Jenis lelaki tipikal yang digemari wanita biasanya adalah seorang yang bersifat melindungi, bertanggungjawab, matang dan semestinya, romantik.
Namun, bagaimana pula jika lelaki yang anda kenali ini, atau pasangan anda sendiri merupakan seorang yang berkelakuan seperti budak-budak?
Mungkin anda tidak begitu sedar, ada sesetengah lelaki yang mempunyai perangai seperti kanak-kanak.
Jangan terkejut jika anda sebagai seorang wanita jauh lebih matang daripada si dia.
Adakah perangai lelaki ini sekadar dibuat-buat atau sememangnya ada rahsia di sebalik tingkah lakunya itu?
Lelaki ‘kanak-kanak’ atau juga dikenali sebagai sindrom Peter Pan
Sindrom Peter Pan adalah 1 keadaan di mana seseorang individu itu tidak mahu atau tidak berkemampuan untuk membesar dan bersikap matang.
Dalam kata lain, dia adalah seorang individu yang mempunyai tubuh individu dewasa, tetapi mempunyai minda seperti seorang kanak-kanak atau remaja.
Anda mungkin akan tertanya-tanya, mengapa dia mempunyai emosi dan mental seperti seorang kanak-kanak atau lelaki tidak matang.
Lelaki seperti ini biasanya bersifat kebudak-budakan, tidak bertanggungjawab dan juga anda tidak boleh bergantung harap kepadanya.
Apakah punca lelaki mempunyai sindrom seperti ini?
Profesor Humbelina Robles Ortega yang berkhidmat di University of Granada menyatakan, salah 1 sebab mengapa seseorang lelaki itu menjadi seperti ini adalah kerana layanan ibu bapa itu sendiri.
Beliau berpendapat, sikap ibu bapa yang terlalu melindungi anak-anak menyebabkan si anak mengalami sindrom Peter Pan ini.
Sindrom ini sering menjejaskan individu yang terlalu dilindungi keluarga, menyebabkan kemahiran yang diperlukan untuk menempuh kehidupan, tidak berkembang.
Kesemuanya dilakukan oleh ibu bapa walaupun kebanyakan perkara tersebut boleh dilakukan oleh anak mereka sendiri.
Ini menyebabkan mereka membesarkan sebagai seorang lelaki yang kurang rasa tanggungjawab, terlalu manja dan tidak mampu untuk berdikari.
Adakah sindrom ini hanya berlaku dalam kalangan kaum lelaki sahaja?
Sebenarnya, sindrom kelakuan seperti kanak-kanak ini boleh berlaku terhadap lelaki dan juga wanita. Tetapi, ia lebih kerap berlaku dalam kalangan kaum lelaki.
Ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti yang dinyatakan sebelum ini dan juga sifat pasangannya sendiri yang terlalu mengatur dan mengongkong kehidupan lelaki tersebut.
Tingkah laku biasa lelaki yang mempunyai sindrom Peter Pan
Terdapat beberapa keadaan atau tingkah laku yang biasa dilakukan oleh lelaki yang bersifat seperti kanak-kanak ini.
Anda boleh memahaminya melalui beberapa keadaan seperti berikut:
#1. Dia mempunyai pandangan atau wawasan yang sangat teruk
Lelaki seperti ini biasanya percaya, mereka tidak mempunyai bebanan emosi atau tidak menjadi masalah kepada keluarga.
Mereka tidak memandang ke hadapan dan hanya mementingkan situasi semasa dan keselesaan mereka semata-mata.
#2. Tidak begitu kisah mengenai kesan sesuatu perkara
Lelaki seperti ini juga biasanya tidak begitu mengambil berat berkenaan kesan sesuatu perkara yang dilakukannya.
Selain itu, dia juga mempunyai mentaliti yang malas dan pengaruh yang negatif.
Sebagai contoh, dia percaya bahawa merokok tidak begitu membahayakan kesihatan kerana ia memberikan ketenangan kepadanya.
Dia juga mungkin akan menyatakan bahawa anda bersikap terlalu tegas terhadapnya dan mencadangkan agar anda turut mencuba merokok bersamanya.
#3. Tidak mempunyai kerjaya yang tetap
Jika anda lihat, lelaki seperti ini juga kerap bertukar-tukar pekerjaan atau cuba untuk mengelak daripada terus bekerja.
Dia juga mungkin akan meneruskan kehidupan dengan menggunakan wang yang diberikan oleh ibu bapanya.
Jika di tempat kerja pula, dia sering menyalahkan pihak lain, merungut mengenai semua peraturan yang perlu dipatuhi, selalu mengambil waktu rehat yang panjang atau curi tulang bermain dengan telefon bimbitnya.
#4. Hobi utamanya melibatkan perkara-perkara elektronik
Apa maksudnya? Ini bermaksud bahawa dia mungkin ketagihan bermain permainan video atau sebarang game lain yang membuatkannya bermain selama berjam-jam.
Sudah tentu, dia juga tidak sukakan senaman atau aktiviti fizikal yang lain kerana lebih gemar memberikan tumpuan kepada game yang disertai.
#5. Tidak membantu anda melakukan kerja rumah
Mungkin kami juga bersetuju jika anda katakan bahawa lelaki seperti ini adalah seorang yang pemalas.
Dia tidak pernah membantu anda dalam menguruskan hal-hal di rumah.
Dia tidak pernah memasak, mencuci pakaian atau menyapu lantai.
Sekiranya anda memintanya untuk membantu anda mengemas rumah, ia menjadi satu masalah yang besar kepadanya.
#6. Tidak berkemampuan meluahkan perasaannya dengan matang
Dia tidak bersikap seperti seorang individu dewasa yang normal. Dia juga tidak cuba untuk mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu yang tidak disukainya.
Dia juga mungkin akan membuat perangai jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara.
Selain itu, lelaki jenis ini juga seorang yang suka merungut, merengek dan berfikir setiap perkara yang tidak menyebelahinya adalah tidak adil.
Apa yang perlu anda lakukan jika mempunyai pasangan seperti ini?
Pertama sekali, anda perlu berhenti daripada memberikan segala kemudahan atau keselesaan yang boleh dia usahakan sendiri.
Sebagai contoh, berhenti memberikan wang belanja kepadanya setiap hari atau biarkan dia membasuh pakaiannya sendiri.
Jika anda tidak berhenti melakukan perkara-perkara seperti ini bermula sekarang, maka pasangan anda akan terus berkelakuan mengikut kesukaannya selain terus bersenang-lenang.
Sudah pasti anda juga tidak mahu jika pasangan anda bersikap sedemikian sehinggalah ke hari tua.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.