Mata pedih, penglihatan kabur, sakit kepala, mual, muntah-muntah… Ini semua antara ciri penyakit mata glaukoma!
Glaukoma? Macam pernah dengar, kan? Ini adalah sejenis penyakit mata yang berupaya mengakibatkan kerosakan pada saraf optik.
Saraf optik adalah penghubung yang membawa imej dilihat oleh mata ke otak.
Ia bukan penyakit sebarangan, jika tidak dirawat, glaukoma boleh menjadi punca buta kekal!
Ngeri, kan? Justeru, pengesanan dan rawatan awal sememangnya mustahak dan terdapat beberapa jenis terapi yang boleh dilakukan.
Pun begitu, terdapat khabar angin berlegaran yang membabitkan sebatian yang terkandung di dalam kunyit sebagai rawatan glaukoma.
Berminat untuk ketahui dengan lebih lanjut? Teruskan pembacaan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.
Kunyit mampu merawat glaukoma, betul ke?
Para saintis di United Kingdom mendapati, sebatian yang berasal daripada kunyit boleh digunakan untuk merawat tanda-tanda awal glaukoma seperti mata pedih, penglihatan kabur dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, percubaan sebelumnya menemui jalan buntu dek sebatiannya yang bersifat tidak mudah larut dan sukar diserap ke dalam saluran darah.
Dalam glaukoma, saraf optik atau saraf yang menghubungkan mata dan otak, menjadi rosak dek pengumpulan cecair pada mata, yang memberi terlalu banyak tekanan kepada saraf.
Para penyelidik selama ini telah berusaha mengenal pasti cara berkesan untuk menghentikan kehilangan sel-sel ini, yang dapat bantu melambatkan proses kehilangan penglihatan.
Maka, salah satu cara untuk menguruskan kondisi mata pedih ini adalah dengan menggunakan ubat titis mata yang dipreskripsikan.
Antara rawatan yang biasa digunakan dalam merawat jenis glaukoma tertentu melibatkan penggunaan penitis mata, yang bantu mencegah kebutaan dengan mengatur tekanan pada mata.
Penyelidikan terkini, yang dilakukan oleh University College London dan Imperial College London di United Kingdom, menunjukkan sebatian dalam kunyit; curcumin dapat merawat tanda awal glaukoma dengan berkesan.
Tambah lagi, para penyelidik menyatakan, ada kaedah yang dapat digunakan yang memungkinkan curcumin ‘dihantar’ ke bahagian belakang mata melalui penggunaan penitis mata.
Sebatian kunyit ini dikenali dengan sifatnya yang tidak mudah larut, namun teknik baharu yang dicipta oleh pakar akan dapat mengatasi masalah ini.
Curcumin adalah sebatian menarik yang memberikan hasil yang menjanjikan untuk mengesan dan merawat neurodegenerasi yang terlibat dalam banyak kondisi mata dan otak, daripada glaukoma hingga penyakit Alzheimer.
Jadi, penggunaan yang cukup ringkas menggunakan penitis mata berupaya membantu berjuta-juta orang, kata pengarang utama kajian itu, Francesca Cordeiro.
Nanocarrier dihasilkan sebagai medium penggunaan curcumin
Salah satu kesan pertama penyakit glaukoma adalah kehilangan sel ganglion retina, sejenis neuron yang dijumpai berdekatan retina mata, atau tisu yang melapisi bahagian belakang mata.
Sel ganglion retina berfungsi dengan menerima isyarat visual, dan mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan penglihatan yang sihat.
Justeru, kehilangan sel-sel ini bakal memicu kemerosotan penglihatan, tapi setakat ini, saintis belum mengenal pasti kaedah yang tepat untuk mencegah kehilangan sel ganglion retina pada peringkat awal permulaan glaukoma.
Namun, dalam kajian baharu itu, Cordeiro dan rakan-rakannya sedar bahawa titisan mata berasaskan curcumin berjaya mengurangkan kehilangan sel retina pada model haiwan, iaitu tikus.
Kajian yang dijalankan sebelumnya menunjukkan sebatian kunyit ini memberi kesan perlindungan terhadap sel ganglion retina, tetapi dalam kes ini, ia diberikan secara oral.
Walau bagaimanapun, disebabkan curcumin mempunyai kadar kelarutan yang lemah, pemberian dalam bentuk oral tidak mudah dilakukan.
Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, para saintis mencipta nanocarrier khas yang diperbuat daripada bahan yang selamat untuk digunakan oleh manusia, dan telah pun dimasukkan ke dalam beberapa produk mata.
Teknologi nanocarrier ini berjaya meningkatkan kadar kelarutan curcumin hampir 400,000 kali!
Ia juga boleh mengandungi jumlah bahan yang jauh lebih tinggi berbanding produk lain yang sedang dibangunkan.
Lebih-lebih lagi, ia dapat diberikan tepat di tempat yang diperlukan melalui medium penitis mata.
Berita baik kepada penderita glaukoma!
Percubaan mereka berjaya! Setelah menggunakan ubat titis mata ini pada tikus 2 kali sehari selama 3 minggu, mereka menyedari bahawa kehilangan sel retina telah berkurang dengan ketara!
Di samping itu, mereka turut gembira apabila melihat nanocarrier yang mengandung curcumin ini tidak menimbulkan sebarang isu kerengsaan atau keradangan pada mata.
Boleh dikatakan, penitis mata berasaskan sebatian kunyit ini mampu menjadi rawatan masa hadapan untuk glaukoma!
Sekarang, fokus para penyelidik beralih kepada penyakit Alzheimer pula, menggunakan sumber sebatian yang sama.
Mereka ingin mengkaji sama ada curcumin yang digunakan melalui medium nanocarrier yang sama dapat digunakan untuk mendiagnosis penyakit Alzheimer.
Makin meningkat usia, risiko memperoleh penyakit seperti glaukoma dan Alzheimer juga makin tinggi, tambah Cordeiro.
Mereka percaya bahawa penemuan tersebut dapat memberikan sumbangan besar kepada individu yang menderita penyakit-penyakit ini.
Akhir kata, berita gembira ini secara tidak langsung mempelbagaikan lagi pilihan rawatan bagi penyakit mata glaukoma.
Sekarang, penantian untuk penitis mata berasaskan sebatian kunyit ini telah mula dipasarkan!