Ulser bibir menyebabkan anda susah untuk makan dan minum? Jangan bimbang, dalam artikel ini, kami akan kongsikan cara hilangkan ulser di bibir yang berkesan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.
Keadaan ulser mulut
Ulser mulut atau turut dikenali sebagai ulser aphthous, adalah luka yang berkembang pada lapisan tisu lembut gusi, pipi dalam, bibir atau lelangit anda.
Jika terjadi ulser bibir, sebagai contoh, ia akan kelihatan seperti luka terbuka berbentuk bujur atau bulat, yang berwarna putih, merah, kuning mahupun kelabu. Ia juga boleh menyebabkan bengkak dan agak menyakitkan.
Perbezaan ulser mulut dan kudis herpes
Ulser mulut ini terbentuk di dalam mulut. Biasanya disebabkan kerengsaan, kecederaan, kekurangan vitamin atau faktor lain.
Manakala kudis herpes atau cold sores, akan muncul pada permukaan bibir dan berlaku disebabkan virus.
Ulser mulut tidak berjangkit, manakala kudis herpes boleh menular daripada seorang individu kepada yang lain.
Cara hilangkan ulser di bibir
Secara umumnya, ulser yang berlaku pada bibir ini tidak perlu dirawat. Ini kerana ia cenderung sembuh dengan sendirinya dalam tempoh masa satu atau dua minggu.
Pun begitu, bagi mengurangkan ketidakselesaan dan sebarang risiko komplikasi, terdapat beberapa rawatan boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi jika ulser bibir yang dialami menyukarkan anda untuk makan dan minum.
Ubat farmasi, antara cara hilangkan ulser di bibir
Terdapat beberapa jenis rawatan ulser dari farmasi. Berundinglah dengan ahli farmasi untuk mengetahui pilihan rawatan terbaik untuk diri anda.
Antara pilihan cara hilangkan ulser di bibir yang ada termasuklah:
- Ubat kumur antimikrob boleh mempercepatkan penyembuhan dan mencegah jangkitan ulser. Kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak boleh menggunakan rawatan ini. Ia turut mengandungi chlorhexidine gluconate, yang mungkin mengotorkan gigi – tetapi akan pudar sebaik sahaja rawatan selesai
- Ubat tahan sakit boleh didapati sebagai ubat kumur, lozeng, gel atau semburan. Ia menimbulkan sensasi menyucuk pada penggunaan pertama dan bibir mungkin berasa kebas – tetapi ia hanya sementara. Kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak boleh menggunakan ubat kumur atau gel. Rawatan dalam bentuk ubar kumur tidak boleh digunakan lebih daripada 7 hari berturut-turut
- Lozeng kortikosteroid boleh mengurangkan kesakitan dan mempercepatkan penyembuhan. Ini sebaiknya digunakan sebaik sahaja ulser muncul, tetapi tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Ia juga cara hilangkan ulser di tekak
- Gel sapu. Gel topikal tertentu dirumus dengan anestetik dan asid hyaluronik untuk mengawal bengkak dan kesakitan serta menggalakkan penyembuhan
Ubat daripada doktor
Jika perlu, anda mungkin diberi kortikosteroid khusus yang lebih kuat untuk membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak serta mempercepatkan penyembuhan.
Kortikosteroid boleh didapati dengan preskripsi sebagai tablet, ubat kumur, tampalan atau semburan, tetapi tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun.
Cara hilangkan ulser di bibir guna rawatan di rumah
Terdapat juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan di rumah untuk melegakan ketidakselesaan yang berkaitan dengan ulser pada bahagian bibir ini.
Berikut beberapa petuanya:
- Gunakan ubat ulser mulut paling mujarab yang boleh dibeli di farmasi
- Perbanyakkan minum air
- Amalkan kebersihan mulut yang baik untuk memastikan mulut sebersih mungkin
- Bilas mulut dengan air masin suam beberapa kali setiap hari
- Antara pantang larang ulser mulut paling penting adalah untuk mengelakkan sebarang minuman dan makanan pedas, masin, berasid atau panas sehingga sembuh
- Jika mulut terasa sangat sakit, cuba minum menggunakan penyedut minuman
Dalam kebanyakan kes, ulser yang dialami akan sembuh dalam tempoh masa 10-14 hari. Walau bagaimanapun, jika ia berlanjutan sehingga lebih daripada 3 minggu, lakukan pemeriksaan dengan doktor!
Cara hilangkan ulser di bibir: Perlunya pemeriksaan doktor
Dalam sesetengah kes, anda mungkin perlu melakukan ujian darah jika disyaki mengalami kekurangan nutrien asas seperti kekurangan zat besi, folat atau vitamin B mahupun melibatkan keradangan.
Biopsi – prosedur pengambilan sampel tisu – juga mungkin akan dilakukan sekiranya ulser tidak bertindak balas dengan rawatan atau puncanya tidak dapat dikenal pasti.
Jika terdapat sebarang kebimbangan atau pertanyaan, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.
[embed-health-tool-bmi]