Dalam Islam menegaskan bahawa syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suami. Namun adakah itu bermakna untuk menjadi bidadari suami, segalanya tentang rumah tangga perlu dilakukan oleh si isteri semata-mata?
#RoadToJannah
Tular baru-baru ini di dalam media sosial Facebook mengenai perkongsian seorang wanita bergelar isteri tentang bagaimana untuk melakukan perkara yang disukai dan menghindari perbuatan tidak digemari suami.
Post dengan #RoadToJannah yang digunakan wanita bernama Nur Khairunnisa Iskandar, mendapat kecaman ramai wanita apabila hantaran tersebut seolah menjadikan isteri itu sebagai ‘kuli’ kepada insan bergelar suami.
Apa tidaknya, dalam hantaran tersebut, dia mencadangkan bagaimana caranya untuk seorang isteri melakukan 100% tugasan rumah demi untuk memastikan suami berasa gembira dan seronok apabila pulang dari tempat kerja.
Lebih menaikkan kemarahan netizen apabila dalam perkongsian tersebut dia menyarankan isteri untuk makan di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Manakala suami hanya perlu bersenang-lenang tanpa perlu melakukan 1 pun tugasan rumah.
Kuli atau bidadari suami?
Umum selalu salah faham mengenai konsep taat kepada suami. Ia tidak bermakna segala perihal rumah tangga perlu digalas sendirian. Untuk menjadi bidadari suami, bukan bererti anda harus mengabdikan diri kepada suami semata-mata.
Pastinya setiap pasangan yang berkahwin mengetahui hal menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tanggungjawab yang mudah. Ia memerlukan tolak-ansur dan rasa saling membantu antara pasangan suami isteri.
Jangan kerana terlalu sayangkan suami dan ingin dianggap sebagai isteri yang terbaik, anda merelakan diri anda untuk melakukan segala-galanya. Ia seolah-olah terlihat seperti anda ‘merajakan’ suami.
Adakah itu caranya untuk menjadi bidadari suami? Sudah tentulah tidak. Ini kerana jika begitu amalan anda, nescaya ia akan mendatangkan mudarat kepada emosi dan fizikal isteri.
Bagaimana untuk menjadi bidadari suami?
Terdapat beberapa cara yang boleh anda dan pasangan lakukan untuk memperolehi keluarga yang bahagia. Sudah tentu ia memerlukan kerjasama daripada suami isteri dan bukan sekadar bergantung harap kepada isteri semata-mata.
Berikut adalah 3 cara utama yang perlu diamalkan setiap pasangan yang berkahwin jika ingin mempunyai rumah tangga yang bahagia, iaitu:
- Melakukan tugasan rumah bersama-sama
Jika anda sedang melakukan sebarang tugasan rumah seperti mengemas, cuba untuk meringankan mulut meminta bantuan si suami. Ya, anda mungkin boleh melakukan segalanya sendiri tetapi jangan menjadikan diri anda sebagai kuli.
Rumah tangga yang dibina adalah milik anda berdua, maka atas sebab itu suami juga bertanggungjawab dalam menjalankan sebarang tugasan rumah. Tetapi elakkan daripada memberikan arahan kepada suami.
Berikan pilihan kepadanya untuk melakukan pekerjaan. Sebagai contoh, katakan kepadanya bahawa anda akan memasak, dan tanyakan sama ada si suami boleh membantu anda dengan menguruskan pakaian kotor.
Paling penting jangan melakukan segalanya sendirian. Lakukan segalanya bersama-sama pasangan.
- Meluahkan secara jujur
Ada sesetengah isteri sukar untuk mengakui apa yang dirasainya dan memilih untuk memendam perasaan. Lebih parah lagi apabila anda memilih untuk menzahirkan apa yang anda rasai dengan mimik wajah anda.
Percayalah suami anda tidak akan dapat menangkap apa yang anda rasai melainkan anda melafazkan secara lisan kepada mereka. Malahan semakin lama anda memendam perasaan, akan semakin berat bebanan yang anda tanggung.
Jadi sebaiknya, sejak dari awal perkahwinan, cuba untuk jujur dengan pasangan tentang apa yang anda rasai. Tetapi luahkan dengan cara yang baik dan elakkan daripada menggunakan bahasa yang kasar, okay?
Dalam masa yang sama hindari daripada membuat sebarang andaian negatif kepada pasangan anda. Jika wujud perkara atau isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati, berterus-teranglah dengannya. Komunikasi adalah kunci utama kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
- Berterima kasih
Anda pasti tahu 2 perkataan paling ajaib adalah terima kasih dan maaf. Percayalah saat anda melafazkan 2 perkataan ajaib itu, hati individu yang menerimanya pasti rasa dihargai walaupun tidak ditunjukkan melalui reaksi wajahnya.
Jika pasangan anda melakukan sesuatu selepas anda memintanya, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih, walaupun mereka hanyalah sekadar membuang sampah ke luar atau menukar lampin si kecil.
Mungkin ada yang mengatakan, penghargaan itu boleh ditunjukkan melalui perbuatan seperti membalas pertolongan pasangan dengan menyediakan segelas air. Tetapi hakikatnya 2 patah perkataan ajaib, “Terima kasih, Sayang” pasti akan mendatangkan kesan di hati pasangan anda.
Anda pun pastinya akan berasa terharu dan dihargai jika mendapat ucapan terima kasih daripada pasangan selepas melakukan sebarang tugasan, bukan? Jadi, cuba untuk amalkannya.
Akhir kata
Isu menjadi kuli atau bidadari suami tidak seharusnya timbul kerana setiap hubungan rumah tangga itu perlulah mempunyai sifat tolak ansur dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Jika anda sayangkan rumah tangga anda, maka ringan tangan dan bantulah pasangan anda dalam melakukan setiap tanggungjawab dan tugasan di rumah.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- Adakah Ibu Bapa Perlu Campur Tangan Dalam Konflik Perkahwinan Anak-anak?
- 8 Tabiat Boleh Menamatkan Perkahwinan, Menurut Ahli Terapi
- Pra-Perkahwinan: Lakukan Ujian Kesihatan Sebelum Berkahwin
- Pembulian Emosi dalam Perkahwinan
- Terlalu Muda untuk Berkahwin: Impak Kesihatan Perkahwinan Kanak-kanak
[embed-health-tool-ovulation]