backup og meta

Benarkah Penghidap Skizofrenia Ada Dua (Atau Tiga) Personaliti Berbeza?

Benarkah Penghidap Skizofrenia Ada Dua (Atau Tiga) Personaliti Berbeza?

Benarkah orang yang menghidap skizofrenia mempunyai split personality? Percaya atau tidak, ini merupakan satu salah fahaman yang lazim mengenai skizofrenia. Untuk pengetahuan anda, skizofrenia adalah sejenis penyakit mental yang mempengaruhi cara seseorang berfikir dan bertindak.

Pesakit skizofrenia selalunya mempunyai realiti yang terganggu. Sebab itulah mereka selalu mendengar suara atau nampak sesuatu yang tidak wujud.

Walau bagaimanapun, jangan percaya 100% apa yang anda tonton di kaca televisyen. 

Disebabkan paparan skizofrenia di media massa yang kurang tepat, ramai orang yang salah anggap dan salah tafsir mengenai penyakit skizofrenia.

Di Amerika Syarikat, hampir 1% penduduknya menghidap skizofrenia. 

Wanita selalunya akan menghidap skizofrenia ketika berusia 20 hingga 30 tahun, manakala lelaki pula ketika remaja hingga awal 20 tahun.

Hingga hari ini, punca sebenar skizofrenia masih belum dapat dikenal pasti.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.

Mitos popular mengenai skizofrenia

Dalam artikel kali ini, kami akan mematahkan beberapa mitos yang lazim dikaitkan dengan penghidap skizofrenia. Jom, ikuti penjelasan kami di bawah:

Mitos 1: Penghidap skizofrenia mempunyai dua personaliti berbeza

skizofrenia adalah

Fakta sebenar: Skizofrenia sebenarnya merupakan kondisi yang berbeza dengan kecelaruan identiti disosiatif (DID) yang akan menyebabkan masalah ‘split personality’.

Menurut sebuah tinjauan yang dilakukan oleh National Alliance on Mental Illness (NAMI) di Amerika Syarikat, rata-rata penduduk negara tersebut percaya bahawa penghidap skizofrenia mempunyai dua atau banyak personaliti yang berbeza.

Namun, tanggapan ini tidak benar sama sekali. Penghidap skizofrenia mempunyai 1 personaliti, sama seperti orang lain.

Bagi penghidap DID pula, mereka mempunyai 1 personaliti yang dipecahkan ke dalam fragmen yang lebih kecil.

Beza utama penghidap skizofrenia dan DID ialah simptomnya. Penghidap skizofrenia selalunya mengalami halusinasi dan delusi. Simptom ini tidak berlaku pada pesakit DID.

Mitos 2: Penghidap skizofrenia adalah berbahaya dan ganas

Fakta: Bukan semua penghidap skizofrenia adalah berbahaya atau ganas. Malah, mereka sering disalah tafsir sebagai orang gila disebabkan pemaparan mereka dalam media massa.

Adakah penghidap skizofrenia lebih ganas dan berkemungkinan melakukan sesuatu yang berbahaya?

Menurut American Psychiatric Association, jarang sekali penghidap skizofrenia mempunyai sifat sebegini. Walau bagaimanapun, perilaku mereka kadangkala sukar untuk diramal.

Jangan sesekali percaya dengan paparan watak-watak skizofrenia di kaca televisyen. Selalunya, mereka ini digambarkan sebagai seorang yang jahat dan mudah melakukan jenayah.

Namun, semua ini hanya mencetuskan salah faham yang lebih serius mengenai skizofrenia. 

Malah, pemaparan sebegini juga tidak sensitif dan hanya akan membuatkan stigma mengenai penyakit mental menjadi semakin teruk.

Baca juga:

Mitos 3: Penghidap skizofrenia hanya alami halusinasi

Fakta: Walaupun penghidap skizofrenia mengalami halusinasi dan delusi, ini bukanlah satu-satunya simptom penyakit mental tersebut.

Kebanyakan orang menganggap halusinasi merupakan satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu melihat sesuatu yang tidak wujud.

Namun, tanggapan ini tidak tepat sama sekali. Mereka yang alami halusinasi juga boleh mendengar suara, menghidu serta merasai sensasi tertentu pada kulit.

Delusi pula merupakan satu keadaan atau kepercayaan yang nampak logik pada pemikiran penghidap skizofrenia. Mereka menganggap kepercayaan mereka itu sesuatu yang benar walaupun telah dihidangkan dengan informasi yang betul.

Namun, halusinasi dan delusi bukanlah satu-satunya simptom skizofrenia. Mereka juga boleh mengalami simptom lain seperti ketiadaan motivasi, sukar berhubung dengan orang lain, mengalami kesukaran untuk menunjukkan emosi dan pelbagai lagi.

Tidak dinafikan, pesakit skizofrenia mungkin nampak menakutkan ketika mereka alami halusinasi dan delusi. 

Malah, ramai yang anggap pesakit ‘dirasuk’ atau mempunyai masalah lain yang berkait rapat dengan dunia mistik.

Mitos 4: Penghidap skizofrenia boleh menjadi orang lain secara tiba-tiba

personaliti berubah

Fakta: Perubahan dramatik dari segi personaliti amat jarang berlaku dalam kalangan penghidap skizofrenia.

Simptom skizofrenia selalunya makan masa untuk muncul. 

Malah, skizofrenia selalunya memakan masa selama bertahun-tahun sebelum dikesan. Selalunya, penghidap kondisi ini hanya akan didiagnosis setelah mereka alami episod mental yang teruk.

Jika anda menghidap skizofrenia, antara simptom awal kondisi ini ialah:

  1. Tidak suka bersosial.
  2. Tidak meminati aktiviti normal.
  3. Suka mengasingkan diri daripada aktiviti harian.

Simptom lain seperti delusi dan halusinasi akan muncul kemudian.

Mitos 5: Kondisi ini tidak boleh dirawat

skizofrenia adalah

Fakta: Skizofrenia adalah sejenis penyakit yang boleh dirawat melalui pelbagai jenis cara.

Kini, ada banyak rawatan yang sesuai untuk pesakit skizofrenia. Selain pemberian ubat-ubatan, pesakit skizofrenia juga mempunyai banyak opsyen lain seperti terapi dan stimulasi magnetik.

Sama seperti diabetes dan penyakit jantung, skizofrenia adalah penyakit yang boleh dirawat.

Walau bagaimanapun, rawatan mungkin berbeza mengikut simptom pesakit serta cabaran yang dialami.

Kesimpulan

skizofrenia adalah

Skizofrenia adalah penyakit yang sering disalahertikan. Malah, ada banyak tanggapan negatif mengenai penyakit ini.

Tidak dinafikan, kondisi ini merupakan antara penyakit mental yang sukar untuk dikawal. 

Malah, simptomnya juga berbeza mengikut individu. Ada yang alami halusinasi dan delusi, manakala ada juga yang sukar menganalisis informasi dan membuat keputusan.

Walaupun skizofrenia adalah penyakit yang sukar dan kompleks, namun ia boleh dirawat. Malah, dengan kombinasi ubat-ubatan dan terapi, pesakit boleh menjalani hidup yang sihat seperti orang lain.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Six Myths About Schizophrenia. https://www.psycom.net/schizophrenia/six-myths-about-schizophrenia/. Accessed on April 26, 2022.
  2. From anxiety to schizophrenia: Mental health conditions explained . https://www.ourbetterworld.org/series/mental-health/support-toolkit/anxiety-schizophrenia-mental-health-conditions-explained?gclid=CjwKCAjwjZmTBhB4EiwAynRmD3F5kwNYuFYgFKYdzbuHQLEN5fyj_Vkvil4IzB_BbMFNld9NPCiZ3hoCWuMQAvD_BwE. Accessed on April 26, 2022.
  3. What is Schizophrenia? https://psychiatry.org/patients-families/schizophrenia/what-is-schizophrenia. Accessed on April 26, 2022.
  4. Schizophrenia. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/schizophrenia/symptoms-causes/syc-20354443. Accessed on April 26, 2022.
  5. Schizophrenia. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/schizophrenia. Accessed on April 26, 2022.

Versi Terbaru

17/05/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

5 Simptom Skizofrenia Yang Patut Anda Tahu

Simptom Umum Skizofrenia


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan