backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Jangan Sangka Testis Lelaki Tidak Punya Bakteria, Kajian Kata Ia Boleh Jejaskan Kesuburan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 26/05/2021

    Jangan Sangka Testis Lelaki Tidak Punya Bakteria, Kajian Kata Ia Boleh Jejaskan Kesuburan!

    Setiap kali berbicara tentang perihal dan masalah kesuburan, ramai yang akan menyalahkan kaum wanita berbanding kaum lelaki.

    Ini adalah satu norma yang wajar dihentikan segera kerana ketahuilah ketidaksuburan itu boleh berlaku pada kedua-dua jantina.

    Bagi lelaki, ia tentu sahaja berkaitan dengan masalah berkenaan organ reproduktif iaitu testis lelaki.

    Ada kajian kata testis kaum Adam boleh terjejas dek kehadiran bakteria! Adakah penyataan ini benar atau mitos semata-mata?

    Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam lagi.

    Lelaki & masalah kesuburan

    Jangan terkejut jika kami kata kira-kira 30 hingga 40% kes pasangan suami isteri tidak subur adalah berpunca daripada golongan lelaki.

    Ini kerana kita semua perlu faham bahawa kehamilan itu berlaku ekoran penyatuan dua sel iaitu telur dari wanita dan sperma dari lelaki.

    Sekiranya salah seorang daripada pasangan itu mempunyai masalah dengan sel reproduktif mereka, sudah pasti peluang untuk mengandung akan menurun dengan mendadak.

    Bagi lelaki, ada beberapa masalah sperma yang wajar diberi perhatian khusus iaitu:

    • Oligozoospermia – bilangan sperma rendah
    • Asthenozoospermia – masalah mobiliti sperma
    • Teratozoospermia – masalah morfologi sperma
    • Oligoasthenoteratozoospermia – gabungan masalah bilangan, mobiliti dan morfologi
    • Azoospermia – tiada langsung sperma di dalam air mani

    testis

    Disebabkan itu, anda sebagai lelaki perlu segera dan selalu membuat ujian sperma untuk memastikan kesihatan dan kesuburan anda sentiasa kekal di tahap yang terbaik.

    Kajian buktikan testis lelaki ada bakteria?

    Mungkin sebelum ini ramai yang percaya bahawa testis lelaki adalah terhindar dari sebarang jenis bakteria, namun ada kajian yang buktikan ia tidak tepat.

    Menurut kajian terbaharu dari Itali itu, memang wujud bakteria yang merebak, membiak dan hidup di dalam buah zakar lelaki.

    Lebih membimbangkan, keadaan yang dikenali sebagai testicular microbiome ini dikatakan boleh mempengaruhi kesuburan kaum Adam.

    ‘Kajian ini adalah sangat memeranjatkan kerana sebelum ini tidak pernah tercatat di mana-mana buku atau jurnal bahawa bakteria boleh berada di dalam testis,’ kata pengkaji Massimo Alfano yang juga merupakan Saintis di IRCCS Hospital San Raffaele di Milan.

    Pengkaji turut menambah bahawa kewujudan bakteria ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kondisi lelaki yang tidak punya sperma dalam air mani (azoospermia).

    Dikatakan bahawa lelaki yang ada masalah azoospermia mempunyai bakteria dari dua kumpulan – Actinobacteria dan Firmicutes.

    Manakala lelaki yang tidak ada masalah azoospermia pula mempunyai bakteria dari empat kumpulan – Actinobacteria, Bacteroidetes, Firmicutes dan Proteobacteria.

    Ini bermakna kaum Adam sebenarnya mungkin tidak boleh lari daripada masalah bakteria di dalam testis lelaki tidak kira anda mempunyai masalah azoospermia atau tidak.

    Walau bagaimanapun, kehadiran bakteria ini bukanlah penyebab azoospermia namun mungkin boleh jadi pencetus masalah sperma yang lain pula jika tidak dirawat dengan kadar segera.

    testis

    Bagaimana untuk rawat masalah ini?

    Sebenarnya, dapatan kajian ini masih baru dan memerlukan kajian lanjutan untuk meneliti kesahihannya dengan lebih mendalam lagi.

    Ini bermakna mungkin masih belum ditemui sebarang penyelesaian yang boleh dijalankan untuk merawat masalah testicular microbiome ini.

    Pun begitu, perhatian bukanlah perlu diarahkan kepada masalah ini sahaja sebaliknya masalah azoospermia yang menjadi musuh utama setiap lelaki.

    Definisi azoospermia yang sebenar adalah merujuk kepada keadaan di mana air mani lelaki tidak langsung mempunyai kandungan sperma di dalamnya.

    Kebiasaannya, sperma akan dihasilkan di dalam testis lelaki dan akan dikeluarkan bersama air mani apabila lelaki mencapai ejakulasi ketika seks.

    Menurut kajian, masalah sperma ini akan menyerang sekurang-kurangnya 5 hingga 10% daripada lelaki yang disahkan mengalami masalah kesuburan.

    Sebagai seorang lelaki, kalian mungkin semula jadi dilahirkan dengan kondisi ini atau ia mungkin berlaku apabila anda meningkat usia dewasa kelak.

    Bagaimana untuk rawat masalah azoospermia?

    Pertama sekali, kalian perlulah berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis awal menggunakan sampel sperma yang diperoleh dari testis lelaki.

    Sampel ini kemudiannya akan dianalisis oleh pihak makmal untuk menentukan jenis azoospermia mana yang anda mungkin hadapi.

    ujian sperma

    Selain pengambilan sampel ini, anda juga mungkin boleh cuba prosedur yang lain termasuklah:

  • Pemeriksaan fizikal luaran dan dalaman
  • Pemeriksaan alat sulit menggunakan MRI dan CT
  • Ujian hormon
  • Ujian genetik
  • Selepas itu, jenis rawatan akan ditentukan oleh pakar mengikut jenis azoospermia yang dihidapi.

    Bagi lelaki yang mengalami kondisi obstructive azoospermia, kondisi ini boleh dirawat dengan pembedahan mikro dengan membuang halangan yang menyebabkan sperma tersekat di dalam sistem reproduktif.

    Bagi lelaki yang mengalami kondisi non-obstructive azoospermia, kondisi ini boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan, rawatan hormon serta perubahan gaya hidup.

    Dalam pada itu, kajian lanjutan berkenaan masalah bakteria dalam testis juga dikatakan akan membantu para saintis di luar sana untuk mencari penyelesaian alternatif masalah azoospermia.

    Konklusinya, sila dapatkan bantuan dan rawatan doktor pakar sekiranya ada apa-apa masalah berkaitan testis lelaki dan kesuburan ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 26/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan