Alam perkahwinan akan mengubah kehidupan anda dan pasangan 360 darjah, apatah lagi jika kalian sudah memiliki anak. Anak memerlukan perhatian yang lebih daripada anda berdua terutamanya pada tahun-tahun pertama tumbesarannya.
Perkara seperti inilah yang kadangkala menyebabkan anda terlupa betapa pentingnya menghabiskan waktu berkualiti bersama si dia. Adakah ia benar-benar penting?
Pentingnya waktu berkualiti bersama pasangan walaupun sudah mempunyai anak
Sesetengah pasangan mungkin terlupa asas kepada perkahwinan yang kuat bukan sahaja menjadi ibu bapa yang baik, tetapi juga memiliki hubungan suami isteri yang harmoni.
Keharmonian hubungan antara suami dan isteri adalah sangat penting untuk dikekalkan. Ia juga perlu diseimbangkan dengan kesibukan anda bekerja dan juga tugasan mengasuh anak, urusan keluarga dan rutin mengurus rumah tangga.
Namun, kebanyakan pasangan akan mula mengalami konflik setelah dikurniakan anak.
Satu kajian menyatakan, setelah bayi mencapai umur 18 bulan, setiap 1 daripada 4 pasangan menunjukkan tahap stres dalam perkahwinan mereka.
Kajian terbabit telah dilakukan oleh pasangan Profesor Psikologi di University of California, Dr. Philip Cowan dan Dr. Carolyn Pape Cowan.
Kajian tersebut telah dilakukan selama puluhan tahun terhadap beberapa pasangan bermula daripada fasa kehamilan sehinggalah fasa anak mula memasuki tadika.
Hasil kajian cukup jelas: memiliki anak berisiko meningkatkan kejadian konflik antara pasangan.
Walau bagaimanapun, pasangan yang sentiasa menjaga keharmonian dalam rumah tangga didapati memilki kehidupan perkahwinan yang lebih memuaskan.
Menurut Dr. Philip, menjaga hubungan yang berkualiti bersama pasangan dapat membantu kedua-duanya berasa lebih baik mengenai diri mereka dan menjadi lebih produktif.
Mereka juga akan menjadi lebih cekal menghadapi sebarang cabaran dalam mengurus dan membesarkan anak.
Ini bermaksud, kepentingan menjaga waktu berkualiti anda bersama si dia bukan sahaja boleh memperbaiki hubungan agar lebih rapat, malah juga membantu menjadi ibu bapa yang bahagia dan efektif dalam membesarkan anak.
Kesannya? Anak akan membesar dengan lebih bahagia apabila ibu bapanya memiliki hubungan yang sihat.
Tip memiliki waktu berkualiti bersama pasangan setelah mempunyai anak
Salah satu halangan yang paling besar dalam perkahwinan adalah untuk menjaga pentingnya waktu berkualiti bersama pasangan, walaupun anda sudah memiliki anak.
Perkara ini mungkin agak sukar terutamanya apabila anak anda masih bayi, sering terjaga pada waktu malam dan perlu disusukan.
Hal seperti ini bukan hanya akan menyebabkan anda sukar untuk memiliki waktu berkualiti bersama pasangan, malah waktu untuk diri sendiri juga akan berkurangan.
Walau bagaimanapun, kesukaran yang dialami tidak bermakna mustahil untuk dilakukan.
Ikuti tip di bawah ini agar anda dapat memiliki waktu berkualiti yang romantik bersama pasangan anda setelah berkahwin dan memiliki anak:
#1. Habiskan waktu berdua di malam hari
Kadangkala, waktu seharian yang dimiliki oleh anda dan pasangan dipenuhi dengan tugasan kerja dan pengurusan rumah tangga.
Oleh itu, waktu yang sesuai untuk anda menikmati masa berkualiti adalah pada waktu malam, ketika kurangnya perkara yang perlu dilakukan dan anak anda sudah tidur.
Anda boleh mengisi waktu bersama pasangan dengan melakukan aktiviti seperti candle light dinner di rumah, menonton filem, atau mungkin sekadar berborak berdua bersama pasangan anda.
#2. Luangkan waktu bersama sekurang-kurangnya 10 minit sehari
Setiap individu yang telah berkahwin perlu menyedari pentingnya waktu berkualiti sekurang-kurangnya 10 minit sehari bersama pasangan masing-masing.
Jadikan perkara ini sebagai satu rutin yang tidak boleh dilupakan.
Melalui perbualan bersama, anda dapat berkongsi berkenaan aktiviti seharian masing-masing, saling mendengar antara satu sama lain dan memberikan perhatian kepada pasangan yang memerlukan.
Kaedah ini juga dapat meningkatkan tahap empati anda terhadap pasangan dan mengeratkan lagi hubungan.
#3. Tinggalkan anak anda dengan ahli keluarga yang dipercayai
Apabila anda dan pasangan ingin keluar berdua, atau melancong berdua, anda mungkin boleh meninggalkan si manja buat sementara waktu dengan ahli keluarga yang anda percaya.
Anggota keluarga seperti ibu bapa anda pasti memahami tujuan anda kerana mereka juga pernah merasainya sebelum ini.
Kesimpulan
Menghabiskan waktu berkualiti bersama pasangan bukanlah satu perkara yang sukar. Anda boleh memilih untuk melakukan perkara semudah berborak dan menonton televisyen bersama pasangan.
Tidak semestinya perlu berbelanja besar seperti melancong keluar negara hanya semata-mata mahu mendapatkan waktu berkualiti bersama pasangan.
Apa yang paling penting adalah anda berdua bersetuju dan seronok dengan pilihan aktiviti yang ingin dilakukan.
Baca juga:
- Rahsia Kebahagiaan Perkahwinan
- Terlalu Muda untuk Berkahwin: Impak Kesihatan Perkahwinan Kanak-kanak
- Pembulian Emosi dalam Perkahwinan
- Pra-Perkahwinan: Lakukan Ujian Kesihatan Sebelum Berkahwin
- 8 Tabiat Boleh Menamatkan Perkahwinan, Menurut Ahli Terapi
[embed-health-tool-ovulation]