Masalah penglihatan paling kerap berlaku adalah rabun. Sekitar 20% daripada masyarakat dunia mengalami masalah rabun jauh (myopia). Penyelesaian paling mudah bagi keadaan ini adalah menggunakan cermin mata atau kanta sentuh. Bukan sahaja mudah, ia juga dalam satu sudut tidak terlalu mahal tetapi bergantung juga kepada jenis kanta dan bingkai cermin mata yang digunakan.
Walau bagaimanapun, bagi yang menggunakan cermin mata atau kanta sentuh, mereka tentu menghadapi beberapa kekangan dalam aktiviti harian. Contohnya, tidak boleh bermain sukan lasak, bingkai cermin mata patah atau hilang. Keadaan ini membuatkan mereka mencari alternatif kepada cermin mata atau kanta sentuh.
LASIK mungkin satu pilihan yang baik.
Apa itu LASIK?
LASIK adalah singkatan daripada Laser Assisted In-situ Keratomileusis. Ia adalah sejenis prosedur pembedahan mata menggunakan laser.
Rabun berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara bentuk (lengkungan) kornea (lapisan hadapan mata) dan saiz bola mata. Ia membuatkan imej gagal diterima oleh retina (reseptor foto di bahagian dalam mata) dengan tepat menyebabkan penglihatan menjadi kabur.
Pembedahan LASIK menggunakan laser untuk membuang lapisan nipis pada kornea. Ini akan memberikan kornea lengkungan baru yang membolehkan imej dipantulkan di atas retina dengan lebih tepat, seterusnya menghilangkan masalah rabun.
Pembedahan ini dilakukan di klinik pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke dalam wad. Prosedur yang mengambil masa selama 10 hingga 15 minit ini boleh dilakukan ke atas sebelah atau kedua-dua belah mata dalam satu sesi. Tiada jahitan diperlukan.
Ubat bius yang digunakan hanya dalam bentuk titisan mata dan ia dilakukan dalam keadaan sedar. Ubat tertentu mungkin diberikan untuk membantu mengurangkan rasa gemuruh.
Adakah saya tidak perlu lagi menggunakan cermin mata selepas LASIK?
Ya, jika tidak berlaku apa-apa masalah dan semua berjalan dengan lancar.
Sebelum doktor melakukan prosedur ini, beberapa pemeriksaan akan dilakukan untuk melihat keadaan mata anda dan menilai sama ada sesuai atau tidak untuk dilakukan LASIK ke atas mata anda. Kebiasaannya, ia sesuai dijalankan bagi kes rabun jauh. Namun, silau dan rabun dekat juga mungkin boleh mendapatkan manfaatnya.
Dalam kebanyakan kes, tiada komplikasi atau kesan serius berlaku selepas pembedahan. Namun, anda harus mengikuti ‘pantang’ yang dinasihatkan oleh doktor seperti tidak menggaru mata, kurangkan melihat cahaya terang pada minggu pertama selepas pembedahan dan bersukan.