Seringkali apabila anda melayari Facebook, Twitter atau Instagram, ia boleh menyebabkan emosi dan fikiran yang negatif akibat daripada penggunaan media sosial. Antara keburukan media sosial ialah anda berasa cemas dan gelisah apabila tidak mendapat banyak like dan iri hati melihat posting orang lain.
Ini kemudiannya menjadikan anda untuk berasa lebih insecure berbanding daripada biasa.
Anda perlu bijak dalam menggunakan media sosial untuk mengelakkan anda rasa ‘terjejas’ dengan segala ‘keindahan’ yang muncul daripada suapan atau feed Instagram sebagai contoh.
Menjadi seseorang individu yang berdaya tahan
Ketika mempunyai masalah, kesukaran atau pengalaman yang buruk, manusia cenderung untuk diselubungi dengan emosi yang negatif.
Kadangkala, emosi negatif ini sukar untuk dikawal sehingga membuatkan anda tidak percaya kepada diri sendiri hinggakan mengalami stres dan kemurungan.
Salah satu daripada kualiti diri yang perlu ada ialah sikap berdaya tahan, atau dikenali sebagai resilience dalam dunia psikologi.
Menurut laman Psychology Today, sikap berdaya tahan adalah kualiti diri yang menjadikan seseorang itu dapat mengatasi masalah dan tidak membiarkan masalah tersebut mengganggu emosinya.
Apabila satu kegagalan atau kesukaran berlaku, individu yang berdaya tahan ini boleh mengatasi dan mengendalikan emosi negatif yang muncul sehingga dia dapat bangun kembali daripada kesukaran tersebut.
Antara ciri yang berkait rapat dengan sikap berdaya tahan ialah berfikiran positif, optimis, mampu mengawal emosi dengan baik, serta melihat kegagalan sebagai pembelajaran.
Sememangnya, mewujudkan sikap berdaya tahan itu memerlukan waktu yang panjang.
Setiap individu memiliki keadaan mental dan pendedahan terhadap masalah yang berbeza-beza. Namun, ia tidak bermakna anda tidak mampu untuk mempelajarinya.
Walaupun ada yang menganggap bahawa keburukan media sosial ini boleh menjadikan seseorang itu menjadi kurang percaya diri, namun medium ini juga adalah platform untuk anda melatih diri memiliki sikap berdaya tahan.
Perasaan cemas dan gelisah berkenaan pendapat individu lain terhadap diri anda boleh menjadi satu alat untuk melatih diri.
Bijak dalam penggunaan media sosial adalah kunci utama
Media sosial boleh menjadi seolah-olah satu pisau yang mempunyai dua mata atau bilah.
Satu sisi bilah boleh meningkatkan rasa insecure, manakala satu sisi yang lain boleh meningkatkan sikap berdaya tahan. Kunci utamanya adalah penggunaan media sosial yang bijak.
Berdepan dengan pelbagai post di media sosial memerlukan kita untuk bertindak dengan bijak.
Sikap yang bijak dalam mengawal perasaan dan emosi yang negatif boleh dijadikan sebagai alat pembelajaran untuk diri anda memiliki kualiti yang lebih baik.
Berikut merupakan beberapa tip penggunaan media sosial dengan bijak:
#1. Lihat sisi positif daripada perkara negatif yang berlaku
Ia mungkin kedengaran sukar untuk dilakukan, tetapi ia adalah salah satu cara yang bijak ketika anda menggunakan media sosial. Kaedah ini disebut sebagai cognitive reappraisal, atau penilaian kognitif.
Kemampuan anda untuk mengawal emosi akan memberikan kesan yang besar ketika anda berdepan dengan perkara negatif.
Dengan penilaian kognitif ini, anda dapat belajar bagaimana untuk mengatur dan mengawal emosi negatif sekali gus menjadikannya lebih positif.
Katakanlah anda berasa cemburu apabila melihat seorang rakan yang kerap menceritakan kisah kejayaannya di media sosial.
Daripada anda terus berasa cemburu, anda mungkin boleh melihatnya seperti, “Apa yang membuatkannya menjadi berjaya? Apa yang dilakukannya sehingga mampu berjaya seperti itu?”
Dengan bertanya seperti itu, anda mungkin berasa ingin memperbaiki diri anda pula.
#2. Melihat sudut pandang baharu
Antara cara lain untuk menjadikan diri anda lebih berdaya tahan daripada kesan keburukan media sosial adalah dengan cara mengubah persepektif anda. Lebih khusus lagi, letakkan diri anda dalam posisi ‘orang ketiga’.
Bagaimanakah cara untuk melakukannya?
Katakanlah anda sedang terlibat dalam satu pertelingkahan yang berlarutan dengan seseorang individu di media sosial.
Bayangkan jika anda adalah individu lain yang sedang membaca atau melihat pertelingkahan anda di ruangan komen. Anda pasti akan mempunyai satu sudut pandang yang jauh berbeza dan akan menjadi lebih tenang serta objektif.
Apabila anda melihatnya sebagai ‘orang ketiga’, anda akan rasa bahawa berkemungkinan masalah yang anda lalui di media sosial tidak memberi kesan yang terlalu buruk kepada anda.
#3. Time travel
Time travel di sini bukanlah bermaksud anda menggunakan mesin waktu seperti yang terdapat di dalam filem.
Namun, ia bermaksud seolah-olah anda meletakkan diri anda pada line waktu yang berbeza. Kaedah ini cukup bermanfaat dalam membantu mengurangkan emosi negatif ketika anda berhadapan dengan kesan keburukan media sosial.
Sebagai contoh, ketika anda berasa kesal apabila membaca sesuatu di media sosial, cuba bayangkan jika anda perlu mengingat kembali situasi tersebut pada masa hadapan. Adakah anda akan masih berasa kesal?
Dengan cara ini, anda akan menyedari bahawa masalah dan ketidakselesaan yang berlaku hanyalah bersifat sementara sahaja. Ia akan menjadikan anda tidak berasa terlalu cemas atau tertekan dengan situasi tersebut.
Kesimpulan
Keburukan media sosial akan mula menyelubungi diri anda jika tidak bijak menggunakan platform tersebut.
Namun, ia tidaklah benar-benar memberi kesan negatif jika anda melihatnya dari sudut pandang yang berbeza.
Penggunaan media sosial dengan bijak mampu mengurangkan kesan keburukan media sosial.