backup og meta

Kemaluan Gatal Dan Keluar Keputihan? Boleh Cuba Penawar Natural Ini

Kemaluan Gatal Dan Keluar Keputihan? Boleh Cuba Penawar Natural Ini

Kemaluan gatal dan keluar keputihan boleh terjadi atas pelbagai sebab. Tapi yang pasti, ia bakal menyebabkan rasa tidak selesa!

Kondisi ini mungkin dipicu oleh masalah kekeringan pada faraj atau perengsa kimia, seperti yang terdapat pada sabun wangi.

Selain itu, kemaluan gatal dan keluar keputihan juga boleh berlaku dek kerana jangkitan kulat, vaginosis bakteria (BV), jangkitan kelamin (STI), atau lain-lain.

Masalah ini selalunya mudah dirawat, malah remedi semula jadi di rumah sudah dapat membantu!

Sebelum kita terus ke penawar di rumah, mari kita faham dahulu sains di sebalik kemaluan gatal dan keluar keputihan, okey?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Kemaluan gatal dan keluar keputihan

Selain kesan jangkitan bakteria atau kulat, sebilangan masalah keputihan adalah normal, terutamanya ketika hormon estrogen berada di paras yang tinggi.

Antara contoh tahap estrogen tinggi adalah seperti berikut:

kemaluan gatal dan keluar keputihan

  • Beberapa hari sebelum ovulasi
  • Selama beberapa bulan sebelum menarche dan ketika kehamilan (pengeluaran estrogen meningkat)
  • Penggunaan ubat-ubatan yang mengandungi estrogen atau yang meningkatkan pengeluaran estrogen (beberapa jenis ubat kesuburan)

Walakin begitu, kerengsaan, sensasi terbakar, dan faraj/keputihan gatal tidak normal sama sekali!

Kebiasaannya, pada wanita usia reproduktif, spesies Lactobacillus mendominasi flora faraj normal.

‘Penjajahan’ bakteria ini telah menjaga dan mengekalkan pH faraj yang normal (3.8 hingga 4.2), di samping mencegah pertumbuhan bakteria patogen yang berlebihan.

Faktor-faktor yang berupaya memicu pertumbuhan patogen faraj secara berlebihan, merangkumi:

  • Kehamilan
  • Kerap meruang
  • Diabetes mellitus
  • Penggunaan antibiotik (yang boleh mengurangkan lactobacilli)
  • pH faraj beralkali disebabkan oleh darah haid, air mani, atau penurunan lactobacilli
  • Tidak mengamalkan tahap kebersihan yang baik
  • Penggunaan bendasing ke dalam faraj (contohnya, tampon dibiarkan lama atau vaginal pessary)

Sekarang, mari kita beralih ke remedi-remedi natural yang dapat bantu redakan kemaluan gatal dan keluar keputihan!

Remedi-remedi semula jadi untuk keputihan gatal

#1 Mandian soda penaik/baking soda

Mandian soda penaik berpotensi untuk merawat jangkitan kulat serta kondisi kulit gatal yang tertentu.

Menurut kajian tahun 2013, baking soda mempunyai kesan antikulat!

1 kajian pada tahun 2014 mendapati bahawa soda penaik berupaya membunuh sel Candida, sel sama yang menyebabkan kemaluan gatal dan keluar keputihan.

National Eczema Foundation mengesyorkan untuk menambah 1/4 cawan baking soda ke dalam tab mandian, atau menjadikannya sebagai pes dan disapu ke kulit untuk merawat ekzema.

1 kajian pada tahun 2005 pula mendapati mandian soda penaik juga menjadi rawatan yang berkesan untuk psoriasis.

#2 Mandian cuka epal

Ramai orang percaya, menambahkan cuka epal ke dalam tab mandi akan dapat melegakan rasa gatal akibat jangkitan kulat.

Ia juga merupakan remedi rumah yang biasa diamalkan untuk kegatalan kulit. Malangnya, hanya sedikit bukti yang menyokong dakwaan ini.

Namun begitu, ini masih menjadi rawatan yang murah dan tidak berbahaya untuk dicuba!

#3 Suplemen probiotik

Seperti yang telah penulis terangkan di atas, bakteria memainkan peranan penting untuk kesihatan faraj, dan probiotik mampu tingkatkan bakteria ‘baik’ di dalam ekosistem alat sulit anda!

Anda boleh dapatkan makanan tambahan probiotik, seperti kapsul dan tonik, di kedai-kedai ubat, farmasi tempatan atau untuk lebih mudah, dibeli dalam talian.

kemaluan gatal dan keluar keputihan

Ia bakal mendorong pertumbuhan bakteria sihat dan bermanfaat di faraj serta usus anda. Probiotik juga boleh diambil sebagai langkah pencegahan!

Selain itu, doktor mungkin akan sarankan pengambilan probiotik apabila mereka mempreskripsikan antibiotik.

Keputihan gatal, bolehkah dicegah?

Dengan pengamalan langkah-langkah penjagaan seperti berikut kadangkala dapat mengelakkan masalah kemaluan gatal dan keluar keputihan abnormal, antaranya:

  1. Elakkan meruang kerana ia berupaya menjejaskan keseimbangan bakteria baik.
  2. Pakai seluar dalam dengan fabrik kapas, yang menyerap kelembapan dan dapat mencegah jangkitan kulat.
  3. Amalkan seks selamat dengan menggunakan kondom, mengehadkan bilangan pasangan seksual, dan menjalani ujian STD secara berkala.
  4. Gunakan sabun, tampon, dan produk tuala wanita tanpa pewangi sintetik! Produk yang wangi dengan bahan kimia yang kuat boleh mengganggu keseimbangan semula jadi bakteria faraj, lantas meningkatkan risiko jangkitan.

Bila perlu saya temui doktor?

Keputihan selalunya tidak menjadi 1 kebimbangan, tetapi ada kalanya perubahan dalam keputihan boleh menjadi indikasi masalah yang memerlukan perhatian!

Jenis jangkitan yang berlainan boleh mempunyai simptom yang seakan sama, tetapi ia perlu ditangani secara berbeza.

Segera temui doktor bertauliah atau pakar sakit puan jika anda mengalami:

  • Rasa sakit di bahagian pelvis
  • Keputihan berwarna hijau, kuning, atau kelabu
  • Kegatalan faraj berserta sensasi terbakar
  • Keputihan yang berbuih atau kelihatan seperti keju kotej
  • Bau hamis atau tidak menyenangkan

Untuk menentukan punca keputihan yang abnormal, doktor mungkin akan bertanya mengenai sebarang gejala tambahan, kesihatan seseorang, dan sejarah seksual mereka.

Tambahan itu, rawatan yang bakal dijalankan bergantung pada pemicunya, yang mungkin akan merangkumi antibiotik atau ubat antikulat.

Akhir kata…

Keputihan selalunya bersifat normal, namun sesetengah perubahan pada warna, jumlah, atau konsistensi boleh menjadi indikasi yang bermasalah.

Jangkitan kulat, STI, dan BV kesemuanya boleh memicu perubahan pada keputihan. Dalam kebanyakan kes, isu keputihan yang tidak normal dapat diatasi dengan jayanya!

Anda boleh mencuba penawar yang telah dikongsikan. Namun jika masih tidak berkesan, rujuk doktor atau pakar sakit puan untuk dapatkan rawatan bersesuaian, okey?

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Bacterial Vaginosis: https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/3963-bacterial-vaginosis, Accessed Sept. 6, 2021.
  2. Eczema and Bathing: https://nationaleczema.org/eczema/treatment/bathing/, Accessed Sept. 6, 2021.
  3. Yeast infection (vaginal): https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/yeast-infection/symptoms-causes/syc-20378999, Accessed Sept. 6, 2021.
  4. Vulvar skin care guidelines: https://uihc.org/health-topics/vulvar-skin-care-guidelines, Accessed Sept. 6, 2021.
  5. Vaginal discharge: http://www.sti.guidelines.org.au/syndromes/vaginal-discharge, Accessed Sept. 6, 2021.

Versi Terbaru

22/04/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Selepas Seks, Kena Meruang? Barulah Faraj Tidak Longgar, Busuk & Berbau! Betul Ke?

Keluar Lendiran Putih & Nafsu Seks Meningkat, Ini 6 Tanda Ovulasi Yang Setiap Wanita Perlu Tahu!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 22/04/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan