backup og meta

"Dia Itu Gila!" - Stigma yang Perlu Dibuang

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 01/08/2023

    "Dia Itu Gila!" - Stigma yang Perlu Dibuang

    Sudah lah sedang bertarung dengan penyakit, stigma masyarakat yang memberikan gelaran ‘orang gila’ menambah lagi tekanan dan bebanan yang perlu dihadapi oleh pesakit mental. Silap haribulan, keadaan pesakit menjadi lebih parah sehingga berlaku perkara yang tidak diingini seperti membunuh diri.

    Secara amnya, masyarakat Malaysia masih melihat penyakit mental sebagai sesuatu yang ‘taboo’ untuk dibincangkan. Seluruh ahli keluarga seolah-olah malu untuk membuka mulut jika ada dalam kalangan mereka menghidap penyakit mental. Sedangkan, ia sama seperti penyakit-penyakit fizikal lain tetapi melibatkan mental.

    Stigma harus dibuang

    Masyarakat perlu sedar bahawa penyakit mental yang dialami oleh seseorang bukanlah semata-mata disebabkan kesalahan atau amalan buruk yang mereka lakukan. Puncanya adalah lebih kompleks daripada itu. Ia berkaitan dengan banyak faktor termasuk genetik, hormon dan persekitaran tempat membesar.

    Golongan ini sebaliknya perlu mendapatkan penerimaan serta sokongan daripada masyarakat. Jika pesakit kanser boleh mendapatkannya, mengapa hal yang sama tidak boleh berlaku bagi pesakit mental?

    Stigma dan label yang diterima oleh pesakit membuatkan mereka malu untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan. Jika penyakit tersebut dibiarkan tanpa rawatan yang betul, keadaan akan menjadi lebih teruk. Padahal, peratusan untuk sembuh daripada penyakit ini adalah tinggi jika diuruskan dengan baik.

    Langkah harus diambil

    3 daripada 10 rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas mengalami salah satu daripada penyakit mental, iaitu sekitar 29.2%. Penyakit mental yang biasa dialami adalah kemurungan, bipolar, skizofrenia, keresahan, gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan gangguan obsesif-kompulsif (OCD).

    Usaha membetulkan fahaman dan menghapuskan stigma masyarakat harus digiatkan. Bukan sekadar kempen anti-stigma, pendidikan asas tentang apa itu penyakit mental turut harus diketengahkan di dalam masyarakat, bukannya generalisasi penyakit mental sebagai ‘orang gila’.

    Usaha bersama hendaklah dilakukan oleh banyak pihak termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan. Tidak dilupakan juga peranan media dalam memberikan maklumat serta kesedaran terhadap isu ini. Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga harus terlibat sama.

    Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita yang paling utama untuk mengambil langkah. Sebarkan kefahaman yang betul dan hapuskan stigma dalam kalangan masyarakat sekeliling dan kongsikan juga di media sosial. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 01/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan