Kajian ini jelas menunjukkan penurunan pada produktiviti ekonomi disebabkan oleh kurang tidur dalam kalangan pekerja, dalam masa yang sama risiko kesihatan secara am juga meningkat.
Menurut Naib Presiden RAND Europe, Christian van Stolk banyak faktor dalam masyarakat moden kini menyumbang kepada keadaan ini, “Kerja ialah satu faktor. Teknologi moden (seperti media sosial dan emel) ternyata tidak membantu kita dalam banyak keadaan. Banyak ahli korporat kini mengambil langkah untuk menghentikan penghantaran emel pada hujung minggu, di luar waktu bekerja atau ketika pekerja sedang bercuti.”
“Kita perlu memanfaatkan teknologi moden untuk membantu, bukannya menyusahkan kita,” beliau menambah.
Selain itu, bekerja lebih masa (overtime) juga merupakan isu utama yang menyumbang kepada kekurangan tidur dalam kalangan pekerja. Setiap individu mempunyai komitmen masing-masing di luar waktu kerja seperti keluarga dan aktiviti sosial yang tidak seharusnya diganggu.
Kata Van Stolk, “Tempoh perjalanan yang panjang ke tempat kerja memburukkan lagi masalah yang ada. Di Asia, saya percaya ramai pekerja menghadapi perjalanan yang panjang untuk pergi dan balik dari kerja. Kita tahu bahawa ini akan menjejaskan kualiti tidur serta kesihatan mental.”
“Mungkin ramai yang menyangka bahawa tidur di hujung minggu boleh menggantikan jam tidur yang kurang sepanjang minggu tersebut. Ia sebenarnya tidak benar dan tidak sihat. Kekurangan tidur secara berkala akan membawa kepada pengurangan jirim kelabu (grey matter) pada otak menyebabkan fungsi kognitif berkurang. Melebihkan tidur di hujung minggu tidak akan membantu,” kata Dr Caryn Chan Mei Hsien, Pensyarah dan Psikologis Universiti Kebangsaan Malaysia .