Apakah pekerjaan yang lebih sukar dan lebih memberi tekanan daripada menjadi ibu bapa? Ia adalah bergelar ibu bapa tunggal (single parent). Percayalah tiada sesiapa mahukan kehidupan sebagai ibu bapa tunggal, namun, jika itu adalah satu-satunya pilihan yang terbaik, kita patut bangun dan teruskan kehidupan.
Artikel ini adalah untuk membantu mempersiapkan mental dan fizikal anda untuk berdepan beberapa cabaran dan kesukaran yang biasa dan tidak dapat dielakkan oleh ibu bapa yang memilih untuk membesarkan anak-anak mereka sendirian.
5 cabaran utama buat ibu bapa tunggal
#1. Cabaran kewangan
Ibu bapa tunggal selalunya tidak mempunyai pilihan tetapi perlu menanggung beban yang kebiasaannya ditanggung bersama pasangan. Pendapatan yang diperolehi adalah satu-satunya sumber utama kewangan untuk mengekalkan kestabilan keluarga anda.
Untuk mengelakkan masalah kewangan yang mungkin timbul, pastikan anda memberi penjelasan tentang keadaan keluarga anda kepada anak anda dan ajarkan kepada bahawa kehidupan sederhana juga boleh memberikan kebahagiaan.
#2. Cabaran sosial
Tambahan pula, individu bergelar ibu atau bapa tunggal seringkali berdepan dengan kekangan masa yang membuatkan mereka sukar untuk memperluaskan lingkaran sosial.
#3. Cabaran dalam diri sendiri
Penjaga tunggal perlu membuat keputusan secara sendirian dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan tindakan mereka.
Ini mengakibatkan, timbul keraguan pada diri serta keupayaan, dan sama ada keputusan yang dilakukan tepat dan terbaik untuk diri sendiri dan anak-anak.
Penyelesaian terbaik untuk permasalahan ini adalah dengan mendapatkan nasihat dan bimbingan dari individu di sekeliling yang dapat sentiasa memahami dan menyokong anda.
#4. Kelesuan dan tekanan kronik
Tugasan rumah seperti membersihkan rumah, menghantar anak ke sekolah, memasak, tugasan kerja hakiki dan pelbagai lagi tugasan lain, ini adalah senarai biasa yang perlu dihadapi setiap hari.
Bagi ibu bapa tunggal, anda perlu mengekalkan keseimbangan sempurna antara tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak. Adalah normal untuk individu bergelar penjaga tunggal ini untuk tidak memiliki masa menjaga diri sendiri.
Anda mungkin akan merasa tertekan dan bingung dengan timbunan tanggungjawab yang menanti, sedangkan anda tidak mempunyai sesiapa untuk membantu atau berkongsi bersama. Jika anak anda masih kecil dan situasi kewangan anda mengizinkan, pertimbangkan untuk mencari penjaga di rumah untuk anak anda. Namun, pastikan individu yang anda pilih mampu melaksanakan tanggungjawab dan boleh dipercayai.
#5. Kesan bergelar penjaga tunggal kepada anak-anak
Anda perlu sentiasa ingat bahawa bukan anda sahaja yang terkesan dengan perubahan ini, malah anak anda turut merasainya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan selama 10 tahun, melibatkan lebih 25000 kanak-kanak berlainan bangsa dan taraf hidup, mereka yang hidup dalam keluarga tanpa kehadiran ibu atau bapa adalah 2 kali ganda berkemungkinan berdepan masalah kemiskinan, disiplin, akademik dan sosial hidup.
Kajian tersebut turut membuktikan bahawa kanak-kanak yang tinggal bersama keluarga induk tunggal, mempunyai 1.4 kali lebih tinggi risiko untuk menjadi penganggur dan 2.5 kali berkemungkinan untuk menjadi ibu bapa ketika masih remaja.
Ia juga dikaitkan dengan kadar penceraian yang tinggi, yang sekali gus meningkatkan kadar status ibu bapa tunggal pada masa akan datang.
Sememangnya bergelar ibu atau bapa tunggal bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Walau apapun masalah yang anda hadapi, jangan berputus asa, yakin pada kemampuan diri anda sendiri dan percayalah anda mampu lakukan yang terbaik buat anak-anak anda.