.
Namun berbeza dengan serangan jantung, serangan panik lebih biasa selepas situasi yang sangat tertekan.
Biasanya sakit lebih terasa pada bahagian tengah dada dengan serangan panik. Namun selalunya ia akan menyebabkan rasa sakit dada sebelah kanan seperti ditusuk.
Gejala lain yang boleh dialami adalah pernafasan cepat, sesak nafas, kebas di tangan dan kaki serta berpeluh.
Sakit dada sebelah kanan pada perempuan #2. Asid refluks (GERD)

Turut dikenali sebagai pedih ulu hati, penyakit refluks gastroesophageal (GERD) adalah keadaan biasa berlaku apabila asid perut naik ke atas esofagus, kesannya muncul sensasi terbakar terutamanya selepas makan.
Ketidakselesaan ini menyakitkan dan boleh dirasai pada bahagian dada secara umumnya atau pada sebelah kanan.
GERD biasanya disertai dengan gejala lain seperti kerap sendawa, pahit dalam mulut, rasa seperti ada ketulan di kerongkong dan batuk kering.
3. Ketegangan otot
Otot yang tegang adalah satu lagi punca biasa sakit dada sebelah kanan. Ia biasanya berlaku satu atau dua hari selepas melakukan sebarang aktiviti yang menggunakan otot dada dengan lebih intensif.
Menggunakan daya kuat pada bahagian dada boleh menyebabkan kerosakan sementara pada gentian otot. Ia mungkin tidak mengakibatkan kesakitan serta-merta, tetapi rasa sakit dada sebelah kanan atas payudara akan mula dirasai selepas beberapa hari.
Simptom lain termasuklah sedikit bengkak dan kesukaran menggerakkan lengan.
4. Costochondritis, penyebab sakit dada sebelah kanan atas payudara
Costochondritis atau sakit dada kurang biasa terjadi tetapi boleh menyebabkan kesakitan yang teruk. Biasanya akan dirasai pada bahagian tengah dada, tetapi boleh tertumpu pada sebelah kanan atau kiri.
Keadaan ini berlaku apabila rawan yang menyambung sternum ke tulang rusuk meradang kesan tekanan atau batuk yang kuat mahupun postur buruk.
Ia menyebabkan sensitiviti pada bahagian tengah dada dan sakit biasanya bertambah teruk apabila batuk atau menarik nafas dalam-dalam.
5. Keradangan pundi hempedu
Pundi hempedu adalah organ dalam rongga perut yang terletak di sebelah kanan atas.
Ia boleh membengkak jika:
- Batu karang mula terkumpul di dalam organ
- Batu karang menyekat saluran
- Selepas penghadaman makanan tinggi lemak
Keradangan ini boleh menyebabkan sakit pada bahagian atas perut kanan hingga ke dada kanan. Gejala lain termasuk muntah, loya, demam dan cirit-birit kuning.
Punca sakit dada sebelah kanan atas payudara #6. Keradangan hati
Hati, seperti pundi hempedu, juga terletak pada bahagian atas perut kanan.
Pembengkakan organ ini biasanya dicetuskan oleh jangkitan, pengambilan berlebihan bahan toksik seperti ubatan atau alkohol, parasit atau masalah jantung lain.
Selain sakit perut belah kanan hingga ke bahagian dada kanan, gejala lain adalah seperti muntah, hilang selera makan, kelesuan dan jaundis.
7. Pneumonia
Pneumonia dicirikan sebagai keradangan paru-paru yang disebabkan oleh agen berjangkit, makanan tercemar atau penggunaan peralatan pernafasan tidak bersih.

Gejalanya boleh muncul secara beransur-ansur atau dengan mendadak, khususnya apabila sistem imun lemah.
Masalah radang paru-paru ini juga boleh mengembangkan simptom seperti sakit dada sebelah kanan sampai belakang, sebelah kiri atau kedua-duanya, kesukaran bernafas, demam dan batuk.
8. Pneumothorax
Merupakan keadaan yang berkaitan dengan udara dalam ruang pleura – iaitu ruang antara dinding dada dan paru-paru.
Kewujudan udara dalam ruang ini boleh meningkatkan tekanan pada paru-paru, menyebabkan paru-paru runtuh (collapsed lung).
Kesannya wujud rasa sakit dada sebelah kanan atas payudara, kesukaran dan kesakitan semasa bernafas serta batuk.
Keadaan ini lebih cenderung berlaku kerana kecederaan dada seperti selepas jatuh atau berlubang. Namun ia juga boleh terjadi akibat radang paru-paru atau asma.
9. Embolisme pulmonari
Embolisme pulmonari adalah keadaan paru-paru dicirikan oleh bekuan darah yang menghalang saluran darah di dalam paru-paru. Ia membawa kepada penurunan aliran darah ke kawasan tersebut – bermakna kurang oksigen dan kemungkinan iskemia tisu.
Keadaan ini boleh menyebabkan sakit dada sebelah kanan pada perempuan jika bekuan itu terletak pada paru-paru kanan, selain gejala seperti sesak nafas, batuk, pening dan peluh berlebihan.
10. Masalah jantung, punca sakit dada sebelah kanan atas payudara
Apabila anda mengalami sakit dada, salah satu kebimbangan utama adalah ia mungkin tanda masalah jantung.
Walaupun ia jarang berlaku disebabkan jantung, namun keadaan ini berkemungkinan untuk terjadi terutamanya jika otot jantung meradang.
Kesakitan khusus kerana jantung biasanya sangat kuat dan mengakibatkan rasa sesak di dada. Gejala lain yang boleh berlaku adalah seperti berdebar-debar, batuk, kesukaran bernafas dan pengsan.
Sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai keadaan diri, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.
