home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Nak Periksa Kanser Testis Di Rumah? Kaum Adam Boleh Check Guna Kit Ujian Kehamilan, Tapi...

Nak Periksa Kanser Testis Di Rumah? Kaum Adam Boleh Check Guna Kit Ujian Kehamilan, Tapi...

Ia merupakan masalah kanser yang mempunyai kadar kesembuhan yang tinggi meskipun sudah merebak ke organ lain.

Menurut Persatuan Kanser Amerika, mereka yang didiagnosis dengan kanser telur zakar peringkat awal mempunyai peluang hidup setinggi 95% dalam tempoh 5 tahun.

Diagnosis bagi masalah kesihatan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh termasuklah pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan ujian makmal.

Namun, terdapat satu kaedah yang mungkin agak popular memandangkan ia mudah, cepat dan murah bagi mengesan kanser testis.

Kalau anda nak tahu dengan lebih lanjut, baca artikel ini.

Ujian kehamilan boleh kesan perubahan hormon berpunca daripada kanser telur zakar

telur zakar

Bagi memahami sebab di sebalik keputusan positif apabila menggunakan strip ujian kehamilan, anda perlu tahu bagaimana alat tersebut berfungsi.

Dalam konteks kehamilan, alat ujian tersebut mempunyai ketepatan setinggi 99%.

Ia berupaya untuk mengesan hormon human chorionic gonadotropin (hCG) di dalam air kencing wanita hamil.

Hormon tersebut dirembeskan oleh telur (ovum) yang telah disenyawakan. Dengan kata lain, ia berlaku pada fasa awal kehamilan.

Jika positif, ia bermakna anda hamil.

Namun, terdapat kes di mana lelaki yang menggunakan alat tersebut boleh mendapat keputusan positif.

Fenomena ini sering dikaitkan dengan kanser testis.

Terdapat jenis kanser telur zakar yang merembeskan hormon hCG pada kepekatan yang sangat tinggi.

Ia menyerupai tisu embrionik (fasa perkembangan awal janin) yang merembeskan hormon yang sama selepas proses persenyawaan berjaya.

Keadaan ini menyebabkan kit atau strip ujian kehamilan memberikan keputusan positif.

Selain daripada hCG, kanser testis turut merembeskan alfa fetoprotein yang turut dirembeskan oleh tisu janin.

Adakah ini bermakna lelaki boleh menggunakan strip ujian mengandung untuk mengesan kanser testis?

Keputusan ujian kehamilan tidak tepat untuk diagnosis kanser testis

kanser testis

Apa yang anda perlu faham adalah hormon hCG tidak hanya dirembeskan oleh kanser testis.

Ini bermakna parameter nilai bagi hormon tersebut tidak spesifik dan tidak boleh dikhususkan kepada satu kanser semata-mata.

Malahan mereka yang mengambil ubat tertentu seperti diazepam dan ubat anti sawan juga boleh memberikan keputusan positif.

Bagi kegunaan selain untuk mengetahui status kehamilan, strip ujian tersebut boleh memberikan keputusan positif palsu pada kebarangkalian yang tinggi.

Tambahan pula, insiden bagi kanser testis dalam lingkungan usia 15 hingga 35 tahun sangatlah rendah (5.4 kes daripada 100,000 lelaki).

Keputusan positif pada ujian kehamilan bagi lelaki boleh menimbulkan kerunsingan dan pengambilan ujian diagnostik yang memakan kos tinggi walaupun mereka tidak mempunyai risiko pada awalnya.

Tiada ujian saringan yang dapat memberikan keputusan yang tepat maka tidak ada keperluan untuk saranan lelaki untuk menjalani sebarang prosedur.

Biasanya, kanser testis dikesan melalui pemeriksaan zakar secara peribadi atau perubahan dikesan oleh pasangan atau doktor.

Tiada bukti klinikal yang menunjukkan terdapat kaedah atau prosedur yang boleh digunakan bagi mengesan kanser ini pada tahap yang lebih awal.

Malahan mereka yang didiagnosis pada tahap lewat mempunyai kadar kesembuhan yang sangat tinggi (melebihi 90%).

Anda mungkin berminat:

Diagnosis dan rawatan kesembuhan

telur zakar

Seperti yang anda sedia maklum, diagnosis bagi keadaan kesihatan melibatkan proses pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan analisis ujian makmal.

Ketulan pada bahagian testis merupakan tanda yang jelas menunjukkan anda berisiko menghidapi kanser testis.

Pemeriksaan menggunakan alat ultra bunyi boleh memeriksa struktur dalaman testis.

Doktor juga boleh membuat ujian darah bagi memeriksa tanda ketumbuhan seperti peningkatan pada hormon hCG atau alfa fetoprotein.

Jika doktor mengesyaki anda mungkin menghidap kanser, testis terlibat akan dikeluarkan daripada kantung bagi mengambil sampel tisu.

Ia tidak dibuat semasa testis berada di dalam kantung memandangkan risiko untuk kanser testis merebak ke kantung telur agak tinggi.

Apabila anda disahkan menghidap kanser testis, rawatan akan dibuat berdasarkan kepada tahap kanser.

Secara amnya, terdapat 3 kategori rawatan utama bagi menyembuhkan kanser testis:

  1. Pembedahan untuk membuang satu atau kedua-dua belah testis dan kelenjar limfa yang berhampiran dengannya.
  2. Terapi radio bagi membunuh sel kanser.
  3. Bagi kanser yang sudah merebak ke organ lain, terapi kemo boleh diberikan.

Konklusi

Jangan gatal-gatal nak guna strip ujian kehamilan isteri. Keputusan positif boleh membuatkan anda tak senang duduk walaupun ia hanya positif palsu.

Kanser buah zakar jarang berlaku namun jika anda didiagnosis meskipun pada peringkat lewat, ia mempunyai kadar kesembuhan yang sangat tinggi.

Pemeriksaan kemaluan secara berkala boleh membantu mengesan perubahan pada testis seterusnya menggalakkan anda untuk berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Testicular cancer. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/testicular-cancer-care/symptoms-causes/syc-20352986). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  2. Pregnancy tests. (https://www.plannedparenthood.org/learn/pregnancy/pregnancy-tests#:~:text=Pregnancy%20tests%20work%20by%20checking,your%20uterus%20%E2%80%94%20when%20pregnancy%20begins.). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  3. You shouldn’t rely on a pregnancy test to tell you whether you have testicular cancer. (https://fullfact.org/online/pregnancy-test-testicular-cancer/). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  4. Testicular Cancer Treatment. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK65777/). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  5. Testicular Cancer Survival Rates. (https://www.cancer.org/cancer/testicular-cancer/detection-diagnosis-staging/survival-rates.html). Diakses pada 6 Ogos 2020.
Gambar penulis
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli pada 07/08/2020
Maklumat perubatan disemak oleh Dr. Joseph Tan
x