backup og meta

Selalu Rasa Cepat Naik Darah? Jaga-jaga Jika Disertai Dengan 'Anxiety', Boleh Terkena Sakit Jantung!

Selalu Rasa Cepat Naik Darah? Jaga-jaga Jika Disertai Dengan 'Anxiety', Boleh Terkena Sakit Jantung!

Adakah terdapat sebarang perkaitan atau hubungan antara perasaan marah dengan keresahan? Bagaimana rasa marah ini boleh mempunyai hubungan dengan resah gelisah?

Bagi mengetahui jawapannya, teruskan membaca artikel ini.

Maksud keresahan dan juga perasaan marah

Keresahan atau kegelisahan bermakna emosi yang dicirikan oleh perasaan ketegangan, fikiran yang risau dan perubahan fizikal seperti peningkatan tekanan darah.

Manakala rasa marah pula bermaksud perasaan jengkel, tidak senang, atau kebencian yang kuat.

Tahukah anda, walaupun kedua-dua perasaan ini berbeza, namun kedua-dua perasaan ini sebenarnya bertindak balas hasil daripada sebarang ancaman yang hadir kepada kita. 

Adakah kedua-duanya mempunyai persamaan?

perasaan marah

Boleh dikatakan sebegitu. Ini kerana kedua-dua perasaan ini adalah sebahagian daripada keadaan yang dialami oleh manusia.

Sebagai contoh, kedua-dua rasa marah dan keresahan akan menjadikan tubuh kita berada pada tahap kewaspadaan yang tinggi sekiranya diancam atau mengesan sebarang bahaya.

Malah, apabila kita berasa marah atau resah, kedua-duanya akan menyebabkan beberapa simptom kecil yang sama.

Anda mungkin akan mengalami peningkatan degupan jantung dan tekanan darah yang tinggi.

Namun, perasaan marah mungkin berlaku terhadap sesuatu ancaman khusus sahaja. Manakala, keresahan boleh berlaku tanpa ancaman khusus. 

Perasaan marah dan keresahan akan menyebabkan simptom-simptom fisiologi yang sama

Apabila anda sedang berada dalam keadaan marah atau resah, hormon kortisol dan adrenalin akan terhasil daripada tubuh. Kedua-dua ini akan terhasil sekiranya tubuh anda berasa diancam.

Oleh sebab itu, selain degupan jantung dan tekanan darah tinggi, anda juga mungkin akan berasa sesak nafas, otot yang tegang, badan berasa panas, perut berasa seperti tidak sedap dan pening kepala.

Kesemua ini boleh dirasakan ketika anda sedang marah atau resah.

Namun, bagi keresahan yang kronik, anda mungkin akan mengalami beberapa simptom lain seperti berpeluh, menggeletar, dan rasa seperti hendak pitam.

Simptom-simptom ini akan menghilang setelah anda kembali tenang. Namun jika anda kerap mengalami keresahan dan perasaan marah, maka kesihatan anda mungkin akan terjejas. 

Perasaan marah dan keresahan berpunca daripada psikologi yang sama

Apabila anda berhadapan dengan punca sesuatu tekanan dan anda tidak mampu menanganinya, anda mula akan berasa resah.

Sekiranya punca tekanan tersebut semakin bertambah dan mengancam diri anda, maka anda akan lebih mudah menjadi marah.

Sesetengah ahli psikologi berpendapat, rasa marah sebenarnya terletak pada asal perasaan resah.

Bagi mereka yang jarang atau tidak pandai menunjukkan kemarahan mereka, maka mereka akan lebih lama mengalami keresahan dalam hidup mereka.

Kajian-kajian yang membuktikan hubungan antara perasaan marah dan keresahan

perasaan marah

Satu kajian ada menyebut, perasaan mudah marah sering dikaitkan dengan kegelisahan yang dialami.

Malah, mereka yang mengalami kemurungan berserta keresahan sebenarnya lebih mudah untuk menjadi marah berbanding mereka yang hanya mengalami kemurungan.

Ada juga kajian yang menyatakan bahawa, mereka yang mengalami kemurungan berserta keresahan lebih mudah menjadi marah atau mengalami serangan marah.

Manakala mereka yang hanya mengalami keresahan atau mengalami kemurungan kurang menjadi marah. 

Adakah wujud sebarang kesan jika kerap marah atau resah?

Semestinya ada. Bagi mereka yang tidak boleh mengawal rasa marah dan keresahan yang dialami, anda mungkin memerlukan khidmat profesional untuk membantu anda mengatasinya.

Ini kerana, sifat marah dan resah yang melampau bukan hanya menjejaskan mental anda, tetapi juga aspek fizikal.

Dari segi mental, rasa marah ini akan semakin meningkat bagi mereka yang mengalami gangguan keresahan dan juga kemurungan.

Dari segi fizikal pula, perasaan marah dan resah yang melampau akan menyebabkan masalah pernafasan seperti asma, sakit kepala, sakit jantung, tekanan darah tinggi serta keletihan. 

Bagaimana saya boleh mengatasinya?

Terdapat beberapa perkara mudah yang boleh anda lakukan untuk mengawal rasa marah dan resah anda. Salah satunya adalah melalui aktiviti sukan atau senaman.

Ada kajian mengatakan, mereka yang berlari menggunakan treadmill selama 20 minit menunjukkan simptom kemarahan dan keresahan yang lebih sedikit berbanding sebelum mereka bersenam.

Selain itu, anda juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti yoga dan juga bernafas secara dalam.

Jika anda benar-benar tidak boleh mengawal rasa marah anda, cuba dapatkan bantuan profesional seperti kaunselor untuk membantu diri anda mengawalnya.

Mereka akan menjalankan beberapa jenis terapi yang sesuai dengan keadaan anda. Selamat mencuba!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Physical and emotional benefits of different exercise environments designed for treadmill running. Https://www. ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5551190/Accessed 3 May 2021. 
  2. Recognize anger. https://www.apa.org/topics/recognize-anger. Accessed 3 May 2021.  
  3. Anxiety. https://www.apa.org/topics/anxiety#:~:text. Accessed 3 May 2021.  
  4. Mindfulness exercise. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/consumer-health/in-depth/mindfulness-exercises/art-20046356. Accessed 3 May 2021.  
  5. Emotional.https://doi.apa.org/doiLanding?doi=10.1111%2Fcpsp.12139. Accessed 3 May 2021.  

Versi Terbaru

08/02/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Perintah Kawalan Pergerakan Buat Anda Resah & Gelisah? Ini 5 Cara Berkesan Atasinya

Kemurungan, Keresahan dan Panik Boleh Ditangkis Melalui Sifat Ketekunan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/02/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan