backup og meta

'Cyst' Bukan Hanya Terbentuk Di Ovari, Tiub Fallopio Pun Tak Terkecuali! Kenali Sista Paratubal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/08/2022

    'Cyst' Bukan Hanya Terbentuk Di Ovari, Tiub Fallopio Pun Tak Terkecuali! Kenali Sista Paratubal

    Sista paratubal, turut dikenali penyakit cyst tiub fallopio, adalah kantung berisi cairan. Kadangkala, ia juga disebut sebagai sista paraovarian.

    Jenis sista ini terbentuk berhampiran tiub ovari atau fallopio dan tidak akan melekat pada mana-mana organ dalaman.

    Ia juga sering kali menghilang dengan sendirinya, atau tidak didiagnosis, justeru kadar pembentukannya masih menjadi tanda tanya.

    Penyakit cyst kecil, paratubal, paling kerap dilihat menyerang wanita berusia antara 30 dan 40 tahun.

    Tambahan itu, sista yang berukuran lebih besar banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita muda.

    Berminat untuk tahu lebih lanjut? Teruskan membaca kerana penulis bakal berkongsi antara simptomnya, punca, komplikasi, diagnosis dan opsyen rawatan tersedia!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Wanita, anda boleh klik di sini.

    Penyakit cyst, apakah tanda & simptomnya?

    Penyakit cyst paratubal biasanya berukuran kecil, dengan diameter antara 2 hingga 20 milimeter.

    Apabila ia kekal bersaiz kecil, pesakit juga biasanya tidak akan alami sebarang gejala.

    Jadi, macam mana nak tahu sama ada anda memiliki sista ini atau tidak?

    Doktor mungkin akan menemuinya ketika menjalani pemeriksaan ginekologi atau prosedur pembedahan yang tidak berkaitan.

    Pun begitu, sista tiub fallopio yang besar, pecah, atau berpintal boleh mengakibatkan rasa sakit di pelvis atau perut.

    Antara risiko komplikasi & punca masalah cyst paratubal

    Komplikasi mungkin berlaku dalam sesetengah kes dan ia berupaya merangkumi kondisi berikut:

    Penyakit cyst

    1. Tiub fallopio pecah: Tiub berisiko bocor jika terdapat sista yang sangat besar atau berpintal.
    2. Pendarahan: Pendarahan dalaman boleh terjadi sekiranya sista pecah (jarang berlaku).
    3. Tekanan pada organ dalaman: Sista ‘raksasa’ (kira-kira berukuran 10 hingga 15 cm) boleh menekan pundi kencing, usus, ginjal atau rahim. Tekanan ini juga boleh memicu hydronephrosis (pembengkakan buah pinggang akibat air kencing berlebihan).
    4. Torsion (twist): Kadangkala sista akan berpintal pada pedikelnya (struktur nipis yang menghubungkan sista ke badan) menghasilkan kesakitan yang teruk, mual-mual, muntah dan memerlukan pembedahan kecemasan untuk mengekalkan tiub dan ovari di bahagian yang terjejas.

    Di samping itu, sista yang besar boleh menyebabkan pendarahan rahim dan hubungan seksual yang menyakitkan!

    Masalah cyst paratubal, apa penyebabnya?

    Ketika janin terbentuk, kesemuanya mengandungi struktur embrio yang disebut, saluran wolffian. Kawasan embrio ini merupakan tempat organ seks lelaki terbentuk.

    Sekiranya janin mula membentuk organ seks wanita, salurannya bakal mengecut.

    Kadang-kadang, sisa saluran masih kekal dan penyakit cyst paratubal mungkin boleh tumbuh dari sisa-sisa ini.

    Sista ini juga boleh terbentuk dari sisa saluran paramesonephrontic (Müllerian). Ini adalah struktur embrio di mana organ seks wanita tumbuh.

    Bagaimanapun, tiada faktor risiko yang diketahui untuk sista tiub fallopio ini.

    Bagaimana penyakit cyst paratubal didiagnosis?

    Jika anda mengalami rasa sakit pelvis atau perut, tolong segera temui doktor!

    Mereka akan memeriksa simptom dan sejarah perubatan anda, pemeriksaan fizikal juga mungkin dijalankan.

    Penyakit cyst

    Doktor juga boleh melakukan 1 atau lebih ujian diagnostik seperti berikut:

    • Ultrabunyi pelvis atau perut: Ujian pengimejan perubatan ini menggunakan getaran frekuensi ultrasonik untuk menghantar imej visual dari kawasan pelvis ke skrin komputer
    • MRI: Ujian ini membantu doktor menentukan sama ada ia merupakan sista malignan atau sebaliknya. Ia juga dapat digunakan untuk mengikuti pertumbuhan penyakit cyst
    • Ujian darah: Jika sista yang  dimiliki disyaki malignan, doktor boleh menjalankan ujian darah, seperti complete blood count (CBC) dan tumor marker test
    • Laparoskopi: Sista paratubal boleh kelihatan sama dengan sista ovari pada ultrabunyi, jadi doktor juga boleh mencadangkan ujian pembedahan ini. Laparoskopi diagnostik memerlukan belahan kecil di perut. Doktor juga akan memasukkan tiub dengan kamera video yang kecil pada hujungnya, ke dalam kawasan dibelah. Ini membolehkan doktor melihat keseluruhan kawasan pelvis anda

    Opsyen rawatan

    Untuk sista berukuran kecil dan tidak bergejala, doktor mungkin mengesyorkan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terlebih dahulu.

    Mereka bakal meminta untuk datang pemeriksaan berkala bagi memantau sebarang perubahan.

    Sekiranya sista bersaiz lebih besar daripada 10 sentimeter, doktor mungkin akan mengesyor untuk membuangnya, tanpa mengambil kira sama ada anda bergejala atau sebaliknya.

    Prosedur ini digelar, cystectomy, menggunakan salah satu daripada kaedah berikut:

    • Laparoskopi: Prosedur ini memerlukan belahan kecil di perut. Ia boleh dilakukan dengan anestetik setempat atau anestesia umum. Secara amnya, ia memakan masa penyembuhan yang lebih pendek berbanding laparotomi
    • Laparotomi: Prosedur ini lebih invasif dan memerlukan belahan perut yang besar! Ia juga selalu dilakukan di bawah anestesia umum

    Doktor akan mempertimbangkan kondisi, ukuran dan lokasi sista sebelum mengesyorkan sesuatu prosedur.

    Selain itu, bagi pesakit yang belum menopaus, doktor mungkin mengutamakan kaedah penyingkiran yang akan mengekalkan ovari atau tiub fallopio anda.

    Konklusi

    Seperti yang telah dikongsikan, masalah cyst paratubal biasanya tidak bergejala, lantas sering kali kita terlepas pandang untuk didiagnosis.

    Ya, ia mungkin dapat menghilang dengan sendirinya dari masa ke masa. Pun begitu, sista yang besar boleh memicu  kesakitan atau komplikasi lain!

    Sekiranya kalian mempunyai sebarang persoalan atau kebimbangan, usah segan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau pakar sakit puan, okey?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan