backup og meta

Selalu Sangat Kena Senggugut? Atasinya Dengan 8 Cara Ini!

Selalu Sangat Kena Senggugut? Atasinya Dengan 8 Cara Ini!

Apabila bercakap tentang kedatangan darah period, perkara paling mengerikan bagi wanita tentunya adalah senggugut. Tapi, usah bimbang! Senggugut yang selalu datang bersama-sama dengan kitaran haid anda itu boleh diatasi melalui beberapa tip ini.

Definisi Darah Period & Senggugut 

Senggugut merupakan sebahagian normal kitaran haid bagi kebanyakan wanita 1. Umumnya, kesakitan ini melibatkan kekejangan otot pada perut dan ia boleh merebak ke bahagian belakang badan mahupun paha.

Tempoh dan tahap keseriusan senggugut boleh berbeza-beza bagi wanita. Ada yang mengalami rasa sakit yang biasa namun berpanjangan. Tetapi ada juga yang mengalami kekejangan sengit yang singkat, namun amat menyakitkan 1.

Pastinya anda terfikir apakah punca yang mengakibatkan rasa sakit senggugut berlaku, bukan? Adakah ia didasari oleh sebarang faktor tertentu? Ayuh kita semak jawapannya!

5 Faktor Yang Meningkatkan Risiko Senggugut Dalam Kitaran Darah Period

darah period

Senggugut berlaku apabila dinding otot rahim mengetat, lalu terjadinya kontraksi ringan yang berterusan pada rahim 1. Pun begitu, ia mungkin tidak dirasai oleh kebanyakan wanita.

Dalam tempoh kitaran haid, dinding rahim akan mula menguncup dengan lebih kuat untuk membantu lapisan luar rahim jatuh dan menjadi sebahagian daripada darah period anda. Apabila dinding rahim itu berkontraksi, ia memampatkan saluran darah yang melapisi rahim. Keadaan ini secara tidak langsung akan memutuskan bekalan darah dan bekalan oksigen ke rahim 1.

Tanpa oksigen, tisu pada rahim pula akan melepaskan bahan kimia yang mencetuskan rasa sakit. Itulah kesakitan senggugut yang anda rasa setiap bulan! Bukan itu sahaja, pelepasan bahan kimia itu juga mengandungi bahan lain yang dikenali sebagai prostaglandin.

Bahan kimia ini akan mendorong otot rahim untuk berkontraksi dengan lebih banyak dan akan meningkatkan rasa sakit yang anda alami 1. Walau bagaimanapun, masih tidak diketahui mengapa terdapat wanita yang mengalami senggugut teruk berbanding wanita lain.

Akan tetapi, situasi tersebut dipercayai mungkin berlaku kerana peningkatan pengeluaran prostaglandin yang mengakibatkan kontraksi lebih kuat.

Faktor risiko untuk mengalami senggugut

Berikut antara faktor kecenderungan untuk anda mengalami kekejangan (senggugut) setiap kali tibanya kitaran haid 2:

  • Kedatangan darah period pertama pada usia muda, iaitu sebelum umur 11 tahun
  • Anda berusia bawah 30 tahun
  • Anda mengalami darah period yang banyak pada setiap bulan
  • Kitaran haid tidak teratur
  • Mempunyai sejarah keluarga yang turut mengalami senggugut
  • Mempunyai tabiat merokok

9 Simptom Senggugut 

Oleh sebab senggugut adalah kesakitan yang melibatkan bahagian abdomen, maka ramai yang terkeliru dan menganggap ia sebagai sakit perut biasa. Bagi memudahkan anda, berikut kami senaraikan beberapa simptom senggugut.

Selain kekejangan pada bahagian bawah perut, anda juga mungkin mengalami gejala 2 seperti:

darah period

  1. Kesakitan pada bahagian bawah belakang badan
  2. Rasa sakit dari bahagian kaki atas ke bawah
  3. Loya
  4. Muntah
  5. Cirit-birit
  6. Sakit kepala
  7. Mengalami kerengsaan
  8. Badan terasa lemah
  9. Wujud risiko untuk pengsan (dalam kes senggugut teruk)

Faktor Lain Punca Senggugut

Jangan terkejut! Sebenarnya ada perkara lain yang turut boleh menyebabkan anda mengalami senggugut pada setiap kitaran haid. Antaranya adalah seperti berikut:

Keadaan perubatan

Ia jarang untuk terjadi, namun keadaan perubatan tertentu turut boleh mengakibatkan kekejangan haid 1. Selalunya, masalah perubatan ini cenderung mempengaruhi wanita lebih berusia dalam lingkungan 30 hingga ke 45 tahun.

Antara masalah kesihatan yang menyebabkan senggugut termasuklah:

  • Endometriosis – Keadaan di mana sel yang biasanya melapisi rahim berkembang pada bahagian tubuh lain seperti tiub fallopio dan ovari 3. Sel-sel ini mengakibatkan senggugut yang teruk
  • Fibroid – Ketumbuhan (tumor) bukan barah yang boleh tumbuh di dalam atau sekitar rahim serta boleh menjadikan darah period banyak dan menyakitkan 4
  • Penyakit radang pinggul (PID) – Keadaan di mana rahim, tiub fallopio serta ovari dijangkiti bakteria daripada faraj 5 dan mengakibatkan pendarahan teruk semasa haid
  • Adenomiosis – Berlaku apabila tisu yang biasanya melapisi rahim mula tumbuh pada dinding otot rahim, sekali gus menjadikan kitaran haid menyakitkan 6

Alat kontraseptif

Tahukah anda, peranti intrauterin (IUD) turut boleh menyebabkan kekejangan haid 1, terutamanya pada beberapa bulan pertama setelah dimasukkan?

Selalunya, corak kesakitan senggugut yang berkaitan dengan keadaan perubatan atau IUD agak berbeza daripada faktor risiko lain. Contohnya, kesakitan lebih teruk atau berlangsung dengan lebih lama daripada biasa.

Anda mungkin turut mengalami simptom seperti:

Jika keadaan ini berterusan, anda disaran untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

Durasi Senggugut Sepanjang Kedatangan Darah Period

Kekejangan biasanya bermula selepas pendarahan datang. Pun begitu, ada juga wanita yang mengalaminya beberapa hari sebelum kitaran haid. Ia akan berlangsung selama 48 hingga 72 jam.

Jangan terkejut, kadang-kadang, kesakitan ini boleh bertahan lebih lama daripada itu 1. Kesakitan yang teruk selalunya berlaku ketika anda mengalami pendarahan berat.

Kanak-kanak perempuan yang sudah mencapai akil baligh akan mengalami kesakitan ini saat kedatangan darah period pertama. Sekiranya senggugut yang dialami tidak didasari oleh sebarang masalah, ia akan beransur kurang seiring peningkatan usia.

Kebanyakan wanita turut mengatakan senggugut semakin kurang berlaku apabila mereka sudah mempunyai anak.

Tip Merawat & Mencegah Senggugut

darah period

Jika senggugut ringan yang dialami, anda mungkin tidak berdepan sebarang masalah. Sebaliknya, kekejangan yang teruk pastinya menjejaskan kehidupan seharian.

Bertenang, terdapat beberapa kaedah yang boleh dicuba 7 anda untuk mengurangkan senggugut itu seperti:

  1. Berhenti merokok

Tabiat merokok boleh meningkatkan kesakitan senggugut.

  1. Bersenam

Menjadi satu kebiasaan untuk bermalas-malasan semasa haid. Pun begitu sebenarnya, kekal aktif dapat mengurangkan kekejangan haid.

  1. Haba panas

Meletakkan mampatan panas atau botol air panas (pastikan dibalut tuala kecil) pada bahagian bawah perut boleh mengurangkan rasa sakit yang dialami.

  1. Mandian air suam 

Anda boleh mandi dengan air suam bagi melegakan kesakitan senggugut serta membolehkan tubuh berehat.

  1. Urutan 

Urutan ringan pada sekitar bawah perut boleh meredakan kesakitan bulanan ini.

  1. Teknik relaksasi

Aktiviti santai, seperti yoga atau pilates dapat membantu mengalihkan perhatian dari perasaan sakit dan ketidakselesaan.

  1. Ubat tahan sakit

Anda juga boleh mengambil ubat tahan sakit seperti ubat anti-radang nonsteroid (NSAID) yang dipreskripsi. Selain melegakan kesakitan, NSAID boleh mengurangkan jumlah prostaglandin yang dihasilkan oleh rahim bersama kesan-kesannya.

Kekejangan yang dialami turut akan berkurangan kesan daripada pengambilan ubat tahan sakit sebiji sehari yang diambil sehari sebelum hari pertama kedatangan darah period atau ketika mengalami simptom senggugut 8.

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masalah ulser atau sebarang keadaan kesihatan yang melibatkan perut, pendarahan atau penyakit hati, elakkan pengambilan ubat tahan sakit NSAID. Bahkan, individu dengan alahan kepada aspirin juga tidak boleh mengambilnya.

Jika wujud sebarang kebimbangan atau pertanyaan lanjut mengenai ubat tahan sakit, dapatkan pengesahan daripada doktor atau profesional perubatan.

  1. Pil kontraseptif

Jika peranti intrauterin boleh menyebabkan kesakitan haid, pil kontraseptif pula mungkin dapat meredakan kesakitan senggugut saat kedatangan darah period dengan menipiskan lapisan rahim dan mengurangkan jumlah prostaglandin yang dihasilkan tubuh 9.

Lapisan rahim yang menipis bermaksud otot-otot rahim tidak perlu berkontraksi dengan banyak, malah haid juga menjadi lebih ringan. Sekiranya pil kontraseptif tidak sesuai dengan diri anda, penggunaan implan atau suntikan kontraseptif adalah alternatif terbaik.

Merujuk Pakar

Apa yang pastinya, senggugut yang dialami setiap kali kitaran haid ini tidak akan mempengaruhi kesuburan. Tetapi jika ia melibatkan masalah perubatan, ia boleh menjejaskan kesuburan anda 1.

Namun sekiranya senggugut tidak berkurangan setelah 3 bulan menjalani rawatan dengan ubat tahan sakit atau alat kontraseptif hormon yang sesuai, doktor boleh merujuk anda kepada pakar, yang biasanya adalah pakar sakit puan. Ini untuk ujian dan pemeriksaan selanjutnya untuk mengenal pasti jika ada keadaan perubatan yang mendasari.

Apa yang penting adalah jangan merana dalam diam. Dapatkan rawatan yang bersesuaian. Semoga perkongsian ini berguna!

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Senggugut (2019). Diakses pada Disember 15, 2020 dari https://www.nhs.uk/conditions/period-pain/ 

Sakit haid (2020). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/menstrual-cramps/symptoms-causes/syc-20374938 

Fakta mengenai endometriosis (2017). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  http://endometriosis.org/resources/articles/facts-about-endometriosis/ 

Fibroid (2018). Diakses pada Disember 15, 2020 dari   https://www.nhs.uk/conditions/fibroids/ 

Penyakit Keradangan Pelvis (PID) (2020). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pelvic-inflammatory-disease/symptoms-causes/syc-20352594# 

Adenomiosis (2020). Diakses pada Disember 15, 2020 dari   https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/14167-adenomyosis 

Senggugut (2019). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  https://www.womens-health-concern.org/help-and-advice/factsheets/period-pain/ 

Melegakan Sakit Menstruasi (2020). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  https://www.cham.org/HealthwiseArticle.aspx?id=hw178944spec# 

Bolehkah Kawalan Kelahiran Membantu Dengan Kekejangan? (2015). Diakses pada Disember 15, 2020 dari  https://kidshealth.org/en/teens/cramps.html 

 

Versi Terbaru

29/11/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Duduk Lama Sangat Punca Anda Boleh Sakit Pinggang? Cuba 4 Tip Ini Cegah Kesakitan

Haid Datang Tak Menentu? Ini 23 Punca Period Tidak Teratur!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan