backup og meta

Tanpa Sedar, Pujian Boleh Buat Orang 'Makan Dalam', Ini 4 Tip Cara Memuji Yang Betul

Tanpa Sedar, Pujian Boleh Buat Orang 'Makan Dalam', Ini 4 Tip Cara Memuji Yang Betul

Pujian terutamanya jika melibatkan tubuh badan seseorang boleh jadi suatu perkara yang sangat sensitif.

Apa yang positif pada pendengaran kita mungkin satu penghinaan bagi individu lain.

Oleh sebab itulah perbuatan ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Bersempena dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia, penulis ingin berkongsi tip berkenaan dengan teknik untuk memuji seseorang secara efektif tanpa menimbulkan salah faham.

Teknik komunikasi yang kompleks; memberi pujian kepada individu lain

Persepsi setiap individu terhadap tubuh badan mereka sendiri adalah lebih kompleks.

Ia bukan semudah baik atau buruk, cantik atau hodoh dan kurus atau gemuk.

Oleh sebab itulah pujian terhadap fizikal seseorang kadangkala tidak membantu terutamanya jika anda tidak mengenali mereka.

Lihat sahaja pada komen-komen yang ditulis di laman media sosial. 

Mereka menggunakan perkataan tertentu sewenang-wenangnya tanpa memikirkan komplikasi yang boleh berlaku jika tuan punya gambar mempunyai tanggapan yang salah terhadap niat penulis komen.

Sebagai contoh, jika anda mengatakan bahawa rakan anda tampak kurus sekarang, secara tidak langsung anda seperti memberi implikasi bahawa mereka gemuk sebelum ini.

Mungkin ada yang berasa bangga namun segelintir mungkin tidak bersetuju dengan apa yang diluahkan anda pada ruangan komen.

Maka, kesan daripada itu, boleh menyusul komen seterusnya yang berkemungkinan menyakitkan hati mereka yang mengirim gambar.

Kita seharusnya faham terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi rupa luaran seseorang.

Lebih teruk lagi sekiranya mereka menghidapi sebarang penyakit kronik.

Oleh itu mungkin kita perlu mempertimbangkan untuk memberi pujian yang lebih menggambarkan kecantikan dalaman mereka dan bukannya perkara yang berkaitan dengan rupa, berat atau bentuk badan.

#1 Berhenti memuji rupa paras atau bentuk badan seseorang

memberi pujian

Dalam istilah perubatan, ‘sihat’ membawa maksud bebas daripada sebarang penyakit.

Namun, di dalam dunia internet, perkataan ‘sihat’ mempunyai konotasi yang lebih cetek.

Pada kebanyakan masa, ia merujuk kepada mereka yang kelihatan fit atau kurus.

Kita secara tidak langsung (walaupun tidak berniat begitu) memberikan implikasi bahawa mereka yang gempal tidak sihat.

Oleh sebab itulah kita perlu cuba untuk berhenti memberi pujian berkaitan dengan aspek fizikal seseorang.

Jadi apakah ayat pujian yang boleh diterima?

Mungkin anda boleh memuji senyuman mereka, stail yang diperagakan atau perkara lain yang tidak berkaitan dengan tubuh badan.

Jika anda tidak pasti, lebih elok kalau anda tidak meninggalkan sebarang komen.

#2 Elakkan daripada menggunakan tubuh badan individu untuk membuat sebarang pujian

Tubuh badan bukanlah satu bentuk senjata atau medan pertarungan.

Setiap individu mempunyai bentuk badan yang berbeza maka tidak perlulah mengaitkan tubuh mereka untuk membuat sesuatu komen. 

Secara amnya, tiada satu perkataan pun yang selamat digunakan untuk memberi pujian kepada bentuk tubuh seseorang tanpa mengetahui hubungan perkataan tersebut dengan tuan punya badan.

Jika seseorang itu memakai baju yang unik atau yang lebih menjolok mata, hadkan komen anda kepada baju tersebut tanpa melibatkan tubuh si pemakai.

Kalau anda ingin memuji, berikan kata-kata positif terhadap pilihan mereka. “Warna baju lawa”, “Pandai pilih baju” atau “Saya sukalah baju yang awak pakai”. 

#3 Usah beri tumpuan kepada hasil atau rupa pemakaian, sebaliknya fokus kepada usaha mereka

tubuh badan

Apabila seseorang itu mengirimkan gambar yang menunjukkan perubahan fizikal yang dialami (gambar sebelum dan selepas), usah beri tumpuan kepada rupa fizikal mereka sekarang.

Sebaliknya, puji usaha mereka sehingga tercapai apa yang mereka impikan.

Jika anda memuji rupa fizikal mereka, ia boleh memberi impak negatif kepada pengguna media sosial yang lain.

Kajian yang telah diterbitkan di laman jurnal SAGE pada tahun 2017 menunjukkan wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun yang menggunakan Instagram untuk melihat kiriman gambar sebelum selepas lebih berisiko untuk mempunyai tanggapan negatif terhadap rupa fizikal mereka sendiri.

Raikan usaha mereka dan bukannya hasil kepada usaha mereka. 

#4 Jangan biarkan ‘pujian’ anda mematahkan semangat seseorang

Anda tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap bentuk tubuh badan seseorang.

Apabila anda ingin memberi pujian kepada seseorang, elakkan daripada menulis komen berkenaan dengan rupa fizikal mereka sekarang.

Media sosial merupakan satu lokasi maya umum. Jika terdapat komen, yang pada tanggapan pengirim tidak memihak kepada dirinya, ia boleh mencetuskan satu atmosfera yang tidak selesa.

Sudah tentulah anda mempunyai hak untuk memberi pujian kepada insan yang tersayang.

Namun, beberapa faktor perlu dipertimbangkan terlebih dahulu seperti lokasi (private atau awam) supaya salah faham dapat dielakkan.

Konklusi

Anda perlu mempunyai teknik dan pemahaman berkenaan dengan karakter seseorang sebelum memberi pujian.

Perkara yang anda anggap sebagai positif, boleh jadi tidak kepada mereka yang mendengarinya.

Oleh itu, pastikan anda berhati-hati dalam menuturkan pujian. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Obesity, Health at Every Size, and Public Health Policy. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3935663/). Diakses pada 8 Disember 2020.
  2. What does the research tell us about social media and body image? (https://www.nationaleatingdisorders.org/blog/what-does-the-research-show-social-media-body-image). Diakses pada 8 Disember 2020.
  3. Instagram use and young women’s body image concerns and self-objectification: Testing mediational pathways. (https://journals.sagepub.com/doi/10.1177/1461444817694499). Diakses pada 8 Disember 2020.
  4. The relationship between physical and mental health: A mediation analysis. (https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0277953617306639?via%3Dihub). Diakses pada 8 Disember 2020.
  5. The Health at Every Size Paradigm and Obesity: Missing Empirical Evidence May Help Push the Reframing Obesity Debate Forward. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4386524/). Diakses pada 8 Disember 2020.
  6. Social media use over time. (https://www.pewresearch.org/internet/fact-sheet/social-media/). Diakses pada 8 Disember 2020.

Versi Terbaru

24/03/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Derita Dalam Diam, Ini Tanda-Tanda Wanita Sedang Mengalami Kemurungan

Anak Cenderung Mudah Belajar & Selesa Bercakap Jika Berimaginasi Dengan Teman Bermain - Pakar


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 24/03/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan