backup og meta

Jangan Guna Masa Cuti Hujung Minggu Untuk Bekerja, Kalau Tak Boleh Jadi MENTAL!

Jangan Guna Masa Cuti Hujung Minggu Untuk Bekerja, Kalau Tak Boleh Jadi MENTAL!

Tuntutan pekerjaan menyebabkan ramai pekerja tidak sedar mereka telah mengorbankan cuti hujung minggu dengan bekerja.

Persoalannya, adakah memenuhi tuntutan pekerjaan itu lebih penting daripada meluangkan masa berehat selama 2 hari seminggu?

Ini tujuan utama mengapa cuti hujung minggu diwujudkan!

Pada abad ke-19, rakyat di Negara Britain sememangnya tidak akan hadir bekerja pada hari Ahad memandangkan hari Ahad dianggap sebagai hari untuk beribadat.

Pada masa tersebut, ada juga pekerja yang sengaja tidak menghadirkan diri bekerja pada hari Isnin keesokannya sehingga menyebabkan produktiviti di sektor perindustrian terjejas.

Disebabkan hal itu, kebanyakan pemilik kilang bersetuju untuk memberikan cuti separuh hari pada hari Sabtu agar pekerja dapat hadir bekerja pada hari Isnin dengan lebih bersemangat. 

Pada tahun 1926, pengusaha kereta terkenal, Henry Ford telah menjadikan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti rasmi untuk pekerjanya.

Selain itu, beliau turut berminat untuk menjadikan waktu bekerja pekerjanya hanya 40 jam seminggu iaitu bersamaan 8 jam sehari.

Bermula daripada itu, hampir kesemua negara di seluruh dunia mula mengikuti kaedah ini yang menjadikan hari Sabtu dan Ahad sebagai hari cuti hujung minggu.

Kajian juga ada mendapati, cuti 2 hari setiap minggu sangat membantu mengurangkan kadar ketidakhadiran pekerja dan meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja. 

Kerja hujung minggu buatkan anda berisiko mendapat kemurungan

kerja hujung minggu

Walaupun cuti hujung minggu telah lama dilaksanakan dalam kebanyakan sektor pekerjaan, namun masih ada daripada kalangan kita yang membuat keputusan untuk terus bekerja walaupun pada cuti hujung minggu.

Ini bermakna, mereka tidak mendapat sebarang manfaat daripada pengenalan cuti 2 hari pada hujung minggu tersebut.

Apa yang lebih buruk, kebanyakan daripada mereka yang membuat keputusan untuk kerja hujung minggu tidak sedar apa yang bakal dihadapi pada masa akan datang.

Mereka sebenarnya sedang memperjudikan kesejahteraan mental yang mereka miliki. Apakah ia?

Satu kajian yang dilakukan di United Kingdom mendapati, mereka yang terus bekerja pada hujung minggu lebih cenderung atau berisiko untuk mengalami kemurungan pada masa akan datang.

Daripada data kajian tersebut, didapati bahawa golongan wanita yang bekerja pada hujung minggu mempunyai simptom-simptom kemurungan yang lebih tinggi berbanding wanita yang hanya bekerja pada hari bekerja sahaja. 

Kajian tersebut turut menyatakan, majikan perlulah menyedari bahawa kerja lebih masa dan pada waktu hujung minggu sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja mereka. 

Kerja lebih masa sangat tidak bagus kepada kesihatan mental manusia

Seorang penyelidik di Lancaster University menyatakan, kerja lebih masa sememangnya amat memberi kesan secara negatif ke atas mental manusia.

Ini termasuklah kurangnya aktiviti sosial, masa untuk kehidupan peribadi dan juga waktu rehat yang sememangnya diperlukan oleh tubuh manusia itu sendiri.

Apatah lagi bagi mereka yang telah berkeluarga, mereka sepatutnya menyeimbangkan masa mereka juga untuk memenuhi tanggungjawab terhadap urusan rumah tangga. 

Apa yang boleh anda lakukan sebagai pekerja untuk mengurangkan risiko kemurungan?

cuti hujung minggu

Sebagai seorang pekerja yang hanya makan gaji, kita mungkin tidak mampu mengubah waktu kerja atau mengubah apa yang telah diaturkan kepada kita.

Namun, ada beberapa langkah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan risiko daripada mendapat kemurungan.

Antaranya ialah:

  • Berehat beberapa ketika pada waktu bekerja
  • Memberikan prioriti atau keutamaan kepada tugasan kerja
  • Belajar untuk menyatakan ‘tidak’ jika anda rasa anda tidak mampu lagi untuk menanggung beban kerja tambahan
  • Bekerja dari rumah jika terdapat fleksibiliti seperti itu dalam sektor pekerjaan anda
  • Bersikap terbuka untuk menceritakan masalah anda kepada ahli keluarga dan rakan yang dipercayai
  • Gunakan masa cuti anda sebaiknya dengan tidak memikirkan soal kerja
  • Berhenti melakukan kerja apabila waktu kerja anda sudah tamat dan jangan bawa pulang beban kerja di rumah
  • Manfaatkan masa bersama keluarga dan rakan pada luar waktu kerja

Komitmen tugas kerja itu bagus, tetapi anda juga punya kehidupan untuk dinikmati

Memberikan komitmen yang terbaik kepada pekerjaan itu sememangnya satu nilai yang dicari ramai majikan.

Namun, anda juga perlu sedar bahawa anda bukanlah dibayar untuk bekerja 24 jam, 7 hari seminggu.

Anda juga perlu menikmati waktu di luar masa kerja dengan melakukan aktiviti lain yang digemari bersama keluarga atau rakan.

Untuk majikan pula, sudah tiba masanya untuk berubah daripada budaya bekerja yang tidak realistik dengan ganjaran yang rendah kepada budaya yang lebih menghargai dan menyokong para pekerja anda.

Hargailah segala usaha pekerja anda dan berikan sokongan untuk mereka menjalani kehidupan yang memelihara kesejahteraan mental. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Weston G, Zilanawala A, Webb E, et alLong work hours, weekend working and depressive symptoms in men and women: findings from a UK population-based studyJ Epidemiol Community Health 2019;73:465-474.

https://www.bbc.co.uk/bitesize/articles/zf22kmn

Versi Terbaru

03/11/2023

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Risau Kesedihan Anda Jadi Kemurungan? 7 Tip Mudah Ini Bantu Melancarkan Hari Anda

Dekati Orang Kemurungan Undang Aura Negatif Pada Anda- Kemurungan Berjangkit?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/11/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan