backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Period Tak Teratur, Bagaimana Nak Tahu Tanda Mengandung Wanita PCOS?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/03/2022

    Period Tak Teratur, Bagaimana Nak Tahu Tanda Mengandung Wanita PCOS?

    Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan ujian kehamilan bagi wanita yang mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS)? Menerusi perkongsian artikel ini, Hello Doktor akan berkongsikan tanda PCOS mengandung yang boleh anda kenal pasti.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Memahami apa itu sindrom ovari polisistik

    Sebelum anda mengetahui apakah tanda PCOS mengandung, berikut penerangan ringkas mengenai sindrom ovari polisistik.

    PCOS adalah keadaan hormon pada wanita di mana tahap androgen (hormon lelaki) meningkat, mengakibatkan haid tidak teratur kerana ovulasi bulanan tidak berlaku.

    Punca PCOS tidak difahami sepenuhnya. Namun dipercayai didasari oleh tahap abnormal hormon luteinizing (LH) dan hormon lelaki yang tinggi (androgen) mengganggu fungsi normal ovari.

    Simptom PCOS

    Tanda dan simptom PCOS biasanya bermula sekitar akil baligh. Pun begitu ada sesetengah wanita mungkin tidak mengalami gejalanya sehingga lewat remaja atau awal dewasa.

    tanda pcos mengandung

    Gejala PCOS termasuk:

    • Tiada pendarahan haid, haid tidak teratur dan/atau tidak kerap
    • Peningkatan pertumbuhan bulu badan biasa pada atas bibir, dagu, kawasan jambang, leher, dada, perut, lengan atas dan paha dalam
    • Keguguran rambut
    • Jerawat
    • Ketidaksuburan
    • Pertambahan berat dan obesiti
    • Peningkatan risiko penyakit jantung
    • Apnea tidur
    • Risiko masalah lain:
  • Kemurungan
  • Kebimbangan
  • Disfungsi seksual
  • Gangguan makan seperti bulimia dan makan berlebihan (tetapi bukan anoreksia)
  • Tetapi apakah tanda pcos mengandung?

    Tanda PCOS mengandung: Waktu untuk melakukan ujian kehamilan di rumah

    Selain daripada tidak datang haid atau morning sickness, wanita PCOS akan mengalami gejala yang sama seperti mereka tanpa sindrom ini.  Sebab itulah, wanita yang mengalami PCOS perlu melakukan ujian kehamilan (UPT) sekiranya mengesyaki diri mungkin hamil.

    Ini termasuklah gejala biasa seperti:

    • Kerap keletihan
    • Payudara sakit atau lembut
    • Kembung perut
    • Sakit kepala
    • Perubahan emosi
    • Sakit pinggang

    tanda pcos mengandung

    Kedengaran seperti gejala biasa dialami wanita ketika datang haid, bukan? Bagi wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur, anda mungkin merasakan ia adalah petanda kedatangan haid atau simptom PCOS.

    Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat:

    • Tidak mengalami simptom tersebut tidak bermakna anda tidak hamil
    • Jika anda telah melakukan hubungan seks tanpa perlindungan 2 hingga 3 minggu (atau lebih) yang lalu dan tidak mengalami haid, mungkin berbaloi untuk melakukan UPT – walaupun anda tidak mengalami haid selama berbulan-bulan dan tidak mengharapkan kehamilan berlaku

    Ujian kehamilan positif palsu

    Walaupun ia jarang berlaku, tetapi ada kemungkinan untuk mendapat positif palsu pada UPT. Walau bagaimanapun, PCOS bukanlah penyebabnya jika anda mendapat keputusan ini.

    tanda pcos mengandung

    Ketika melakukan UPT, ia bergantung pada kehadiran human chorionic gonadotropin (hCG) – hormon kehamilan – untuk menentukan sama ada anda hamil atau tidak dan ia bukanlah hormon yang akan terjejas secara langsung disebabkan sindrom ini. 

    Tetapi jika anda sedang menjalani rawatan kesuburan yang memerlukan pengambilan ubat tertentu, kemungkinan hCG daripada ubat boleh menyebabkan keputusan UPT menjadi positif palsu.

    Penyebab umum lain seperti:

    • Menggunakan kit kehamilan tamat tempoh
    • Tidak mengikut arahan dengan betul
    • Menunggu terlalu lama untuk menyemak keputusan ujian

    Seperkara lagi yang mungkin mengakibatkan berlakunya positif palsu, risiko penghidap PCOS untuk mengalami keguguran awal adalah lebih tinggi. Ini memungkinkan anda mendapat hasil positif dan dalam ujian lain keputusan menjadi negatif.

    UPT negatif palsu

    Tahap hormon tidak teratur apabila anda menghidap PCOS,menjadikan risiko negatif palsu cenderung terjadi.

    Anda boleh mencuba ujian kehamilan apabila terlepas haid dan mendapat keputusan negatif walaupun telah hamil. Bahkan, tanda PCOS mengandung juga mungkin tidak disedari sehingga beberapa minggu selepas persenyawaan berlaku. 

    Baca juga:

    Tanda PCOS mengandung: Tip untuk hamil

    Sekiranya anda merancang untuk hamil, berbincanglah dengan doktor pilihan yang ada untuk membantu meningkatkan peluang mengandung. Ini termasuklah:

  • Kaedah kawalan kelahiran hormon (pil, suntikan, alat dalam rahim atau cincin faraj) untuk mengawal kitaran haid dengan lebih baik sebelum mencuba untuk hamil
  • Ubat anti androgen untuk menyekat kesan peningkatan tahap androgen
  • Metformin, ubat diabetes jenis 2 yang boleh mengurangkan tahap androgen dan gejala PCOS sekunder, seperti pertumbuhan rambut pada muka dan jerawat
  • Pengurangan berat badan berlebihan
    • Ubat ovulasi untuk menggalakkan fasa ovulasi
    • Persenyawaan in vitro (IVF) adalah pilihan jika pengambilan ubat dan perubahan gaya hidup tidak berkesan
    • Pembedahan adalah langkah terakhir. Ia akan membuang kulit luar ovari – dikenali sebagai korteks – yang selalunya lebih tebal pada wanita PCOS untuk membantu memulihkan ovulasi. Tetapi pilihan ini biasanya hanya berfungsi selama 6 hingga 8 bulan

    Elakkan kebergantungan pada tanda pcos mengandung

    Masalah PCOS menjadikan kehamilan sukar terjadi apabila anda tidak mempunyai jangkaan kitaran haid yang boleh diramal. Tetapi ia tidak bermakna anda perlu berputus asa.

    Fokus untuk melakukan UPT selepas tidak mengalami haid pada bulan tersebut. Jangan bergantung pada kaedah ujian awal yang boleh membawa kepada keputusan palsu bagi wanita dengan sindrom ovari polisistik.

    Paling penting, dapatkan pengesahan kehamilan melalui ujian darah yang dilakukan dengan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 15/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan