backup og meta

Peminat Hiking Jaga-jaga! Ada Risiko Berhalusinasi Semasa Mendaki, Ini Cara Nak Elak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/09/2021

    Peminat Hiking Jaga-jaga! Ada Risiko Berhalusinasi Semasa Mendaki, Ini Cara Nak Elak!

    Anda salah seorang penggemar aktiviti mendaki bukit atau gunung? Maka artikel ini amat sesuai untuk anda!

    Tidak dinafikan, ramai individu tanpa mengira jantina dan usia memang sangat menggemari aktiviti lasak seperti ini terutamanya buat golongan yang bernama belia.

    Di Malaysia, aktiviti hiking atau mendaki adalah sangat popular kerana negara kita terkenal dengan bukit dan gunung seperti Bukit Broga, Bukit Gasing, Gunung Ledang, Gunung Kinabalu dan pelbagai lagi.

    Ya, aktiviti ini memang mencabar dan menarik. Namun, setiap perkara pasti ada pro dan kontranya.

    Anda pernah dengar tentang altitude sickness? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut!

    Risiko hiking yang utama: halusinasi?

    Kami tidak kata aktiviti mendaki ini adalah tidak sihat kerana ia ternyata sangat bagus untuk kekuatan dan kesihatan tubuh badan baik dari aspek fizikal atau mental.

    Pun begitu, mungkin terdapat beberapa risiko hiking yang kalian perlu pertimbangkan sebelum mengajak teman-teman berkumpul dan bersama mendaki bukit atau gunung pilihan.

    Tahukah anda, pendaki boleh terkena satu kondisi yang dinamakan sebagai ‘altitude sickness’ atau acute mountain sickness (AMS)?

    Kondisi inilah yang dikatakan menjadi punca sukar bernafas, pening kepala, loya, penat, hilang selera makan, insomnia dan lebih teruk, halusinasi!

    Teruskan membaca artikel ini untuk tahu dengan lebih mendalam lagi.

    AMS

    Apa itu kondisi altitude sickness?

    AMS lebih dikenali dalam kalangan masyarakat kita sebagai sindrom akut gunung, sindrom mabuk gunung atau ketidakselesaan akut pergunungan.

    Ia adalah satu keadaan yang menyebabkan anda sukar untuk bernafas ekoran kekurangan oksigen di dalam tubuh badan.

    Ia mungkin akan berlaku apabila individu pergi atau sampai ke kawasan tinggi yang mempunyai altitud melebihi 2,500 meter dari paras air laut.

    Di Malaysia, hanya Gunung Kinabalu sahaja yang mempunyai altitud setinggi ini dengan 4,083 meter namun lebih banyak di luar negara.

    Berikut merupakan simptom-simptom AMS yang mungkin berlaku kira-kira 6 hingga 24 jam selepas mencapai altitud yang sangat tinggi:

    • Sukar bernafas
    • Pening kepala
    • Terasa loya
    • Terasa penat
    • Hilang selera makan
    • Insomnia

    Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan lanjutan, ia mungkin menjadi lebih teruk dan mengakibatkan halusinasi, pitam atau pengsan.

    mendaki bukit atau gunung

    Bagaimana altitude sickness boleh dirawat?

    Pakar Perunding Anaestesiologi Gleneagles Medini, Dr. Mafeitzeral Mamat menyatakan bahawa AMS mungkin tidak dapat dielakkan ekoran perubahan fisiologi manusia dengan altitud.

    Menurut beliau, semakin tinggi individu itu dari aras air laut maka semakin kurang tekanan barometrik semula jadi yang menyebabkan kemasukan oksigen dalam tubuh badan terganggu.

    Ini adalah kesan daripada aklimatisasi – proses tubuh badan menyesuaikan diri dengan tempat tinggi.

    “Setiap orang mempunyai tahap aklimatisasi berbeza tetapi pada dasarnya proses ini tidak boleh diambil mudah kerana ia membantu manusia untuk biasa dengan keadaan tempat tinggi,” jelas Dr. Mafeitzeral lagi.

    Pun begitu, ini tidak bermakna ia tidak boleh dielak atau dirawat.

    Berikut merupakan cara untuk mengelak daripada terkena altitude sickness:

    • Cuba untuk tidak terus pergi ke tempat yang beraltitud tinggi
    • Ambil masa 2 ke 3 hari untuk membiasakan tubuh badan
    • Jangan mendaki bukit atau gunung melebihi 300 meter ke 500 meter sehari
    • Rehat setiap kali mencapai 600 meter ke 900 meter
    • Rehat setiap 3 ke 4 hari
    • Minum air masak secukupnya
    • Katakan tidak pada rokok dan alkohol
    • Pastikan anda makan makanan tinggi kalori
    • Elakkan senaman berat pada 24 jam pertama pendakian

    Sekiranya sudah berlaku, maka perubatan seperti berikut amat diperlukan dengan preskripsi doktor:

    • Acetazolamide untuk merawat AMS
    • Ibuprofen untuk merawat pening kepala
    • Paracetamol untuk merawat pening kepala
    • Promethazine untuk merawat loya

    mendaki bukit atau gunung

    Wujudkah sebarang risiko hiking yang lain?

    Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, halusinasi akibat AMS adalah antara risiko hiking yang utama.

    Bukan itu sahaja, kalian juga perlu tahu ia boleh mengakibatkan pitam, pengsan atau maut jika dibiarkan.

    Adakah itu sahaja risiko aktiviti mendaki bukit atau gunung? Tidak, ada banyak lagi.

    Antara yang kalian perlu titikberatkan adalah aspek keselamatan terhadap beberapa perkara berikut:

    Konklusinya, tidak salah untuk anda dan teman-teman mengembara ke tempat tinggi untuk aktiviti hiking, cuma sila lebih berwaspada untuk elak AMS dan pelbagai lagi risiko yang lain ya?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan