backup og meta

Mesti Jaga Gigi Anak Sejak Lahir! Ini 5 Tip Daripada Pakar Supaya Gigi Anak Kekal Sihat

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 15/03/2023

    Mesti Jaga Gigi Anak Sejak Lahir! Ini 5 Tip Daripada Pakar Supaya Gigi Anak Kekal Sihat

    Tahukah anda, betapa pentingnya penjagaan gigi kanak-kanak? Ramai ibu bapa yang beranggapan kesihatan gigi hanya terletak pada warna gigi semata-mata. Sebenarnya, ia lebih daripada itu! Sebab itulah, ibu bapa perlu tahu cara menjaga gigi anak supaya mereka mempunyai asas penjagaan gigi yang betul.

    Menurut kajian Kesihatan Pergigian Kebangsaan Kanak-kanak Prasekolah (NOHPS), terdapat 71.3% kanak-kanak berusia lima tahun sudah mempunyai gigi berlubang. Ini bermaksud, 7 daripada 10 kanak-kanak mempunyai gigi yang rosak. Ramai bukan?

    Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan penjagaan gigi kanak-kanak. Masalah gigi bukan sahaja dapat memberi impak pada kesihatan anak, ia juga dapat mempengaruhi mental mereka.

    Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai penjagaan kesihatan gigi kanak-kanak dan apa yang ibu bapa perlu lakukan untuk pastikan gigi anak kekal sihat sehingga mereka dewasa.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    5 langkah penjagaan gigi kanak-kanak menurut pakar

    Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pergigian Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), yang juga merupakan seorang Pakar Pergigian Kanak-kanak, Dr. Yogeswari Sivapragasam, ada beberapa nasihat berharga yang boleh beliau berikan kepada ibu bapa mengenai penjagaan gigi kanak-kanak.

    1. Mulakan penjagaan gigi kanak-kanak dari awal

    penjagaan gigi kanak-kanak

    Jika boleh, ibu bapa perlulah menjaga gigi anak sejak lahir.

    Walaupun si manja masih belum tumbuh gigi, gusi anak masih perlu dibersihkan dua kali sehari. Rutin ini dapat memastikan anak mempunyai asas penjagaan gigi yang kuat.

    Selain itu, dapatkan nasihat daripada pengamal penjagaan kesihatan seperti jururawat penasihat di klinik-klinik komuniti atau pakar pediatrik mengenai cara untuk menjaga kesihatan mulut anak, termasuklah apa yang perlu dilakukan apabila gigi pertama mereka tumbuh.

    2. Jangan bagi anak makan terlalu banyak garam dan gula

    Ibu bapa akan memperkenalkan pelbagai jenis makanan kepada bayi mengikut tahap tumbesaran, perkembangan diet dan keperluan nutrisi mereka.

    Namun, jika anda ingin anak mempunyai gigi yang cantik, jangan sesekali berikan makanan yang mengandungi banyak garam dan gula.

    Bukan itu sahaja, kesukaan berterusan kepada makanan manis boleh membawa kepada risiko tinggi masalah pergigian, selain keadaan kesihatan kronik seperti obesiti dan kencing manis.

    3. Bawa anak berjumpa doktor gigi

    cara menjaga gigi anak

    Jangan lupa, bawa anak berjumpa dengan doktor gigi. Tidak dinafikan, bukan mudah untuk membiasakan anak dengan temu janji bersama doktor. Confirm melalak!

    Namun, Dr. Yogeswari mencadangkan agar ibu bapa cuba untuk menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu perkara yang positif.

    Ingatlah, pemeriksaan gigi pertama perlu dilakukan pada hari jadi pertama anak. Kemudian, pastikan anak mendapat pemeriksaan sekali setiap 6 bulan.

    Janji temu berkala dapat membantu membiasakan mereka dengan doktor gigi. Idea di sebalik janji temu awal ini adalah supaya masalah dapat dikesan lebih awal dan dapat dicegah daripada bertambah buruk.

    Baca juga:

    4. Peka kepada perubahan sikap

    Ada masanya, anak enggan makan dan tidak mahu menggosok gigi. Walaupun begitu, jangan cepat menyimpulkan anak cerewet atau hanyalah seorang picky eater. Anak mungkin mengalami masalah gigi yang membuatkan mereka sukar untuk mengunyah.

    Selalunya, anak yang sedang mengalami masalah gigi atau sakit gusi akan mengelak daripada makan benda-benda yang keras, contohnya ayam atau buah epal.

    Sebaliknya, mereka memilih makanan yang lembut. Selalunya, anak akan lebih cenderung memilih makanan diproses yang mempunyai kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi.

    Kesakitan berpanjangan boleh menyebabkan mereka meragam dan sukar untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran di sekolah mahupun prasekolah.

    Bukan itu sahaja, kesihatan mulut yang teruk juga boleh memberi impak negatif terhadap keyakinan diri anak. Mereka mungkin akan diusik di sekolah kerana mempunyai gigi reput.

    Oleh sebab itu, Dr. Yogeswari menasihati ibu bapa untuk memantau anak sekiranya mereka mempunyai masalah gigi, lebih-lebih lagi jika anak tiba-tiba sahaja tidak mahu mengunyah dan sering meragam tanpa sebarang sebab yang munasabah.

    5. Penjagaan gigi kanak-kanak berbeza mengikut usia!

    penjagaan gigi kanak-kanak

    Ibu bapa boleh membantu menyokong kesihatan mulut anak berdasarkan tahap tumbesaran mereka. Perhatikan sebarang petanda jelas seperti gusi berdarah, ulser atau perubahan warna gigi.

    Dr. Yogeswari juga mengingatkan mengenai salah faham umum bahawa gigi susu itu tidak penting kerana ia akan luruh juga satu hari nanti. Beliau menekankan bahawa tabiat menjaga kesihatan mulut dan gigi yang baik seumur hidup itu bermula sejak bayi lagi.

    Berikut adalah nasihat pakar mengenai penjagaan gigi kanak-kanak pada peringkat umur yang berbeza-beza:

    1. Selepas lahir, sebelum gigi bayi tumbuh. Gunakan kain bersih dan lembap yang dililitkan pada hujung jari untuk mengelap gusi bayi pada waktu pagi dan malam.
    2. Selepas tumbuh gigi pertama. Gunakan berus gigi mesra bayi bersama ubat gigi berfluorida untuk memberus gigi dan gusi anak dengan perlahan. Lakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari sebagai satu rutin.
    3. Memasuki umur prasekolah. Pada usia ini, kanak-kanak sudah pandai memegang berus gigi sendiri tetapi memerlukan bimbingan ibu bapa supaya mereka boleh memberus gigi dengan betul dan bersih.
    4. Memasuki usia persekolahan (sekolah rendah). Pada masa ini, kanak-kanak sepatutnya sudah pandai memberus gigi sendiri dengan pemantauan ibu bapa.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 15/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan